Mari baca

Mac 18, 2014

Manhaj Salaf, Sebuah Buku dan Seorang Petani

Filed under: Akidah & Manhaj,Dakwah,Senarai Bacaan — Mohd Riduan Khairi @ 10:00 am

Menemui Manhaj Salaf dari Seorang Petani

Abdul Awal bin Hamad al-Ansari menceritakan dari ayahnya,

“Suatu hari aku menemui Syaikh Hamid Faqeeh dan berkata kepadanya: Berpegang kepada manhaj salaf amat jarang ditemui di Mesir, dan engkau pula berpegang kepada manhaj salaf! Bagaimana engkau menemui manhaj salaf?

Dia bercerita: Aku graduasi dari Universiti Kaherah atau Azhar. Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, aku melewati sebuah ladang dan melintasi seorang lelaki tua sedang duduk di situ. Lalu aku memberi salam kepadanya. Ketika itu aku sedang memegang sijil kelulusan universiti, lalu lelaki itu bertanya: Apa yang yang engkau pegang itu? Aku menjawab: Ini ialah sijil graduasi.

Di sebelah lelaki tua itu ialah Kitab Tauhid dengan penjelasan Fathul Majid. Lelaki tua itu bangun seketika dan pergi menguruskan beberapa perkara. Aku membelek-belek buku tersebut dan kemudian lelaki tua itu datang semula. Aku bertanya kepada lelaki itu tentang buku tersebut lalu aku nyatakan kekaguman aku terhadap buku tersebut. Maka lelaki itu pun mula menjelaskan ‘akidah salaf’ kepadaku.

Dia berkata: “Wahai anakku! Sekarang terserah kepada kamu untuk menyebarkan dakwah tauhid dan akidah salaf, kerana sesungguhnya kamu tidak mempelajari hal ini dari universiti yang kamu pelajari sebelum ini.”

Maka sejak detik itu, aku mula terpanggil kepada akidah salaf.

Dipetik dari ‘‘al-Majmoo’ Fee Tarjama al-Allama al-Muhaddith ash-Shaykh Hamad bin Muhammad al-Ansaari -Rahimullaah- wa Seeratahi wa Aqwaalihi wa Rihlatihi’ oleh Abdul Awal bin Hammad al-Ansari.

Sumber: http://followingthesunnah.wordpress.com/2012/09/13/a-brief-biography-of-shaykh-allaama-al-muhaddith-hamad-al-ansaari/

#ManhajSalaf #Tauhid #AhliHadith #HammadAnsari #Hidayah

Disember 5, 2012

Saatnya Hidayah Menyapa Rumahku

Filed under: Dakwah — Mohd Riduan Khairi @ 10:00 am
Tags: ,

73046_10200142709468422_1569441173_n (1)Saatnya Hidayah Menyapa Rumahku

Judul Asal : Ihyaud Dakwah Fil Bait

Penulis : Muhammad bin Fahd bin Abdullah Al-Jifan

Penterjemah : Ust Zainal Abidin Syamsuddin Lc

Penerbit : Pustaka Imam Abu Hanifah

Halaman : 94 mukasurat

Beli : http://www.atsar.ilmusunnah.com

Pengantar Syaikh Shalih bin Fauzan bin Abdullah Al-Fauzan

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam, shalawat dan salam semoga tetap tercurah kepada nabi kita Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga dan para sahabatnya.

Saya telah membaca risalah yang berjudul “Ihyaud Dakwah Fil Bait” karya Muhammad bin Fahd bin Abdullah Al-Jifan, sebuah karya yang sangat berbobot dan layak untuk disebarkan kepada masyarakat. Semoga Allah subhanahu wa ta’ala memebari manfaat atas terbitnya buku ini dan memberi pahala bagi penulisnya. Saya mengajak kepada semua kaum muslimin untuk membaca dan merenungkan serta mengamalkan kebenaran yang ada di dalam buku ini. Semoga Allah ‘azza wa jalla memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan semoga shalawat dan salam tetap tercurah kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga dan para shahabanya.

Ulasan

Jangan pandang halaman nipisnya. Buku ini diberikan kata pengantar oleh ulama’ besar dunia hari ini yakni Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan hafidzahullah. Saya sendiri hampir tertipu dengan luaran dan saiz naskah ini.

Selayaknya naskah kecil ini mendapat pengiktirafan oleh ulama’ besar.

Naskah ini terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama menceritakan secara ringkas asas-asas yang perlu dimiliki oleh seorang pendakwah, akhlaknya, persiaan ilmunya dan hakikat dakwah. Pengarang juga menjelaskan beberapa perkara yang dapat memberikan motivasi san semangat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah.

Bahagian keduanya lebih menarik dan dekat dengan setiap individu yakni tanggungjawab dan kaedah berdakwah di dalam rumah. Sesuai dengan firman Allah yang maksudnya, “Wahai orang-orang beriman, periharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka…” (Surah at-Tahrim, ayat 6) 

Tidak sedikit orang yang lantang dan gigih berbuat sesuatu yang dikatakan dakwah; menulis di dada akhbar bercerita tentang persoalan umat, berceramah di depan ribuan khalayak, forum sini dan sana, namun dalam masa yang sama mengabaikan ahli keluarga terdekatnya,

Bukanlah kita menghendaki keluarganya soleh terlebih dahulu, baharu layak untuk seorang pendakwah itu mengembangkan dakwahnya di luar rumah. Tidak, bahkan kenyataan ini sama sekali fatal. Kerana berapa ramai kaum keluarga terdekat para Nabi itu engkar dengan apa yang didakwahkan.

Itu bukan syarat dakwah.

Yang dibicarakan ialah sikap mengambil mudah dan meninggalkan medan dakwah yang dekat semat-mata untuk memburu khalayak yang lebih ramai dan besar.

Untuk mereka yang sering mendapat tentangan dari ahli keluarga atau mereka yang tercari-cari apakah cara dan kaedah yang paling ampuh untuk mendakwahi keluarga; maka buku ini saya rekomenkan.

Ia diasaskan dari dalil-dalil yang sahih, dimuat secara ringkas tanpa penjelasan yang berjela-jela dan tentunya praktikal. Wallahuaklam.

November 14, 2011

Ada Apa dengan Wahabi?

Filed under: Dakwah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 3:20 am

Ada Apa dengan Wahabi? Pro Kontra Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab

Judul Asal : Dakwah Asy-Syaikh Muhammad bin Abdula Wahhab baina …

Penulis : Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu rahimahullah

Penterjemah : Abu Ayyub, S.Pdl.

Penerbit : Al-Ghuroba, Bekasi (2009)

Pada asalnya tema wahabi bukanlah subjek yang saya beri perhatian. Sebagai seorang Muslim tentu sahaja mempelajari tentang Nabi Muhammad (selawat dan salam buatnya) dan peribadi-peribadi yang berada di sekeliling beliau yakni para sahabat (semoga Allah redha kepada mereka semua) jauh lebih utama dan memberi manfaat.

Namun dek kerana usaha-usaha untuk menyebarkan ajaran Nabi dan cara beragama para sahabat sering dibarengi (baca : dihalang) oleh tuduhan dan label ‘wahabi’, subjek ini secara tidak langsung menjadi penting dan relevan untuk didalami. Asal sahaja tegas dan kotmited dalam isu-isu akidah dan syirik dituduh wahabi. Asal sahaja menyampaikan pandangan yang menyelisihi pegangan umum dikatakan wahabi. Sampai-sampai di sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Hanafi menuduh orang yang solat dan meletakkan tangan di atas perut dikatakan wahabi (kerana dalam pegangan mazhab Hanafi, mereka meluruskan tangan ke sisi ketika solat). Kalau mengikut kaedah ini, makanya seluruh rakyatMalaysiaadalah wahabi belaka!

Saya memiliki naskah ini dan beberapa naskah lain berkaitan bantahan dan salah faham terhadap mereka yang digelar ‘wahabi’. Dorongan semakin kuat untuk membaca dan memahaminya dengan lebih detil setelah diasak berkali-kali oleh sahabat-sahabat di facebook berkaitan syubhat tentang wahabi dan sejarah kerajaan Arab Saudi. Terlebih lagi tukang bantah wahabi nombor satu diMalaysiayakni Zamihan Md Zin Al-Ghari (ustaz) sudah menerbitkan buku khusus menyerang dan memburuk-burukkan wahabi dan dakwah salafiyah.

Sekali lagi, beliau bukan sahaja menuduh wahabi semata-mata melainkan diiringi denga tududah  wahabi sesat, wahabi menjisimkan Allah dan menamakan beberapa individu sebagai tokohnya termasuk Ustaz Rasul bin Dahri, Dr Maza, Hafidz Firdaus dan akhuna Abu Numair Nawawi Subandi hafidzahumullah.

Rebiu Ada Apa dengan Wahabi?

Syaikh Muhammad Jamil Zainu memulakan naskah ini dengan membawa nostalgia beliau mula-mula berkenalan dengan ‘wahabi’. Ianya bermula apabila beliau bertanya kepada gurunya tentang hadis yang disyarahkan oleh Imam Nawawi dalam Arbain Nawawiyah. Lantaran dari pertanyaan dan kesimpulan yang beliau ambil dari kitab itu, gurunya menuduh beliau sebagai wahabi. Juga beliau bawakan beberapa persoalan agama, membawakan dalil yang berbeza dengan pegangan umum dan dituduh juga wahabi. Lantaran dari tuduhan inilah beliau memulakan ‘kembara ilmu’ nya dan menyertai mereka-mereka yang dituduh sebagai wahabi itu.

Dari satu sudut, ternyata tuduhan dan tohmahan berniat jahat ini tetap memberi faedah dan hikmah kepada dakwah kepada manhaj salaf. Dari komplot jahat ini ternyata melahirkan insane seperti Syaikh Muhammad Jamil Zainu yang melahirkan begitu banyak karya-karya monumental seperti Jalan Golongan Yang Selamat (Firqatun Najiyah). Buku sederhana ini seolah-seolah sebuah naskah wajib bagi mereka yang mahu berkenalan dengan manhaj salaf.

Musuh Wahabi adalah Musuh Islam

Kemudian pada bab yang lain penulis membawakan secara ringkan inti dakwah yang dibawakah oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah yang menjadi sandaran istilah wahabi, yakni memurnikan akidah dan membenteras syirik. Juga catatan ringkas biografi syaikh.

Pada bahagian akhir naskah ini dibawakan pujian dan tanggapan dari tokoh-tokoh Islam dan tokoh orientalis juga terhadap dakwah beliau. Tidak perlu daya beberkan kesemuanya. Saya tampilkan perkataan yang menarik dari Departemen Penerangan Britania,

“Al-Wahabiyyah adalah sebuah nama pergerakan yang ingin memurnikan Islam.Parapengikut wahabiyah hanya meneladani pengajaran Rasulullah sahaja, iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah, serta tidak mengendahkan selain dari itu.Paramusuh-musuh Wahabiyyah adalah musuh-musuhIslam yang sebenarnya.”

Manakala seorang tokoh orientalis Perancis bernama Henri Lewis pula menuliskan,

“Istilah salafiyyah adalah jolokan yang ditujukan kepada gerakan Wahabi; kerana mereka berusaha mengembalikan Islam kepada ajarannya yang murni, sebagaimana awal-awal Islam di masa as-Salaf ash-Shalih. Sesungguhnya gerakan salafiyyah ini memiliki beberapa keistimewaan tersendiri dibandingkan gerakan-gerakan yang lain. Teori-teori yang diusung oleh gerakan ini lebih masuk akal. Gerakan ini membuka pintu ijtihad, melawah khurafat dan sikap ghuluw dalam agama, serta bekerja sekuat tenaga dalam menyelaskan antara agama dan perkembangan zaman.”

Bantahan Terhadap Kitab ad-Da’wah al-Muhammadiyah; al-Aql al-Hurr wa al-Qalb as-Salim karya Abdul Karim al-Khatib.

Sebahagian besar dari kandungan naskah ini sebenarnya adalah beberapa bantahan penulis terhadap buku di atas.

Penulis membawakan tuduhan yang dikemukakan dan kemudian beliau membawakan bantahannya.Adabeberapa perkara yang menarik dan bermanfaat. Insya Allah saya akan catatkan satu nota dalam entri khusus yang lain. Umumnya, sepertimana tuduhan yang dilakukan oleh mereka yang tidak berada diatas manhaj yang benar; hanya berlegar-legar kepada tanggapan dan cakap-dengar tanpa melakukan ‘tatsabbut’ yakni semakan dan siasatan yang teliti. Berbanding orang yang berpegang dengan manhaj salaf, sentiasa melampirkan sedetil mungkin rujukan pada setiap tuduhan.

Selain itu penentang dakwah salaf selalu melemparkan tuduhan secara rambang a-la peluru tabur. Sebagai contoh menuduh dakwah salaf sebagai terlalu tegas dan keras, tanpa membawakan contoh terperinci.

Dan tuduhan-tuduhan sebeginilah yang selalu diulang-ulang oleh penentang yang datang kemudian. Lagunya sama, hanya sahaja penyanyinya berbeza atau kata orang putih ‘same script, different cast’.

Beberapa catatan-catatan lain akan menyusul berkaitan naskah ini.

Mei 4, 2011

Agar Allah Selalu Memberi Jalan Keluar

Filed under: Adab & Akhlak,Dakwah — Mohd Riduan Khairi @ 1:40 pm

Agar Allah Selalu Memberi Jalan Keluar ; Ketika Persoalan Hidup Terasa Menghimpit
Penulis : Abu Firly Bassam Taqiy
Penerbit : Hikam Pustaka (2009)
Halaman : 266 mukasurat

Musibah atau ujian merupakan fitrah dalam kehidupan. Hanya orang-orang yang mati sahaja tidak diuji. Sekiranya penyudah hidup mereka baik, maka baiknya kehidupan mereka selepas mati. Sebaliknya, mereka akan diazab dan diseksa. Semoga Allah memberi kita kehidupan yang bermanfaat dan kesudahan hidup yang baik.

Allah sendiri selaku pemilik dan pentadbir alam ini menegaskan dalam Kitab Suci Nya Al-Qur’an,

Dan pasti! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al- Baqarah, ayat ke 155)

Ujian ini terlebih lagi diberikan kepada orang-orang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dalam ayat lain Allah berkata,

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui Nya tentang orang yang berdusta.(Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

Sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Adil, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Orang-orang yang beriman dijanjikan dengan ujian dan cabaran. Demikian juga Allah menyediakan sekian banyak tips dan cara untuk menghindari dan menghadapi ujian itu. Semua tercatat rapi dalam lembar Al-Qur’an dan di sela-sela sabda Nabi.

Antaranya termasuk :

1. Solat.

Kata Allah, “Jadikanlah solat dan sabar itu sebagai penolongmu. Dan sesunguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi ornag-orang yang khusyu’.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

Dalam satu hadis sahabat Hudzaifah (semoga Allah redha kepadanya) menceritakan, bahawa ketika persoalan terasa berat (bagi Nabi), maka beliau mengerjakan solat. (Sahih Sunan Abu Dawud)

Hal ini dicontohi oleh ramai sarjana dan ilmuwan Islam. Ketika mereka buntu memecahkan persoalan fatwa atau hukum, mereka akan berhenti sejenak dan mendirikan solat untuk mendapat pencerahan.

2. Sabar. Ia merupakan perkataan ringkas namun mengandung makna yang sangat besar. Tidak kurang dari 70 kali kalimat sabar diungkapkan. Dan dan beberapa kali darinya ia digandingkan dengan ibadah yang besar dalam agama yakni solat.

Sabar juga antara amal yang dirahsiakan oleh Allah jumlah pahalanya seperti yang dijelaskan dala Surah Az-Zumar ayat ke 10,

“Sesungguhnya hanya orang-orang sabar yang dipenuhi pahalanya tanpa batas.”

Begitu juga khabar gembira dijanjikan kepada orang yang mempu bersabar dengan ujian dan musibah yang dihadapai,

Dan pasti! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al- Baqarah, ayat ke 155)

Tedapat banyak lagi tips dan cara yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan hadis untuk menghindari dan menangani ujian dan musibah yang menimpa.

Antaranya termasuk menolong agama Allah, membantu golongan yang lemah, menjaga siulaturrahim, menolong anak yatim, infak kepada orang yang memerlukan dan beberapa lagi.

Walaupun saya tidak menggemari cara buku ini disusun dan dihuraikan, namun ia masih memberi manfaat. Ini kerana naskah ini berjaya menghimpunkan banyak tips beserta dalil yang sahih.

April 13, 2011

Biodata Ustaz Rasul bin Dahri

Filed under: Dakwah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 3:49 am

Biodata Ustaz Rasul Bin Dahri

Nama penuh Ustaz Rasul ialah Rasul Bin Dahri bin Saem bin Mohsen. Ayahnya berketurunan Bugis dilahirkan di Indonesia dan ibunya berketurunan Cina lahir di Muar, Johor.

Ustaz Rasul bin Dahri dilahirkan di Singapura pada 27 Mei 1953. Beliau masih memegang kewarganegaraan Singapura, menetap di Johor Bahru, Malaysia. Dianugerahkan empat belas orang anak dan isterinya berwarganegara Malaysia dan semua mereka menetap di Malaysia.

Beliau seorang pengusaha dan peniaga selain pendakwah bebas yang berdakwah di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Menyebarkan dakwahnya melalui ceramah, kuliah, tulisan, kaset, cd, vcd atau internet.

Pendidikan

Bekas penuntut Madrasah al-Juned al-Islamiyah Singapura. Melanjutkan pengajian ke Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau Pinang, Malaysia dan kemudian menyambung pengajiannya ke Ma’had al-Haram, Mekah al-Mukarramah. Belajar Bahasa Arab di Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi dan menuntut di Universiti Ummul Qura dalam bidang Syariah, Dakwah & Usuluddin. Beliau berada di Mekah, Arab Saudi selama sebelas tahun dari 1973 hingga tahun 1984.

Guru-Guru

Semasa di Mekah, beliau sempat bersama Syeikh Muhaddis Abu Abdirrahman Mukbil bin Hadi al-Wad’ie rahimahullah di Universiti Ummul Qura’. Sempat juga bergutu dengan beberapa orang syeikh semasa mengunjungi (berada) di Mekah, iaitu sekitar musim Haji atau bulan Ramadan. Antara syeikh-syeikh yang sempat didampingi ialah as-Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah dan as-Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan hafizhullah.

Semasa di mekah beliau telah menimba ilmu dan bertalaqqi dari beberapa masyaeikh, antaranya ialah Syeikh Ahmad al-Mandili, Syeikh Yahya hafizahullah (dalam ilmu sanad, rawi dan jarh wa ta’dil), dan mempelajari ilmu-ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh dan ilmu-ilmu lain antaranya dari Syeikh Syaid Sabiq rahimahullah, Syeikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah, Muhammad Quthb hafizahullah, Syeikh Hasan al-Habannaka al-Maidani, Syeikh Tantawi (penceramah radio Mekah) rahimahullah, Syeikh Mujahid as-Sawwaf rahimahullah dan asy-Syeikh Abdurrahman al-Yamani rahimahullah.

Alhamdulilah diberi kesempatan juga oleh Allah Azza wa Jalla menghadiri kuliah-kuliah asy-Syeikh al-Muhaddis Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah dan asy-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah di musim Haji dan di bulan Ramadan.

Semoga semua para masyaeikh (syeikh-syeikh) semasa belajar di Mekah al-Mukarramah (Arab Saudi), guru-guru di Singapura semasa belajar di Madrasah al-Juned al-Islamiyah dan guru-guru di Madrasah al-Masyhur semasa belajar di Pulau Pinang, Malaysia dimohonkan oleh Allah anugerah syurga Firdaus dan semoga mereka semua sentiasa di dalam rahmat Allah serta diluaskan kubur mereka bagi mereka yang telah pulang ke rahmatullah.

Hanya kepada Allah sahaja kita memohon semoga Dia sentiasa memelihara keberkatan ilmu yang telah dianugerahkan kepada hamba-Nya dan pahala serta keampunan kepada mereka yang menyampaikan ilmu-ilmu mereka dengan penuh keikhlasan. Amin Ya Rabbil ‘alamin.

Januari 23, 2011

‘Wahabi’ Menjatuhkan Turki Uthmaniyah!

Filed under: Dakwah,Politik — Mohd Riduan Khairi @ 4:24 am
Tags: , , ,

Analogi buat yang diberi faham oleh Allah

Ada sebuah rumah yang sudah usang. Pemiliknya tidak pernah endah dengan rumah tersebut. Yang mereka tahu duduk berteduh dan tidur di dalamnya. Tanpa memikirkan tentang tiang yang dimakan anai-anai dan dinding yang reput. Atap yang bocor pun tidak dihiraukan.

Suatu hari datang seorang pengembara tumpang berteduh di halaman rumah. Kerana lelah dia pun cuba melelapkang mata sambil bersandar di dinding rumah yang usang itu.

Ditakdirkan rumah yang sudah sedia usang itu pun runtuh kerana menahan sandaran pengembara ini.

Maka keluarlah tuan rumah melihat rumahnya yang sedang roboh. Maka disalahkannya sang pengembara ini kerana mengakibatkan rumahnya runtuh.

Pengarang buku panas, Kejatuhan Kerajaan Turki Uhtmaniyyah: Suatu Analisis Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah“, Ibnu Ahmadain al-Barlisi membuat analogi mudah tentang tuduhan penglibatan gerakan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab terhadap kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Beberapa Nama Yang Gemar Mengaitkan ‘Wahabi’ dengan Kejatuhan Turki Uthmaniyah

Elok juga dirungkai asal-muassala atau setidak-tidaknya orang yang menggembur semula isu ini. Antara yang agak dikenali umum ialah :

  • Dr Muhammad Uthman el-Muhammady dalam kerta kerjanya Tauhid Menentang Syirik Dalam Kefahaman dan Amalan (2002)
  • Zamihan Mat Zain al-Ghari, Salafiyah Wahabiyah : Satu Penilaian (2001)
  • Astora Jabat, rencana Wahhabi : Bahaya dari Padang Pasir. Dalam Al-Islam Februari 2003.

Catatan : Astora Jabat berkongsi pandangan dengan Hizbuttahrir menuduh ‘Wahabi’ sebagai khawarij.

Faktor Dalam Istana Yang Menyumbang Kepada Jatuhnya Kerajaan Turki Uthmaniyah

Pengarang buku ini membawakan hujah dari Prof Mehmet Maksudoglu 7 faktor (Osmanly History 1289-1922, Based On Osmanli Sources) :

  1. Kelemahan pentadbiran sultan (terutama pada perido kedua)
  2. Jihad bukan lagi misi dan asa penggeraknya
  3. Kesibukan berperang (dengan negara-negara Eropah)
  4. Pembukaan Jalan-jalan maritim baru
  5. Revolusi Industri yang menguatkan Eropah
  6. Campur tangan wanita (bonda sultan, permaisuri dan gundik-gundik) dalam pentadbiran
  7. Kemewahan dan Cintakan dunia

Kesimpulan

Pengarang buku ini membuat kesimpulan yang tuntas dan baik tentang penglibatan gerakan dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Pengarang menggunakan istilah ‘pertembungan secara tidak langsung’. Ini kerana mereka bertembung bukan secara terus dengan pemerintah Turki, sebaliknya bergeser dengan wakil-wakil kerajaan Turki sahaja seperti dinasti Syarif Makkah, dinasti Muhammad Ali Pasha di Mesir dan ar-Rasyid di Najd.

Pertembungan ini berlaku bukan kerana mahu merebut khalifah atau menjatuhkan kerajaan Turki. Sebaliknya ia merupakan pertahanan dan melindungin keyakinan dan akidah.

Jika pergeseran ini boleh dijadikan premis untuk membuktikan tuduhan bahawa gerakan dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah,

maka banyak lagi pihak lain boleg dituduh sedemikian rupa termasuk kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu. Catatan sejarah membuktikan pemerintah Tanah Melayu ketika itu telah menyumbang sejumlah billionan harta untuk membantu British dalam perang Dunia pertama. Dilaporkan pemerintah Tanah melayu ketika itu menyumbang sebuah kapal perang His Majesty Ship HSM bernilai $22,000,000 kepada British untuk berperang melawan paksi yang disertai kerajaan Tukri.

Bahkan ada arahan dari pemerintah dan pejabat mufti melarang sokongan kepada kerajaan Turki, sebaliknya sokongan perlu diberikan kepada kerajaan British!
Semua dakwaan dan bukti ini ditampilkan dalam naskan ini. Rujukan boleh diperolehi secara lengkap dalam naskan ini. Hanya sahaja saya tidak menampilkannya dalam rebiu ini kerana ia melibatkan nama-nama institusi.


Penerbit: Jahabersa. www.jahabersa.com.my

Harga: RM20.00 (soft cover, 279ms).

Sinopsis buku di kulit belakang:

Banyak orang menyandarkan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah kepada gerakan islah Muhammad bin Abdul Wahhab, atau lebih dikenali sebagai gerakan “Wahhabiyyah”.

Benarkah sandaran atau ia semata-mata tuduhan? Pengarang buku ini cuba menganalisa persoalan ini dengan mengkaji sumber-sumber sejarah yang ditulis oleh ahli sejarah pelbagai pihak. Keputusan kajian agak memeranjatkan!

Disember 27, 2010

Kaedah Menyingkapi Tokoh Kesesatan

Filed under: Dakwah — Mohd Riduan Khairi @ 12:06 am

Judul Asal : Hajar Mubtadi (Memulau Ahli Bid’ah)

Penulis : Syaikh Bakar bin Abu Zaid (Maktabah As-Sunnah)

Penterjemah : Abu Fuad (Islamic Da’wah)

Syaikh Bakar Bin Abu Zaid (wafat 2008). Beliau merupakan antara sarjana Islam kontemporari yang tersohor. Menulis hampir dalam semua bidang. Beliau menuntut ilmu dengan beberapa sarjana termasuk Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan pakar tafsir Syaikh Muhammad Amin Asy-Syanqiti.

Buku setebal 96 halaman ini membincangkan isu ‘hajar‘ atau dalam perkataan Melayunya memulau atau boikot.

Perbuatan memulau atau boikot orang yang melakukan maksiat (kesalahan) sudah ada contohnya pada zaman Nabi. Contoh yang masyhur ialah kisah Nabi dan para sahabat memboikot Kaab bin Malik dan dua sahabatnya. Ini kerana mereka tidak menyertai Perang Tabuk tanpa alasan yang syar’ie.

Syaikh Bakar bin Abu Zaid menjelaskan kaedah atau prinsip meng’hajr‘. Antara yang dibahaskan termasuk,

  • Jenis-jenis hajr
  • Syarat-syarat hajr secara syar’ie
  • Kriteria Syar’ie dalam hajr
  • Kedudukan Hajr dalam Perkara Akidah

Buku ini juga menyentuh fenomena hajr yang dilakukan tidak mengikut aturan dan keperluan. Beliau menunjukkan beberapa contoh hajr yang dilakukan oleh ulama salaf, namun disalahtanggapi oleh pendakwah zaman sekarang.

Kesimpulannya, buku ini amat bermanfaat kepada pencinta ilmu dan pendakwah.

September 2, 2010

Lembutnya Dakwah Ahlus Sunnah

Filed under: Dakwah — Mohd Riduan Khairi @ 3:20 pm
Tags: , ,

Lembutnya Dakwah Ahlus Sunnah

Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad Al-Badr

Pustaka Darul Ilmi (Jakarta, 2009)

116 halaman

Ada dua perkara yang perlu saya catatkan berkaitan buku ini. Pertama, pengenalan kepada pengarang buku ini iaitu Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad Al-Badr dan kandungan buku ini seterusnya.

Syaikh Abdul Muhsin Abbad

Beliau masih beluam dikenali di tanah air kita. Pertama mungkin kerana beliau tidak pernah menziarahi Malaysia atau menerima sebarang anugerah dari pihak pemerintah negara kita seperti Qaradhawi atau Prof Wahbah Az-Zuhaili. Buku-buku beliau juga belum diterjemah ke dalam bahas Melayu.

Pun begitu, di kalangan pencinta ilmu di luar negara namanya begitu masyhur. Dek kerana gah dan masyuhurnya nama beliau ini, seorang sahabat saya mendedikasikan nama anaknya sempena nama syaikh ini.

Beliau mengarang begitu banyak buku, rencana dan mengadakan banyak siri kuliah pengajian agama. Semua ini tercatat dalam biografi ringkas yang disertakan dalam naskah ini. Beliau pernah menjawat jawatan rektor Universiti Islam Madiah.

Antara ulama’ yang merekomendasi beliau sebagai guru termasuk ; Al-Imam Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz rahimahullah, Syaikh Hammad Ansari rahimahullah, Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan hafidzahullah dan pakar hadith dari Yaman Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’

Lembutnya Dakwah Ahlus Sunnah

Kata pepatah Arab “Lembutkanlah kata-kata, nescaya ia akan melembutkan hati”.

Asal dakwah itu adalah dengan berlemah-lembut. Tegas atau berkeras perlu hanya pada situasi-situasi yang tententu dan terdesak. Sekeras dan setegar Fir’aun, Allah perintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berdakwah dengan kata-kata yang baik. Seperti yang terakam dalam Surah Toha : 43-44,

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampai batas (sesat), maka bicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah-lembut, mudah-mudahan ia mendapat peringatan dan takut (terhadap Allah)”

Manakala Aisyah melaporkan Nabi Muhammad pernah berkata :

“Sesunnguhnya kelembutan tidak terdapat pada sesuatu melainkan ia akan membuatnya indah, dan tidak dicabut dari sesuatu melainkan ia akan membuatkannya buruk” (Sahih Muslim)

Pengarang seterunya membawakan beberapa perbincangan berkaitan kritikan (tahdzir) dan cela-mencela di kalangan orang Islam. Lebih khusus lagi ia ditujukan kepada orang Islam yang melalukan kesilapan atau tergelincir dalam memahami agama.

Tidak ada gading yang tidak retak, begitulah boleh diibaratkan kepada penuntut ilmu bahkan juga kepada mereka yang bergelar sarjana atau ulama’. Yang maksum hanya Nabi Muhammad. Fenomena mengkritik dan menjatuhkan hukuman secara semberono dilihat akan merosakkan keharmonian beragama di dalam Islam.

Walaupun ringkas, buku ini sangat bermanfaat buat penuntut ilmu dan pendakwah.

Ogos 19, 2010

Saat Hidayat Menyapa (rebiu khas dari pengarang)

Filed under: Dakwah — Mohd Riduan Khairi @ 3:40 am

Pengantar Buku: “SAAT HIDAYAH MENYAPA”

Ini adalah kisah luar biasa ! Musibah yang sangat besar menjadi awal jalan sukses !

Setiap orang akan mendapat ujian dalam kehidupannya. Suatu ketika manusia diuji dengan harta melimpah dan kenikmatan dunia yang sangat menggiurkan. Mereka pada umumnya cenderung lupa diri dan lupa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya, ketika manusia diuji dengan musibah, pada umumnya hatinya mudah tergerak untuk memohon pertolongan Allah, kembali ke jalan Allah. Walau begitu tidak sedikit manusia karena sangat kuat keinginannya untuk melepaskan diri dari musibah, apalagi bila musibah itu sangat berat, tidak sabar menderita, lalu mengambil jalan pintas dengan cara meminta pertolongan kepada selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan masuklah mereka  ke dunia syirik atau melepaskan akidah Islamnya.

Musibah adalah kasih sayang Allah, agar manusia tidak terus terjerumus ke jalan yang sesat, agar ingat kepada-Nya dan kembali ke jalan-Nya, agar memperoleh kebahagiaan sejati dunia sampai ke akhirat.

Buku di tangan Anda ini  diangkat dari sebuah kisah nyata yang sangat menarik dan menyentuh hati. Seorang pemuda yang  mendapatkan pendidikan yang baik dari orang tuanya. Di usia muda suka berkumpul dengan teman-temannya yang memilih pergaulan bebas. Untuk itu sampai hati dia berbohong kepada ayahnya dengan sumpah palsu. Suatu ketika Allah Swt datangkan musibah berupa kecelakaan yang sangat tragis, patah lehernya sehingga menderita lumpuh total.

Sungguh tidak mudah bagi siapa pun untuk menghadapi situasi seperti ini. Adalah luar biasa seorang pemuda yang sedang senang-senangnya terlena dalam menikmati hidup bebas berhura-hura mengikuti teman-temannya yang nakal, tiba-tiba mengalami kecelakaan fatal dan langsung lumpuh total. Hidup terasa tiada berguna lagi.

Semenjak itu ia menjadi manusia yang hidupnya bergantung kepada pertolongan orang lain. Dalam suasana kesedihan dan hampir putus-asa karena kehilangan segala-galanya itu, hati dan fikiran pasti sangat kacau. Namun dengan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan dengan bekal yang dibawanya dari pendidikan orang tuanya di masa kecilnya, perjuangan batin yang amat keras itu akhirnya sanggup membangun hati bersih dan berfikir jernih sehingga akhirnya berhasil menemukan kompas kehidupan baru yang lebih baik.

Walau dengan keterbatasan gerak mulailah dia menimba ilmu dengan lebih serius khususnya ilmu-ilmu agama sampai benar-benar dia menjadi seorang da’i. Kini dia telah  menjadi seorang da’i yang terhormat, dan nasehat-nasehatnya sangat diperlukan masyarakat. Bila dia berdakwah, dengan pemahaman dan penghayatan akan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sangat mendalam disertai tutur kata yang lembut, maka  siapa saja yang mendengar ajaran-ajaran Islam dan nasehat yang disampaikannya sangat mudah tersentuh hatinya,. Abdullah bin Umar bin Abdullah Bani’mah telah menjadi da’i terkenal dan pendakwah yang hebat sehingga diterima di berbagai Negara, masya Allah.

Begitulah pentingnya kasih sayang dan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kemudian pentingnya pendidikan yang baik dari orang tua yang akan sangat membekas pada diri anak dan akan terus dibawa sepanjang hayatnya.

Buku perjalanan hidup Abdullah bin Umar bin Abdullah Bani’mah ini adalah buku pendidikan yang sangat baik, penuh pelajaran berharga pada setiap episodenya. Ditulis oleh Saudara Fariq Gasim Anuz seorang da’i yang berhasil mewawancarainya secara langsung dan dilengkapi berbagai sumber serta kepustakaan yang terkait. Buku ini juga sangat mengasyikkan untuk dibaca halaman demi halaman.

Bagi orang tua yang mendidik anak-anaknya buku ini penuh suri tauladan dalam mendidik kepada kebaikan. Di samping itu buku ini juga dengan jujur mengungkap hal-hal yang salah  agar tidak ditiru. Bagi anak-anak muda buku ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kuat agar senantiasa berbuat  baik dan taat kepada kedua orang tuanya, dan dalam pergaulan pandai-pandai memilih pergaulan yang baik agar tidak terjerumus ke jalan yang sesat.

Musibah adalah kasih sayang Allah Subhanahu Wa Ta’ala,  maka setiap musibah seharusnya disikapi dengan senantiasa husnudhan kepada-Nya, karena Allah Maha Baik tidak mungkin merugikan hamba-Nya. Dengan husnudhan dan bertobat dengan sesungguhnya maka insya Allah, Allah Subhanahu Wa Ta’ala turunkan ampunan,  rahmat dan hidayah-Nya.

Selamat membaca !

DR dr Mohammad Rofiq Anwar SpPA

(Rektor Universitas Islam Sultan Agung Semarang periode 2001-2009)

(Saat Hidayah Menyapa, Fariq Gasim Anuz, Daun Publishing, 2010)

Julai 29, 2010

Dialog Ulama’ dengan Umarak

Filed under: Dakwah,Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 12:49 pm
Tags: ,

Baru-baru ini media melaporkan 40 ahli akademik dan sarjana Islam (saya gantikan istilah ulama’) menyertai parti pemerintah UMNO. Sejenak beberapa ketika, polemik hubungan pemerintah dan ulama’ kembali bergema. Ada golongan memilih untuk kekal sebagai berkecuali dalam soal kepartian, ramai juga ustaz dan lulusan pengajian Islam berada di kem parti pembangkang. Penyertaan 40 ahli akademik ini ke dalam UMNO memberi dimensi baru hubungan ulama’ dan pemerintah di negara kita.

Tulisan ini tidak membincangan pro atau kontranya tindakan mereka, melainkan doa supaya mereka dapat melalukan sesuatu buat diri mereka berupa amal dan dakwah, dan di sisi parti yang mereka sertai semoga beroleh manfaat di dunia dan akhirat.

Tulisan ini hanya akan membuat rebiu kepada sebuah buku yang saya baca Dialog Ulama’ Dengan Umara’.

Sebelum membuat ulasan berkaitan kandungan buku ini, saya ingin melahirkan rasa tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh penyusun dan penerbit ini. Hadith-hadithnya lansung tidak diberi catatan rujukan. Setakat yang saya cermati, satu pun tidak ada rujukan. Lebih-lebih lagi kisah-kisah dan cerita yang disarikan. Mujur sahaja, sebahagian dari kisah itu masyhur dan selalu disebutkan dalam tulisan dan buku-buku lain. Jika dua perkara ini dapat dibaiki, saya percaya naskah ini punya nilai yang sangat tinggi.

Kandungan

Penyusun membawakan tidak kurang dari 10 kisah berkaitan hubungan ulama salaf dan pemerintah (khalifah dan gabenor). Kisah bagaimana ulama’ salaf menasihati pemerintah dengan beraninya, walau diancam bunuh. Bahkan ada yang akhirnya di bunuh.

Antara kisah yang masyhur ialah kisah seorang ulama besar generasi tabi’in (anak murid sahabat) Said bin Jubair yang dipancung kepalanya oleh Hajjaj Thaqafi kerana menyatakan kebenaran. Selain Said bin Jubair, dibawakan juga kisah Huthait Azzaiya yang disiksa atas perintah Hajjaj. Hajjaj bukanlah khalifah, sebaliknya hanya gabenor.

Itu adalah secebis kisah dari beberapa pemerintah @ penguasa yang zalim. Situasi yang sebenar bukanlah selalunya begitu. Lebih ramai pemerintah Islam yang adil berbanding yang zalim.

Sejarah mencatatkan pemimpin-pemimpin Islam yang sering berjumpa ulama’ untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan. Antara yang dinukilkan dalam buku ini termasuk nasihat Qadhi Abu Yusuf kepada khalifah Harun Rasyid, Imam Auza’i kepada Khalifah Mansur dan Abu Hazim kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Surat nasihat

Selain berjumpa ‘empat mata’, ulama Islam sering mengutus surat kepada pemimpin untuk menasihati mereka. Di dalam naskah ini, penyusun membawakan beberapa contoh surat yang dihantar termasuk :

–         Surat Husin Tahir kepada anaknya Abdullah

–         Surat Hassan Al-Basri kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz

–         Surat Ali bin Abi Talib kepada Gabenor Malik Ashtar di Mesir

Berdasarkan kisah-kisah yang dibawakan kita dapat melihat kaedah yang digunakan oleh sarjana Islam terdahulu dalam menasihati pemimpin. Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh nabi antara amal yang utama ialah menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.

Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah. Risikonya sangat tinggi. Kemungkinan di hukum atau di bunuh itu ada. Pun begitu seperti yang dikatakan oleh nabi, ‘di hadapan penguasa yang zalim’.

Terbalik dari apa yang dikatakan oleh nabi, tidak sedikit penasihat atau pengkritik pemerintah hari ini bermuka-muka. Di hadapan pemimpin semuanya tunduk dan baik sahaja. Sebaliknya di belakang ada yang mencaci, memaki dan mendedahkan aib pemerintah.

Sama situasi dengan pemimpin parti politik bertentangan idelogi. Mereka boleh duduk semeja menjamu makanan dan saling setuju dan memuji satu sama lain. Di waktu yang lain, di atas pentas ceramah, mereke menghamum dan mencerca seolah-olah tidak ada satu titik kebaikan pun yang ada pada lawannya.

Saya cadangkan buku ini dibuat semakan semula, supaya kandungannya dapat diambil manfaat.

Dialog Ulama’ Dengan Umarak

Wan Iqbal Wan Abdul Hamid

Pustaka Ilmi, Batu Caves 2000

129 halaman

Laman Berikutnya »