Mari baca

Jun 2, 2010

Tabiat Menayang-nayang Rak Buku

Filed under: Kedai buku,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 5:33 pm

Seorang teman saya mengomel,

“Aku tidak suka letak rak buku di ruang tamu. Nampak macam menunjuk-nunjuk”.

Rak buku-buku motivasi dan buku umum

Saya telah air liur, sebab saya meletakkan rak buku di ruang tamu. Di rumah sendiri dan di rumah orang tua, kedua-duanya meletakkan rak buku di ruang tamu. Bahkan emak saya menempah rak desain khas untuk buku-buku koleksi keluarga kami.

Sewaktu saya kecil buku bukan mainan saya dan adik-adik. Saya berasal dari kelurga buruh. Ayah saya tak dapat sijil SPM manakala emak saya lulusan sekolah darjah dua. Namun saya sangat bangga punya emak dan ayah saya sangat tegas soal pendidikan. Terutama emak saya, walaupun beliau lulusan darjah dua, namun beliau sangat bijak dalam mendidik adab kepada saya dan adik-beradik yang lain, terutama belajar membaca Al-Qur’an.

Asalnya emak pelajar yang bijak, namun beliau berkorban berhenti sekolah masalah kewangan keluarga. Emak anak kedua. Emak dan kakaknya, mak long berhenti sekolah awal untuk membantu atuk mencari rezeki dengan menoreh getah.

Jadi buku bukan mainan kami pada waktu kecil.

‘Main pasir’

Mainan kami ialah pasir sebab tanah di kawasan rumah kami berpasir. Jadi macam-macam kami boleh berkreatif dengan pasir, buat kek (bagi perempuan) dan buat rumah dan istana bagi lelaki. Jadi ada istilah ‘jom main pasir’ dalam kamus istilah kanak-kanak kami.

Bagaimana buku muncul dalam hidup saya?

Abah saya seorang buruh kerajaan. Adik-beradik kami 5. Untuk menambah pendapatan keluarga abah menternak lembu tenusu. Setiap subuh sebelum masuk kerja dan setiap petang selepas pulang kerja buruh, abah akan ke ladang lembunya di pinggir gunung untuk memerah susu lembu.

Selalu abah balik dengan tangan yang bengkak-bengkak kerana memerah banyak tetek lembu. Abah pernah ada lebih 20 ekor lembu susu yang perlu diperah susunya setiap hari. Emak akan urut tangan abah setiap malam untuk melegakan bengkak.

Setiap hari abah keluar rumah sebelum subuh dan pulang selepas maghrib. Setiap hari termasuk hari cuti umum. Lembu tenusu tidak boleh tidak diperah susunya, kerana mereka akan sakit kerana susu yang berlebihan.

Payung yang Pelik

Satu hari, selepas pulang dari memerah susu abah membawa balik sebuah buku cerita. Saya masih ingat lagi, buku karangan Enid Blyton bertajuk ‘The Strange Umbrella’. Abah beri buku bahasa Inggeris bukan sebab abah sekolah orang putih, sebaliknya buku itu abah temui di tempat pembuangan sampah berdekatan ladang lembu abah.

Saya terus capai kamus Oxford dwi-bahasa dan mengulit setiap pertakaan yang saya temui. Gembiranya hati saya bukan kepalang kerana buku itu cantik, kulitnya kuning dan kulit tebal.

Tinggi nilainya bagi budak kampung seperti saya memiliki buku cerita bahasa Inggeris. Walauupun sampai hari saya tak pernah menghabiskan bacaan buku itu, namun ia memberi makna yang besar kepada saya kepada buku. Buku itu masih wujud di rak buku rumah orang tua saya.

Buku kegemaran

Saya mula membaca buku sejak saya tahu membaca lah! Di sekolah menengah, saya suka pergi perpustakaan pada waktu rehat. Asalnya bukan sebab hendak baca buku sangat, cumanya saya tidak punya wang saku yang banyak untuk makan di kantin. Saya suka membeli benda-benda lain (seperti perfume, syampu dll) dari berasak-asak beratur di kantin membeli makanan. Lagipun makanan di dewan makan sudah cukup 4 hari satu hari semalam.

Dan tabiat ini saya bawa sampai dewasa. Saya tidak suka makan di tempat yang terlalu ramai orang dan perlu berasak dan beratur. Saya tahu yang suka hal demikian. Kenapa ya? Tiap-tiap hari pun makan juga. Masuk perut sama saja, jadi najis.

Sehingga kerani perpustakaan kenal dengan saya. Jika saya tidak ada mood membaca buku, saya memilih untuk menyusun buku-buku di perpustakaan. Saya merasa gembira dan tenang berdampingan dengan buku. Saya mencalonkan diri untuk menjadi pengawas perpustakaan. Awalnya diterima, namun akhirnya dilucutkan kerana saya dipilih menjadi perwakilan pelajar.

Buku di universiti

Hanya sampai di universiti baru saya merasa pegang duit banyak. Setiap semester pula ada jualan murah dianjurkan oleh DBP. Ada buku dijual sehingga 70 %. Mana tidak rambang mata. Saya ditakdirkan berkenalan dengan sahabat yang punya antutias yang sama, minat buku.

Setiap semester kami sama-sama membong buku. Tak larat bawak banyak buku sekali beli, esok kami datang lagi. Begitu juga di kedai buku Badan Cemerlang. Kami membeli dengan banyak sekali beratus-ratus ringgit dalam satu masa. Sehingga pelayan kauter bayaran tak percaya apabila kami kata kami beli untuk bacaan peribadi. Dengan sinis dia menegur,

“Adik berdua ini berniaga buku ya?”

Akahirnya rak buku kami di bilik asrama sendat dengan buku-buku bukan subjek fakulti. Sampai kawan-kawan satu fakulti (kami fakulti Sains komputer) kata, “Kamu berdua ini salah pilih kursus”. Kerana buku-buku kami cenderung kepada buku agama dan sains sosial (falsafah, budaya dan sastera).

Ramai juga yang hairan berjumpa kami di fakulti Sains Komputer. Selebihnya menjadi sejarah.

Rak buku di ruang tamu

Saya fikir semua setuju meletak rak buku di ruang tamu lebih baik dari meletak TV, permainan video atau majalah hiburan.

Soal menunjuk-menunjuk atau tujuan riak itu perkara dalam hati. Hanya Allah sahaja yang tahu, dan Allah sangat teliti menilai susur-liku hati dan perasaan manusia. Usahlah kita risau. Kita nilai yang zahir sahaja.

Saya suka meletakkan rak buku di ruang tamu sebagai satu kempen galakan membaca dan memilik buku kepada tetamu-tetamu saya. Saya mungkin secara peribadi tak upaya berkempen di akhbar, majalah atau televisyen. Tetapi sekurang-kurangnya saya boleh kempen kepada tetamu yang hadir di rumah saya. Tak kisahlah walau satu orang yang bertamu setiap bulan. Cukuplah dari tidak melakukan apa-apa.

Rak buku-buku agama

Buku juga memberi pengaruh besar kepada kanak-kanak. Seperti yang terjadi kepada saya pada zaman persekolahan.

Setiap kali cuti sekolah saya akan ke rumah mak long untuk menggeledah buku-buku cerita. Dan buku cerita pertama yang saya baca di sekolah rendah ialah Si Puteh karya Othman Hamzah. Saya masih ingat kulit bukunya dan jalan ceritanya.

Jadi, saya memutuskan untuk meletakkan rak buku di ruangan utama dan akan menyimpang peti televisyen di sudut-sudut yang terpencil.

Hari ini kanak-kanak suka menonton TV kerana ibu bapa mereka pun suka menonton TV. Bapa borek anak pun rintiklah. Takkanlah bapa kucing melahirkan anak harimau, walaupun ada beberapa gen dan hormon yang sama.

4 Komen »

  1. salam..encik riduan,

    terharu juga saya baca kisah antutias encik riduan..ya saya juga punya ‘penyakit’ yang sama…(mungkin kurang sedikit dari encik riduan) kerana berada di fakulti perubatan menyebabkan bahan bacaan yang lain terpaksa dikurangkan

    cuma saya hendak berkongsi di sini adalah mengenai pengalaman saya semasa di sekolah rendah..ketika saya meminta cadangan ibu saya (seorang guru) mengenai novel yang menarik..bayangkan, saya hanya seorang bocah ketika itu, ibu saya menyuruh saya membaca ‘SHIT’ karya SN Shanon Ahmad..ya..saya baca (walau tak habis) dan tidak paham pun mengenai isinya ketika itu (ketika itu zaman reformasi masih panas)..haha

    Komen oleh hakimi — Jun 3, 2010 @ 9:21 pm | Balas

    • Sama-sama Tuan Hakimi,

      Ianya sekadar perkongsian. Saya suka perspektif tulisan tuan.

      Komen oleh Riduan Khairi — Jun 4, 2010 @ 9:02 am | Balas

  2. Alhamdulillah perkongsian yang menarik,bagi saya,tiada masalahnya letak diruang tamu,Ia sebagai suatu motivasi buat mereka yang berkunjung kerumah.Semua bergantung pada nawaitu masing-masing.Bila melihat buku akan terasa motivasi dan semangat untuk membaca.membaca dan terus membaca.Namun begitu saya meletakkan buku-buku saya dalam bilik bacaan yang saya sediakan,maklum ruang tamu agak sempit;).Tahniah kepada sahabat-sahabat yang menyediakan ruang bacaan di rumahnya.

    Sekian,Salam Ukhwah;)

    Komen oleh masshah — Disember 25, 2011 @ 5:15 pm | Balas

  3. Sama juga dgn saya.Ada satu almari buku di ruang tamu sebab rumah tidak besar mana.Dalam stor bawah tangga ada berrak-rak buku dan keratan akhbar.Dalam bilik 2 rak diatas kepala katil dan 3 rak disebelah katil.Ini semua buku berciri agama ,senang di capai.Saya mula membeli dan menyimpan buku2 ini kira2 40 thn dulu dan setiap thn mesti beli buku sehingga sekarang.Namun ada juga yg belum dibaca.Tunggu bersara dr kerja.

    Komen oleh rahimah — Februari 20, 2012 @ 9:06 am | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: