Mari baca

Januari 1, 2013

Begini Seharusnya Menjadi Guru

Filed under: Adab & Akhlak,Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 2:00 pm

Begini Seharusnya Menjadi Guru

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam adalah sebaik-baik guru. Setiap tutur bicaranya indah dan penuh hikmah. Baginda bertutur apabila perlu bertutur. Perkataannya kemas, ringkas, namun padat dengan makna yang mudah dicerap.

Setiap tindak tanduknya diatur dengan kemas. Akhlak dan tatasusilanya penuh sopan.

Anak-anak murid baginda yakni para sahabat Nabi datang dari berbagai latar belakang. Ada orang bandar dan ada orang kampung (Badwi). Ada dari kalangan bangsawan dan ada dari kalangan hamba. Ada orang Arab, ada Parsi, Habsyah dam lain-lain lagi.

Tidak sedikit kanak-kanak dan pemuda yang tumbuh membesar di bawah asuhan dan pendidikan Nabi. Antaranya termasuk Zaid bin Harithah, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Ibn Umar, Hasan, Husein dan ramai lagi.

Dan mereka yang membesar di bawah asuhan dan didikan Nabi ini kemudiannya menjadi orang-orang besar dalam sejarah Islam, menjadi ulama’ panutan umat, panglima perang yang gagah berani dan manusia yang amat bermanfaat untuk kaum mereka.

Justeru adalah penting dan bermanfaat untuk kita mengetahui bagaimana Rasulullah membangunkan generasi pada zaman baginda. Yang kita ketahui amat terbatas sarana dan fasiliti.

Naskah ini termasuk dari sejumlah naskah yang disusun oleh pengarang untun merincikan metode Nabi dalam mendidik.

Tidak hanya ditujukan kepada guru bahkan kepada semua ibu dan bapa yang mendambakan anak-anak yang soleh dan membesar dalam asuhan dan didikan Islam.

Maklumat Buku

Judul: Begini Seharusnya Menjadi Guru
Judul Asal: Al-Muallim Al-Awwal
Penulis: Fuad bin Abdul Aziz Syalhub
Terjemahan: Jamaludin Lc
Halaman: 187

“Panduan lengkap metodologi pengajaran Rasulullah.”

Buku ini ada 3 bahagian.
Bahagian 1: Karekter Pengajar
Bahagian 2: Tugas dan Kewajipan Guru
Bahagian 3: Sistem & Metod Mengajar

Ada lebih 20 metod dibicarakan dalam naskah ini.

#Pendidikan #Parenting #Sunnah #MenuntutIlmu #ManhajSalaf#Pedagogi #Tarbiyah

Mei 24, 2011

25 Kiat Mempengaruhi Jiwa dan Akal Anak

Filed under: Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 1:52 pm

Penulis : Muhammad Rasyid Dimas
Penterjemah : Tate Qomaruddin, Lc
Penerbit : Robbani Press, Jakarta (1999)

Seperti mana judulnya, naskah ini menampilkan 25 kiat atau tips dan kaedah untuk mempengaruhi jiwa dan akal anak. Antara tips yang disarikan buku ini termasuk :

1. Bersahabatlah dengan Anak dan Jadilah Teladan
2. Tunaikan Hak Anak-Anak
4. Gunakan Cara “Siapa Menang Dia Dapat”
7. Tumbuhkan Rasa Percaya Diri
8. Metod “Dialah Anak Paling Baik.”
12. Memilih Waktu Yang Tepat Untuk Menasihati
20. Mendoakan Kebaikan, Bukan Keburukan
25. Gunakan Kisah dalam Menanamkan Nilai dan Keutamaan

Profesyen mendidik dan mengajar bukan milik guru sahaja. Ibu bapa juga mengemban peranan yang tidak kepalang tanggung untuk mendidik anak. Jika guru menyampaikan ilmu selama beberapa jam di sekolah, ibu bapa pula meneruskan tugas mendidik anak ketika berada di rumah. Secara perbandingan waktu anak-anak berada di rumah jauh lebih panjang berbanding di sekolah.

Berada di dalam kelas dan bilik kuliah menadah buku menatap guru adalah satu dari kaedah pendidikan yang berkesan. Namun bukan itu sahaja.

Nabi Muhammad sang guru agung dan pendidik rabbani menunjukkan teladan bahawa mendidik itu tidak hanya berlaku di masjid dan halaqah ilmu sahaja.

Memilih Waktu yang tepat.

Satu dari bahan yang dibeberkan dalam naskah ini ialah memilih waktu yang tepat untuk menyampaikan didikan. Satu saat yang baik untuk memberi nasihat ialah ketika rekreasi, dalam perjalanan dan di atas kenderaan.

Hal ini ditunjukkan oleh Nabi ketika mendidik sahabat-sahabat muda beliau. Penulis buku ini membawakan 2 contoh. Pertama ketika Nabi memboncengkan sahabat Abdullah bin Abbas seperti dalam riwayat al-Hakim. Manakala begitu juga ketika Nabi membongcengkan sahabat muda Abdullah bin Jaafar yang juga sepupu beliau dalam riwayat Muslim.

Dari Abdullah bin Abbas -radhiallahu anhu-. Ia berkata:

Dahulu aku berada dibelakang Nabi -Shallallahu alaihi wa sallam- di atas kendaraannya kemudian ia berkata: “Wahai anak muda, sesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat; Jagalah Allah niscaya Ia akan menjagamu. Jagalah Allah niscaya kau akan mendapati nya di hadapanmu. Jika engkau berdo’a, berdo’alah kepada Allah. Dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya, seandainya seluruh manusia bersatu ingin memberikan kebaikan kepadamu, mereka tak akan sanggup kecuali sebatas apa yang telah Allah tetapkan bagimu. Juga, seandainya seluruhnya mereka bersatu ingin mendatangkan keburukan kepadamu, mereka tak akan sanggup kecuali sebatas apa yang telah Allah tetapkan atasmu. Kalam telah diangkat dan lembaran-lembaran catatan taqdir telah terlanjur kering.” (H.R. Tirmidzi dan ia berkata: Hadits hasan shohih.

Menumbuhkan rasa percaya diri

Satu perbezaan ketara antara orang Asia berbanding orang Eropah dan Arab ialah, kurangnya rasa percaya diri (keyakinan diri).

Nabi memberi beberapa petunjuk untuk menumbuhkan keyakikan diri sejak anak kecil. Satu darinya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ialah memberi salam kepada orang yang lebih tua.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah yang muda memulai memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang lebih banyak..” Dan dalam suatu riwayat: “dan yang bertunggangan (berkenderaan) kepada yang berjalan.”

(Bukhari 6231, 6234 dan Muslim 2160).

Dalam hadis yang lain pula Nabi berbual-bual dengan anak kecil untuk menumbuhkan rasa yakin. Nabi pernah bertanya seorang anak kecil yang sedang bermain dengan anak burung, “Wahai Abu Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh Nughair (anak burung)?”

Ulasan

Buku ini sedikit mengkagumkan saya. Sungguhpun sudah puluhan bahkan ratusan buku yang menulis tips dan kaedah mendidik anak. Namun yang dapat menghubungkan kaedah itu dengan petunjuk al-Qur’an dan hadis masih sangat sedikit.

Buku ini satu dari. Pembahasannya ringkas namun berisi. Sebahagian besar tipsnya disandarkan kepada al-Qur’an dan hadis.

Mei 14, 2011

Bila Pasangan Seindah Impian

Filed under: Adab & Akhlak,Keluarga — Mohd Riduan Khairi @ 6:27 am

Bila Pasangan Seindah Impian
Pengarang : Syaikh Nadaa Abu Ahmad
Penterjemah : Abu Ihsan al-Atsari
Penerbit : Pustaka a-Tibyan, Solo (2007)

Imam An-Nasa’i merekodkan hadis dari sahabat Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi pernah berkata,

“Wanita-wanita penghuni jannah adalah wanita yang penyayang, subur dan berguna bagi suaminya, yang apabila suaminya marah ia datang dan meletakkan tangannya pada tangan suami lalu berkata, “Aku tidak akan tidur hingga engkau redha.” (Silsilah Hadis Sahih, al-Albani)

Imam Bukhari merekodkan hadis dalam kitab Sahihnya bahawa Ibunda Aisyah pertanya berkata kepada Nabi,

“Wahai Rasulullah, bagaimana menurutmu bagaimana menurutmu seandainya engkau singgah di sebuah lembah yang di penuhi pepohonan, ada pohon yang sudah di makan buahnya dan engkau mendapati sebuah pohon yang belum di makan buahnya, pohon manakah yang engkau singgahi untuk menambatkan untamu?”

Nabi menjawab, “Di pohon yang belum disinggahi.”

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah ciri-ciri wanita solehah yang patut dinikahi. Juga beberapa ciri wanita yang patut dijauhi.

Subhanallah, indahnya memiliki pasangan seindah impian.

Namun ketika menyudahkan bacaan bahagia ciri-ciri wanita pilihan, saya tertanya-tanya adalah kita memiliki ciri-ciri pasangan yang cocok dengan wanita yang ideal.

Buku ini membuat saya insaf supaya menjadi lelaki yang lebih baik sekaligus menjadi idaman para wanita.

Syaikh Nada Abu Ahmad juga menulis buku-buku judul lain seperti :

1. Seni Shalat Khusyu’ (Penerbit al-Aqwam)
2. Agar tidak Terjerumus Dalam Perangkap Iblis (Daar an-Naba’)
3. Keagungan Shalat Subuh (Daar an-Naba’)
4. Al-Khitbah Ahkam wa Adab
5. 300 Dosa Wanita Yang Dianggap Biasa (Kiswah Media)
6. Judul Buku : Ensiklopedi Kesalahan Dalam Ibadah Haji (Daar an-Naba’)
7. Tipe Suami Istri Penenteram Hati
8. Kod Etik Melamar Calon Isteri (Kiswah Media)

April 25, 2011

Meluruskan Kesalahan Cara Rasulullah

Filed under: Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 12:44 am
Tags:

Meluruskan Kesalahan Cara Rasulullah

Judul Asal : Al-Asalib An-Nabawiyah fi At-Ta’amul ma’a Akhtai An-Nas

Penulis : Muhammad Shalil al-Munajid

Penterjemah : Fadhli Bahri

Penerbit : Darul Falah (2001)

172 halaman

Pengarang kitab ini, Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajid hafizahullah merupakan salah seorang anak murid muhaddis Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Justeru tidak hairan beliau mengetahui dan menguasai hadis dengan begitu baik.

Nabi Muhammad dikelilingi oleh sahabat dari macam-macam latar-belakang. Ada yang, ada yang muda bahkan ramai juga kanak-kanak kecil. Ada orang Arab, ada orang ulu Badwi, ada juga orang-orang asing seperti Salman al-Farisi, Bilal bir Robah dan juga orang Yahudi.

Dek berbagai latar inilah, makan muncul berbagai-bagai kerenah dan ragam yang perlu ditangani oleh Nabi. Dalam naskah ini beliau menggali sekurang-kurangnya 38 teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) untuk membetulkan kesalahan para sahabat di sekelilingnya.

Benar seperti yang ditututkan oleh sahabat Muawiyah bin Hakam as-Sulami, bahawa tidak pernah ada guru sebaik Nabi Muhammad dalam mendidik.

Beberapa contoh Nabi membetulkan kesalahan anak muridnya

Beliau selalu menjelaskan sebab dan alasan disebalik setiap perintah dan larangan yang beliau berikan. Antaranya beliau menjelaskan mudharat atau keburukan dari kesalahan yang dilakukan, seperti dalam hadis,

“Hendaklah kalian meluruskan saf-saf kalian atau (jika tidak) maka Allah pasti membuat perselisihan di antara kalian.” (Hadis Bukhari)

“Rapatkanlah saf-saf kalian, dekatkanlah di antara saf-saf, ratakan leher-leher kalian. Demi dzat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sungguh aku lihat syaitan masuk di antara celah-celah dan syaitan tersebut seperti kambing-kambing hitam.” (Hadis Sahih dari an-Nasa’i)

Nabi juga membezakan kesalahan bersifat peribadi dan kesalahan yang melanggar syariat. Beliau tidak memarahi jika kesalahan itu hanya menyakiti jasadnya. Imam Bukhari merekodkan kisah di mana seorang lelakiu Badwi menyentap kain di leher Nabi sehingga berbekas. Namun Nabi tidak memarahina sekalipun. Begitu juga ketika beliau dicerca dan dilukai dengan balingan batu dan najis ketika berdakwah di Thaif.

Namun jika yang disakiti itu adalah syariat, sikap beliau jelas berbeza.

Tidak Terburu-buru Menjatuhkan Hukuman

Satu dari kebijaksanaan Nabi menangani kesalahan ialah beliau tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman. Apabila berlaku kesalahan beliau akan menyiasat secara adil dan memberi peluang kepada pelaku kesalahan untuk memberi penjelasan dan membela diri.

Ini dapat dilihat pada kes seorang sahabat Hatib bin Abi Baltaah yang telah membocorkan rahsia persiapan perang kepada kaum kafir musyrik di Mekah. Walaupun peristiwa itu diberitahu oleh Allah lewat wahyu melalui Jibril, Nabi tetap memanggil Hatib untuk dibicarakan.

Demikiankan beberapa manfaat yang dapat diambil dari buku ini. Sungguh ia memberi banyak ilmu.

April 22, 2011

Kesalahan Mendidik Anak, Bagaimana Terapinya

Filed under: Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 2:14 pm

Kesalahan Mendidik Anak, Bagaimana Terapinya
Judul Asal : At-Taqshir fi Tarbiyatul Awlad; al-Mazhaahir, Subulul Wiqayah wal Ilaj
Penulis : Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd
Penterjemah : Abu Barzanji
Penerbit : Gema Insani (2000)
93 halaman

Pengarang kitab kecil ini memulakan kalam dengan memetik sepotong syair yang sinikal,

“Seorang lelaki melemparkan anaknya ke dalam laut dalam keadaan tangan anaknya diikat lalu berkata, ‘Jauhilah olehmu, jauhilah olehmu dari basah dengan air’”.

Inilah ibarat yang tepat menggambarkan sikap sebahagian ibu bapa kepada anaknya.

Islam menggariskan hak-hak yang wajib ditunaikan oleh seorang anak kepada kedua orang tua. Dan dalam masa yang sama Islam juga mengariskan beberapa hak anak terhadap kedua orang-tua. Sekiranya ibu bapa tidak menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap anak-anak, masakan anak akan melakukan hal yang sama.

Pengarang naskah ini menyenaraikan 39 kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Secara sepintas lalu ia termasuklah :

1. Memberikan nama-nama yang membawa makna yang buruk di sisi agama.
2. Tidak memilih ibu yang solehah untuk anak-anaknya.
3. Terlalu bersikap kasar dan tegas terhadap anak-anaka.
4. Terlalu bersikap lembut dan memanjakan anak-anak.
5. Terlalu bersangka baik terhadap anak-anak.
6. Terlalu bersangka buruk terhadap anak-anak.
7. Mendoakan keburukan terhadap anak-anaka
a. “Janganlah kamu mendoakan kecelekaan atas dirimu sendiri, jangan pula mendoakan atas anak-anakmu, atas kemusnahan harta-hartamu. Dikhawatirkan doa itu bertepatan dari Allah yang pada saat dimohonkan lalu dikabulkan permohonanmu.” (Hadis Muslim)
8. Melakukan maksiat dan mungkar di hadapan anak-anak seperti merokok, berkata kotor, mencukur janggut, mendengar lagu-lagu, dan mendedahkan aurat di hadapan anak-anak.
9. Menyekolahkan anak-anak ke sekolah asing yang mengabaikan pelajaran akidah an akhlak Islam.
10. Bergembira di hadapan anak terhadap orang yang ditimpa musibah.

Pada bahagian akhir pengarang membawakan beberapa tips dan kaedah dalam mendidik anak.

Oktober 16, 2010

40 Hadith Tentang Wanita Beserta Syarahnya

Filed under: Keluarga — Mohd Riduan Khairi @ 5:51 am

Penulis: Manshur bin Hasan al-Abdullah
Penterjemah : Abu Muhammad Suparta
Penerbit : Darul haq, Jakarta (2009)
Halaman : 110 mukasurat

Pesan Imam Asy-Syafie kepada Penuntut Ilmu

Barangsiapa yang belajar Al-Qur’an, maka harga dirinya menjadi mulia.

Barangsiapa yang belajar fiqh, maka menjadi cerdik daya nalarnya.

Barangsiapa yang belajar ilmu bahasa, maka tabiatnya menjadi lunak.

Barangsiapa yang belajar imu matematik, maka akan banyak ra’yi(pendapat logik)nya.

Barangsiapa yang menulis hadith, maka hujjahnya menjadi kuat.

Barangsiapa yang tidak menjaga dirinya, maka tidak bermanfaat ilmunya.

(Al-Manjmu’ Syarah Al-Muhdzib, dipetik dari The Mystery Of The Quran Secret Power)

Buku kecil ini sangat penting untuk dimiliki para wanita muslimah, karena di dalamnya terkandung 40 hadith pilihan yang mencakup hukum-hukum yang berkaitan dengan kaum wanita. Misalnya, tentang masalah ibadah, muamalah, akhlak, dan adab-adabnya. Penyusun buku, Manshur bin Hasan al-Abdullah, mentakhrij hadits-hadits tersebut dari kitab aslinya yang disusun oleh as-Syaikh Ibrahim bin Syuaib al-Maliki al-Hausawi. Dengan demikian hadits-hadits yang ada dalam buku ini tidak diragukan lagi keshahihannya.

Buku kecil ini menemani saya sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur semalam.

Antara hadith yang dibicarakan termasuk

  1. Memakai sutera dan emas
  2. Hukum memakai sandal lelaki dan pakaian yang menyerupai lelaki (begitu juga sebaliknya)
  3. Larangan menyambung rambut serta memakai wig

September 6, 2010

Diagnosis Tapak Tangan

Filed under: Keluarga,Sains — Mohd Riduan Khairi @ 12:12 am

Diagnosis Tapak Tangan

Sajidi Jais

Alaf 21, Kuala Lumpur (2010)

126 halaman 

Ini bukan buku menilik masa depan dengan melihat tapak tangan. Kerana hal itu mengarut, mengandungi kebodohan dan lebih berbahaya dari itu ia suatu perkara syirik yang paling dimurkai oleh Tuhan Pencipta Alam, Allah. 

Ini adalah buku pintar tentang kesihatan. ‘Buku pintar kesihatan’ ialah perkataan saya. Ia menjelaskan prinsip-prinsip kesihatan tubuh badan dalam bahasa yang mudah difahami oleh pembaca umum (seperti saya). 

Tapak tangan 

Bahagian pertama memberi penjelasan tentang analisis tapak tangan. Menurut penulis, banyak urat-urat di telapak tangan menjelaskan situasi organ-organ dalam tubuh badan kita. Antaranya ialah tompok-tompok putih pada tapak tangan menunjukkan banyak angin berada dalam tubuh baca. Telapak tangan pucat dan bewarna kuning menunjukkan ada masalah pada hati. 

Sistem Imun

Namun yang lebih menarik pada saya ialah bahagian kedua, sistem imun tubuh. Menurut penulis, tubuh badan manusia memiliki sistem imun yang sangat canggih dan kompleks. Bermula dari derita mata, hidung, mulut sehingga ke hati dan ginggal, semuanya dilengkapi dengan sistem pelindung dari bakteria dan kuman pembawa penyakit. 

Apa yang mengejutkan ialah beberapa hal yang melemahkan sistem imun. Kerana perubadan moden percaya ia baik untuk kesihatan, padahal sebaliknya yang berlaku. Buku ini menyenaraikan beberapa perkara yang melemahkan sistem imun tubuh manusia. Antaranya termasuk : 

  1. Antibiotik. Antiotik bukan sahaja membunuh kuman yang membawa penyakit, bahkan ia membunuh semua bakteria lain yang diperlukan dalam badan. Terus saya teringat iklan ubat gigi Colgate dan sabun Dettol yang membunuh semua bakteria (termasuk bakteria baik juga). Salah satu penyumbang antibiotik ialah dari daging haiwan ternakan. (Jom makan ayam kampung!)
  2. X-ray. Sinar x membunuh sel-sel darah putih yang terkena sinaran. Sedangkan sel darah putih sangat penting untuk sistem imun.
  3. Kemoterapi. “Kajian mendapat pesakit kanser cenderung hidup lebih lama dan lebih baik jika tidak menjalani kemoterapi”.
  4. Vaksinasi.
  5. Alkohol dan rokok.
  6. Pembedahan tidk perlu
  7. Gula dan lemak
  8. Kosmetik dll. 

Dapatan dari buku ini menguatkan lagi apa yang saya baca melalui kajian sebuah buku ‘Sejarah Pemikiran’. Buku ini ditulis oleh Dr Sulaiman Nordin, bekas professor madya di UKM. Beliau menyarankan bayi diberi susu ibu sepenuhnya dan tidak menerima sebarang suntikan imunisasi. Saya menemui beberapa keluarga yang sihat dan segar dengan tidak menerima suntikan imunisasi semasa bayi.

Julai 19, 2010

Panduan Kognitif Kanak-Kanak Pra-sekolah

Filed under: Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 2:38 am
Tags: , , ,

Nani Menon

Prof  Madya Dr Rohani Abdullah

Pts Professional 2007

159 halaman

Saya sedang melanjutkan kajian pendidikan Teori Surah Luqman. Saya harap buku ini dapat membantu.

Buku ini ditulis oleh dua ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia. Saya percaya ia merupakan penyesuaian dari kajian atau tesis. Ia memberi fokus kepada beberapa perkara :

  • Teori perkembangan kognitif (cara kanak-kanak belajar dan memproses maklumat)
  • Fokus kajian ialah untuk sains dan matematik pra-skekolah
  • Penilaian dan fakta sains

Manakala objektif kajian saya bertumpu kepada :

  • ‘art of reasoning’ iaitu seni memberi penjelasan atau alasan pada setiap arahan yang diberikan kepada kanak-kanak (termasuk bentuk perintah dan larangan)
  • Penggunaan analogi atau perumpamaan dalam memberikan pelajaran.

Melalui buku ini saya menemui beberapa maklumat yang bermanfaat kepada kajian Surah Luqman.

  1. Penggunaan analogi dan perumpamaan
    • Berdasarkan kajian dan pemerhatian umum, kanak-kanak pra-skolah suka bermain secara olok-olok. Sebagai contoh main masak-masak, main kahwin-kahwin dan main polis dan pencuri (police and thief).
    • Dan permainan ini berubah dari satu generasi ke satu generasi.
  2. Beberapa faedah permainan olok-olok
    • Mengembangkan daya ingatan
    • Penyiasatan logikal
    • Bahasa
    • Imaginasi
    • Daya kreativiti
  3. Pada usia pra-sekolah juga kanak-kanak menganggap perkara simbolik atau perlambangan sebagai sesuatu yang benar-benar nyata. Sebagai contoh :
    • Teddybear sebagai benar-benar hidup
    • Permainan-permainan sebagai sesuatu yang benar

Beberapa perkara ini mengukuhkan prinsip-prinsip yang digunakan oleh Luqman ketika memberi nasihat kepada anaknya.

Luqman menggunakan pendekataan memberi perumpamaan atau analogi ketika bercakap dengan anaknya. Dua analogi yang beliau gunakan ialah :

  1. Perbuatanan sekecil biji sawi di dalam batu hitam di atas langit atau di dalam bumi (Luqman ayat 16).
  2. Seburuk-buruk suara ialah suara keldai (Luqman ayat 19).

Praktikal mudah

  • Membanding-bandingkan perbuatan jahat dengan sifat haiwan. Jika di Tanah Arab, keldai adalah binatang yang sangat ‘familiar’. Di Malaysia jeritan atau suara yang jelek boleh diumpamakan seperti suara ‘anjing yang menyalak’. Ini kerana tujuan asal membandingkan ialah untuk menimbulkan kesan yang lebih dramatik dan emotif. Oleh yang demikian itu objek untuk perbandingan itu perlulah objek yang dekat dengan suasana.

April 21, 2010

101 Wanita Teladan di Masa Rasulullah

Filed under: Keluarga — Mohd Riduan Khairi @ 12:55 pm
Tags: ,

Janganlah kalian menghina salah seorang pun dari sahabatku. Seandainya kalian menginfakkan emas sebesar gunug Uhud sekalipun, kalin tidak akan bisa menyamai keutamaan mereka, walau sebahagian saja” (Bukhari & Muslim)

Tidak ada angka tepat jumlah sahabat ataupun sahabiah (sahabat wanita) Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau). Yang ada hanya anggaran.

Dalam satu rekod, ketika Uthman bin Affan berhasrat seragamkan naskah Al-Quran, jumlah sahabat (lelaki) yang hidup ketika itu mencapai 12,000 orang. Ketika itu sudah tahun 25 Hijrah, kira-kira 12 tahun selepas kewafatan nabi.

Bolehlah kita anggarkan jumlah sahabat wanita sama banyak dengan sahabat lelaki. Itu belum lagi dikira ada sebahagian sahabat yang berkahwin lebih dari seorang isteri.

Peranan wanita

Dakwaan peranan wanita dalam Islam disempitkan di ceruk dapur dan dalam bilik tidur sahaja sangat meleset.

Antara wanita yang punya sumbangan paling banyak Khadijah binti Khuwailid seperti mana yang direkodkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya

Abu Hurairah ra. berkata: Jibril datang kepada nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang kepada engkau dengan membawa bekal berisi lauk pauk atau makanan atau minuman. Apabila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam kepadanya dari Tuhannya Yang Maha Mulia lagi Maha Agung dan juga dariku dan kabarkanlah berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di surga yang terbuat dari mutiara di dalamnya tidak ada keributan dan kesusahan.

Ini adalah penghormatan dan pengiktirafan yang sangat besar kepada golongan wanita.

Bagi lelaki, tanggungjawab mereka sangat besar untuk meraih kedudukan seperti itu. Tentunya dengan solat di masjid setiap waktu, dakwah dan jihad di jalan Allah.

Sedang, Khadijah meraihnya dengan hanya menjadi pendamping Rasul, dan setia menyiapkan keperluan beliau.

Aisyah bin Abu Bakar

Saya sengaja memilih beberapa tokoh wanita dari kalangan isteri nabi, kerana pada saya mereka lebih utama untuk kita kenal dan mereka adalah ibu kita, ibu orang-orang yang beriman.

Sumbangan Aisyah yang paling besar ialah melaporkan hadith yang begitu banyak sekali dari nabi. Direkodkan beliau antara orang yang paling banyak menyampaikan hadith nabi selepas Abu Hurairah.

Selain menghafal sekian banyak hadith, beliau juga dikenali sebagai seorang yang sangat bijak dan tajam pemikirannya. Tidak sedikit dari kalangan sahabat yang menerima kritikan dan teguran darinya.

Sehingga Imam Az-Zarkasyi menulis sebuah kitab berjudul
“Al-Ijabah Lima Istadrakathu Sayyidah Aisyah ‘Ala Shahabah” (Beberapa
kritikan Aisyah kepada sahabat).  Aisyah menjadi antara rujukan utama dalam masalah hukum agama pada zaman selepas kewafatan Rasulullah.

Rebiu buku

Agak sukar menemui biografi sahabat-sahabat wanita. Justeru buku setebal 596 halaman ini sangat bermakna kepada saya.

Bahkan buku ini sangat menarik kerana disarikan dengan kaedah bercerita. Ia menampilkan kisah-kisah yang berlaku pada sisi mereka. Ada yang panjang, ada pula yang ringkas.

Saya bercita-cita mahu menghadiahkan buku seperti ini kepada semua wanita yang beriman. Namun ‘ranking’ mereka tentunya bermula dengan bonda yang tersayang, bakal isteri, 3 adik perempuan. Kemudian siapa lagi mahu masuk senarai?

Mac 30, 2010

Kiat Sukses Mendidik Anak

Filed under: Dakwah,Keluarga,Pendidikan — Mohd Riduan Khairi @ 4:07 am
Tags: ,

Salah satu buku yang saya beli ketika di Jakarta. Dua subjek yang selalu menjadi minat saya yakni pendidikan anak dan bisnes Islami.

Ia dikarang oleh Syaikh Muhammad Jamil Zainu. Beliau dikenali dengan karya ‘Jalan Golongan Yang Selamat’ (JGyS).  JGyS sudah memasukan pasaran tempatan sejak awal tahu 90-an lagi. Ia merupaka buku ringkas mengenai akidah dan manhaj yang benar.

Antara yang dibincangkan dalam buku ini termasuk :

1. Wasiat Luqman kepada anaknya

2. Adab-adab pengajar

3. Adab-adab pelajar

4. Metod pengajaran yang sukses

5. Syarat-syarat pengajar yang sukses

6. Hukuman dan mudharatnya

7. Hukuman yang dilarang

8. Hukuman yang Mendidik

Pengarang merupakan seorang pendakwah. Beliau mengajar di Masjidil Haram, Makkah. Dengan pengalaman lebih 40 tahun, beliau memanfaatkan skil dan pengalaman itu lalu dituangkan ke dalam naskah ini.

Lebihnya seorang pendakwah berbanding guru atau pensyarah universiti ialah, pendakwah menghadap berbagai genap golongan masyarakat. Yang hadir di majlis ilmu para pendakwah adalah orang tua dan orang muda, orang kaya dan orang miskin.

Sikap penuntut ilmu

Saya titipkan satu kisah yang diceritakan oleh pengarang kitab ini. Kisah yang pada saya sangat berguna buat pedoman pengajar dan pelajar (kedua-duanya adalah penuntut ilmu).

Dari halaman 24 :

Imam Malik pernah ditanya tentang hukum menyela-nyela jari ketika wudhu’. Beliau menjawab “Itu tidak wajib bagi manusia”.

Kemudia si penyoal tadi membawakan satu hadith tentang itu, Mustaurid bin Syadad al-Quray berkata, “Saya melihat Rasulullah (selawat dan salam buat beliau) menggosok-gosok antara jari-jari kedua kaki beliau dengan kelingking beliau”. Penyoal itu mengemukan senarai pelapor (sanad).

Imak Malik membalas setelah meneliti ‘kebolehpercayaan’ senarai pelapor, “Hadith ini hasan. Saya tidak pernah mendengar hadith ini melainkan saat ini”.

Kemudian, selepas itu beliau terus berpegang dengan hadith ini pada setiap kali ditanya.

Kisah ini dinukil dari Muqaddimah al-Jarhu wa Ta’dil.

Berbeza dengan sebilang penuntut ilmu atau pendakwah hari ini. Sekalipun dibawakan kepada mereka bukti Al-Quran dan hadith, mereka kemudiannya berkalih dan berdalih dengan berbagai-bagai sebab dan alasan untuk tidak tunduk dan patuh pada perintah Allah dan Rasul. Semoga kita dijauhkan dari sikap sebegini.

Nota :

Kiat bermaksud ‘kit’.

Laman Berikutnya »