Mari baca

Mac 2, 2015

Pengurusan Islami – Menghayati Prinsip Nilai Islami

IMG_3023‘Sepakat membawa muafakat’ antara pepatah atau pantun klasik Melayu memerikan prinsip hidup bermasyarakat. Dalam bahasa moden boleh disebut sebagai prinsip bermasyarakat dan hidup bernegara. Atas dasar dan prinsip sebegini alam Melayu membangunkan negara dan kesultanan mereka.

Termasuk tujuan pengutusan manusia ke muka bumi adalah untuk mentadbir dan mengurus kehidupan mereka agar menjadi sebuah ibadah hanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Maka disebutkan Islam sebagai sebuah cara hidup. Semua pedoman itu terangkum dalam wahyu yang Allah turunkan kepada para Rasul bermula Zabur, Taurat, Injil, Al-Qur’an dan suhuf-suhuf yang lain. Ia ibarat ‘manual’ bagi perjalanan kehidupan manusia dari awal hingga akhir.

Dan kemudiannya manual ini ditafsir dan dipraktiskan melalui Rasul dan Nabi yang diutus bersamanya. Rasulullah sendiri mengatur dan mempraktiskan Al-Qur’an bersama lebih 100,000 umat Islam dan sejumlah besar orang-orang kafir yang lain. Ia telah teruji dan terbukti menjadi pedoman paling unggul dalam mengurus keluarga, masyarakat dan negara dari satu zaman ke zaman yang lain dan seterusnya.

Justeru ilmu pengurusan bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Rasulullah sendiri menunjukkan contoh mengurus-tadbir sebuah negara kota di Madinah. Para khalifah ar-rasyidin mengikuti jejak langkah mengurus-tadbir ini sehingga Berjaya menakluk dua kuasa besar dunia ketika itu yakni Rom dan Parsi. Ia ibarat China dan Rusia pada analogy hari ini. Legasi kegemilangan ini dilanjutkan lagi hingga ke kerajaan Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan seterusnya.

Kerajaan Melayu klasik juga merupakan kerajaan yang gemilang dan dihormati di seluruh dunia. Disebutkan bahawa orang Melayu antara yang terawal menyusun ilmu mengenai pemerintahan dan pentadbiran negara. Ia ditulis pada zaman kerajaan Melayu-Funan di Vietnam. Sudah ada kajian akademik mengenainya dilakukan oleh ahli akademi di dalam negara kita mengenainya.

Demikian juga ketika zaman kegemilangan Melayu Melaka. Antara yang amat terkenal dalam catatan sejarah ialah Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang. Jika dari kerajaan Majapahit pula tersohor nama Patih Gajah Madja seorang Perdana Menteri yang berpengalaman menasihati Raja yang menaiki takhta pada usia 18 tahun yakni Hayam Wuruk. Dengan kebijaksanaan dan kematangan akhirnya kombinasi raja yang muda dan perdana menteri yang bijaksana membawa kepada era kegemilangan kerajaan Majapahit. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Madja dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.

Antara wasiat penting Tun Perak kepada anak-anaknya sebelum meninggal dunia ialah: “Wahai anak cucuku! jangan kamu tukar agama dengan dunia; yang dunia pasti tiada akan kekal adanya. Syahadan yang hidup sahaja, akan mati juga kesudahannya. Hendaklah kau tuluskan hatimu pada berbuat kebaktian pada Allah SWT dan akan Rasulullah SAW, dan berbuat kebaktian akan Allah, seperti firman Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an yakni berbuat baktilah kamu akan Allah. Inilah wasiatku kepada kamu semua; hendaklah jangan kamu lupa, supaya kebebasan dunia akhirat kamu peroleh.” (Tun Sri Lanang, Sulalatus Salatin)

Wasiat ini bertepatan dengan apa yang diwasiatkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang maksudnya, ““Aku tinggalkan kamu selagimana kamu berpegang teguh dengannya pastilah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iatu Kitab Allah dan Sunnahku”. (Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwaththa’, no. 1395).

Jika ditelusuri lebih awal lagi dari itu Allah telah merakamkan di dalam Al-Qur’an perihal dua buah kerajaan besar yang ditadbir oleh dua tokoh yang disegani. Yakni kerajaan Nabi Sulaiman b Daud Alaihissalam dan kerajaan sezaman dengannya Kerajaan Saba’ yang terkenal dengan Empangan Ma’arib. Ia dipimpin oleh seorang wanita yang disebut sebagai Ratu Balqis.

Lihat pedoman bagaimana mereka mengurus dan mentadir dua empayar besar ketika itu. Bahkan Ibn Kathir membawakan riwayat bahasa terdapat empat empayar terbesar dalam dunia sepanjang zaman; dua darinya beriman yakni Nabi Sulaiman dan Dzulqarnain. Manakala dua lagi kufur yakni Bukhtanasar (Nebuchadnezar) dan Namrud (Nimrod) yang membina bangunan tertinggi di dunia iaitu Menara Babilon. Sejarawan merekodkan julat ketinggian menara tersebut antara 2000 meter hingga 11,000 meter bermakna ia dua hingga tiga kali ganda dari Burj Dubai.

Al-Qur’an merakamkan Nabi Sulaiman memimpin bukan sahaja manusia bahkan jin dan haiwan. Walaupun baginda seorang Rasul yang menerima wahyu dan pemimpin yang hebat, namun tetap ketika mahu memindahkan singgahsana Ratu Balqis, baginda tetap bertanya dan meminta pandangan dari penasihat-penasihatnya. Demikian juga Ratu pemilik empayar Empangan Ma’arib, ketika menerima surat dari Nabi Sulaiman, beliau mendapatkan pandangan dan bermesyuarat dengan menteri-menterinya. Kisah ini dirakamkan di dalam Surah as-Saba’ di dalam Al-Qura’an.

Itu belum lagi kita singkap teladan khalifah yang empat memimpin umat dan akhirnya menguasai 2/3 dunia termasuk dua kuasa besar Rom dan Parsi. Umar al-Khattab yang dinamakan sebagai individu yang lebih besar pengaruh dan kesannya dari Julius Caesar dari Rom oleh pengkaji Barat seperti Michael Hart. Kebanyakan empayar dan kerajaan Islam yang wujud hari ini, dibuka pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Umar al-Khattab, walaupun dissebut oleh Nabi bahawa beliau diberi ilham oleh Allah; namun beliau tetap sering menerima nasihat dan peringatan dari penasihat-penasihat di sekelilingnya. Bahkan beliau melantik dan sering meminta pandangan dari penasihat muda seperti Abdullah b Abbas.

Demikian secebis cuplikan dari khazanah ilmu warisan Islam dan Melayu peri mengurus dan mentadbir. Banyak yang dapat dipelajari dan dicontohi dari harta pusaka itu.

IMG_3024Namun sayang, sebahagian besar teori dan prinsip pengurusan yang diajar dan diamalkan hari ini dicedok dari teori yang dibangunkan oleh dunia Barat dan Eropah. ‘Guru’ yang paling sering diangkat dan disanjung ialah Peter F. Drucker. Walhal teorinya baharu sahaja dibangunkan tidak lebih dari 100 tahun. Demikian hal juga dalam bidang-bidang yang lain. Kebanyakan teori yang dibangunkan usianya belu pun mencecah 100 tahun. Sebagai contoh teori psikologi emosi oleh Goleman itu usianya belum pun 50 tahun. Bahkan Goleman sendiri merubah teorinya sebanyak 2 kali. Ia masih belum matang dan teruji untuk dipraktiskan. Berbanding prinsip Islam yang dibangunkan lebih ribuan tahun.

Atau paling awal pun sering dirujuk ialah dari tamadun Yunani dan Greek. Nama-nama Socrates, Plato dan Aristotle menjadi hujah dan dalil utama dalam membangunkan prinsip dan teori pengurusan.

Ini juga yang berlaku kepada naskah modul yang dibangunkan oleh pihak Akademi Pengurusan YaPEIM. Melihat senarai rujukan sahaja sudah dapat ditelah kandungannya. Tidak hairan apabila melihat senarai panel yang menjadi pakar rujuk dan pembangunan modul.

Tidak bererti menyalahkan semata. Ia merupakan fasa dari sejumlah fasa-fasa peralihan. Pun begitu naskah ini dapat ditanggap sebagai naskah yang amat baik pada ketika ini di sebalik kelompongan panduan. Kebanyakan model dan rujukan pengurusan yang ada hari ini diceduk bulat-bulat secara francais dari Barat dan Eropah. Hasilnya ia kontang dari jiwa Islam dan ‘local content’.

Semoga dari satu tahap ke tahap yang lain modul ini dapat dibaiki dan dikemaskini menjadi lebih baik dan lebih baik. Insya Allah. Wallahuaklam.

Mohd Riduan b Khairi, R&D PPY Group Sdn. Bhd

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: