Mari baca

Julai 29, 2010

Dialog Ulama’ dengan Umarak

Filed under: Dakwah,Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 12:49 pm
Tags: ,

Baru-baru ini media melaporkan 40 ahli akademik dan sarjana Islam (saya gantikan istilah ulama’) menyertai parti pemerintah UMNO. Sejenak beberapa ketika, polemik hubungan pemerintah dan ulama’ kembali bergema. Ada golongan memilih untuk kekal sebagai berkecuali dalam soal kepartian, ramai juga ustaz dan lulusan pengajian Islam berada di kem parti pembangkang. Penyertaan 40 ahli akademik ini ke dalam UMNO memberi dimensi baru hubungan ulama’ dan pemerintah di negara kita.

Tulisan ini tidak membincangan pro atau kontranya tindakan mereka, melainkan doa supaya mereka dapat melalukan sesuatu buat diri mereka berupa amal dan dakwah, dan di sisi parti yang mereka sertai semoga beroleh manfaat di dunia dan akhirat.

Tulisan ini hanya akan membuat rebiu kepada sebuah buku yang saya baca Dialog Ulama’ Dengan Umara’.

Sebelum membuat ulasan berkaitan kandungan buku ini, saya ingin melahirkan rasa tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh penyusun dan penerbit ini. Hadith-hadithnya lansung tidak diberi catatan rujukan. Setakat yang saya cermati, satu pun tidak ada rujukan. Lebih-lebih lagi kisah-kisah dan cerita yang disarikan. Mujur sahaja, sebahagian dari kisah itu masyhur dan selalu disebutkan dalam tulisan dan buku-buku lain. Jika dua perkara ini dapat dibaiki, saya percaya naskah ini punya nilai yang sangat tinggi.

Kandungan

Penyusun membawakan tidak kurang dari 10 kisah berkaitan hubungan ulama salaf dan pemerintah (khalifah dan gabenor). Kisah bagaimana ulama’ salaf menasihati pemerintah dengan beraninya, walau diancam bunuh. Bahkan ada yang akhirnya di bunuh.

Antara kisah yang masyhur ialah kisah seorang ulama besar generasi tabi’in (anak murid sahabat) Said bin Jubair yang dipancung kepalanya oleh Hajjaj Thaqafi kerana menyatakan kebenaran. Selain Said bin Jubair, dibawakan juga kisah Huthait Azzaiya yang disiksa atas perintah Hajjaj. Hajjaj bukanlah khalifah, sebaliknya hanya gabenor.

Itu adalah secebis kisah dari beberapa pemerintah @ penguasa yang zalim. Situasi yang sebenar bukanlah selalunya begitu. Lebih ramai pemerintah Islam yang adil berbanding yang zalim.

Sejarah mencatatkan pemimpin-pemimpin Islam yang sering berjumpa ulama’ untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan. Antara yang dinukilkan dalam buku ini termasuk nasihat Qadhi Abu Yusuf kepada khalifah Harun Rasyid, Imam Auza’i kepada Khalifah Mansur dan Abu Hazim kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Surat nasihat

Selain berjumpa ‘empat mata’, ulama Islam sering mengutus surat kepada pemimpin untuk menasihati mereka. Di dalam naskah ini, penyusun membawakan beberapa contoh surat yang dihantar termasuk :

–         Surat Husin Tahir kepada anaknya Abdullah

–         Surat Hassan Al-Basri kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz

–         Surat Ali bin Abi Talib kepada Gabenor Malik Ashtar di Mesir

Berdasarkan kisah-kisah yang dibawakan kita dapat melihat kaedah yang digunakan oleh sarjana Islam terdahulu dalam menasihati pemimpin. Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh nabi antara amal yang utama ialah menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.

Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah. Risikonya sangat tinggi. Kemungkinan di hukum atau di bunuh itu ada. Pun begitu seperti yang dikatakan oleh nabi, ‘di hadapan penguasa yang zalim’.

Terbalik dari apa yang dikatakan oleh nabi, tidak sedikit penasihat atau pengkritik pemerintah hari ini bermuka-muka. Di hadapan pemimpin semuanya tunduk dan baik sahaja. Sebaliknya di belakang ada yang mencaci, memaki dan mendedahkan aib pemerintah.

Sama situasi dengan pemimpin parti politik bertentangan idelogi. Mereka boleh duduk semeja menjamu makanan dan saling setuju dan memuji satu sama lain. Di waktu yang lain, di atas pentas ceramah, mereke menghamum dan mencerca seolah-olah tidak ada satu titik kebaikan pun yang ada pada lawannya.

Saya cadangkan buku ini dibuat semakan semula, supaya kandungannya dapat diambil manfaat.

Dialog Ulama’ Dengan Umarak

Wan Iqbal Wan Abdul Hamid

Pustaka Ilmi, Batu Caves 2000

129 halaman

Advertisements