Mari baca

April 2, 2012

Menulis di Akhbar, Majalah atau Buku?

Filed under: Al-Qur'an & As-Sunnah,Penulisan — Mohd Riduan Khairi @ 8:29 am
Tags: ,

Menulis di akhbar, majalah mahupun buku masing-masing punya kelebihan dan kekurangan.

Akhbar Terkini dan Sensasi

Akhbar paling cepat terbit. Tulis semalam, hari ini sudah boleh dibaca. Selain paling cepat terbit, ia juga paling cepat dibaca. Dalam masa kurang 12 jam maklumat dan mesej akhbar sampai menyelip ke dalam jutaan pembaca. Bahkan lebih awal lagi, ramai juga orang membaca akhbar pada waktu seawal sarapan pagi! Ini berdasarkan imejan drama dan babak televisyen, akhbar dibaca pada waktu sarapan pagi, atau minum jam 10.

Majalah

Majalah agak lambat responsif. Kalau ayam mengeram seminggu baharu menetas, isu di majalah lewat hampir sebulan. Namun dek kerana sedikit perlahan, memungkinkan kandungannya lebih matang dan boleh dipertanggungjawabkan.

Buku

Menulis buku paling lambat berbanding akhbar dan majalah. Ada buku hanya dapat disiapkan setelah dieram dan dikandung bertahun-tahun lamanya. Amat sukar dan langka untuk menemui penulis sehebat al-Allamah Ibnu Qayyim yang sempat menulis sebuah kitab besar hanya ketika berada atas unta dalam perjalanan. Dalam masa beberapa ketika, berpegang kepada ingatan semata-mata beliau menyiapkan adi-karya ‘magnum opus dalam literasi Islam, Za’adul Ma’ad (terjemahnnya 7 jilid). Maha Suci Allah memberikan karomah kepada ilmuwan Islam.

Sirkulasi atau Volume Terbitan

Umumnya terbitan akhbar lumayan lebih banyak berbanding majalah dan buku. Akhbar Harian Metro mencatat jualan harian mencecah setengah juta (480 ribu)! naskah setiap hari. Wah! Banyaknya. Boleh kita jumlah setiap hari hampir atau lebih1 juta naskah akhbar Melayu dijual. Justeru menulis diakhbar mendapat publisiti lumayan.

Manakala sirkulasi majalah khususnya ilmiah dan agama sekitar puluhan ribu sahaja. Majalah agama sebagai contoh rata-rata mencatat jumlah jualan paling tinggi 50 ribu naskah/ bulan.

Lebih dari itu lagi nasib buku-buku agama tidak lebih baik. Tidak dinafikan ada buku agama mencatat jualan lebih 70ribu pada tahun lepas. Namun mfenomena itu bolehlah dikatakan sebagai ‘once i a blue moon‘. Hanya novel cinta sahaja boleh cecah jualan puluhan ribu naskah bahkan hingga ratusan ribu naskah.

Surat Khabar lama

Namun disebalik jualan yang mencecah lebih 1 juta naskah setiap hari (bagi akhbar berbahasa Melayu sahaja). Dek kerana cepat terbit, ia juga cepat ‘basi’. Menjelang hari hari esok nasib kebanyakan kertas akhbar setaraf pembungkus nasi lemak. Bahkan lebih sadis lagi menjelang tergelincir matahari akhbar sudah renyuk dan terperuk lebih rendah dari kain buruk. Kalau kain buruk masih berbakti mengelap meja. Mungkin akhbar pagi, nasibnya di waktu petang tidak ubah kucing kurap.

Memang ada orang yang mengumpul akhbar atau keratan akhbar, namun nisbahnya sangat sedikit. Yang simpan mungkin perpustakaan dan peminat barangan antik. Nisbahnya mungkin 1 dari 10 ribu.

Berbanding dengan akhbar, majalah lebih tahan lama. Dan yang lebih tahan paling lama ialah buku. Tidak ada akhbar yang boleh dijual selama setahun. Namun ada buku yang masih laku dijual walaupun sudah dicetak ribuan kali dan ditulis ribuan tahun yang lalu. Al-Qu’ran dan kitab hadis dikumpulkan lebih 1000 tahun yang lalu. Namun sampai hari ini permintaan dan jualan Al-Qur’an dan kitab hadis masih laku keras.

Kitab Tafsir Ibnu Katsir sudah diulang cetak beratus-ratus kali, diterjemahn berulang-kali dalam satu-satu bahasa dan diterbitkan oleh puluhan penerbit, namun masih laku dijual. Kalaulah contoh-contoh itu sangat jauh untuk digambarkan, lihat sahaja kepada buku Ranjau Sepanjang Jalan oleh SN Shahnon Ahmad, sudah berapa kalikah dicetak dan sudah berapa tahun ia kekal relevan atas pasaran.

Pilihan Penulis

Justeru di manakah letak duduk penulis? Ada penulis memilih akhbar, majalah atau buku. Atau ada penulis yang mahu kekal menulis untuk dibada pro-bono di internet.

Saya memilih untuk menulis di semua medium. Kelompok sasarnya berbeza. Bahkan untuk kekal relevan sebagai penulis dan lanjut hayatnya dalam pasaran, harus menulis dalam semua medium. Minimum beberapa medium.

Surat Khabar Orang Islam

Islam adalah sebuah agama yang syumul dan lengkap. Justeru adakah surat khabar untuk orang Islam; dalam artian membawa berita yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan analisi unjuran perkara yang akan berlaku dalam umat. yang dibaca setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Mustahil tidak ada atas sifatnya sebagai agama yang syumul.

Jawabnya : mustahil tidak ada.

Al-Qur’an dan Kitab hadis adalah ‘akhbar’ atau media yang perlu dibaca oleh umat Islam setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.

Setiap hari ada zikir-zikir yang perlu dibaca oleh umat Islam. Dikutip dari ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Boleh lihat himpunan yang hampir lengkap dalam al-Adzkar karangan Imam Nawawi. Kata ulama kepada mereka yang tidak memiliki al-Adzkar, “jual rumahmu dan beli al-Adzkar’. ia telah disarikan dengan ringkas oleh Dr Said bin Ali alWahf al-Qahthani dengan tajuk Hisnul Muslim.

Begitu juga bacaan-bacaan yang bersifat mingguan. Antaranya ialah Surah al-Kahfi :

Dari Abu Said al-Khudri, “Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya di antaranya dan Bait `Atiq.

(riwayat ad-Daarimi, 3407. Sahih menurut Shaikh al-Albaani dalam Saheeh al-Jaami, 6471)

“Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, Mkan Allah akan meneranginya dengan cahaya dari jum`at yang dia baca kepada jum`at yang berikutnya.”

(riwayat oleh al-Haakim, 2/399; al-Bayhaqi, 3/249. Ibn Hajar dalam Takhreej al-Adhkaar mengatakan hadis hasan, katanya, ini merupakan riwayat paling kuat menjelaskan Surah al-Kahf. lihat: Fayd al-Qadeer, 6/198.  Turut dinilai sahih oleh Shaikh al-Albaani dalam Saheeh al-Jaami’, 6470)

Begitulah seterunya riwayat-riwayat yang menyebutkan keperluan, keutamaan dan urgensi membaca al-Qur’an saban hari, saban minggu saban dan seterusnya.

“Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil ungkal dalam kekufurannya.” (Surah Maryan 19, ayat 97)