Mari baca

Disember 31, 2010

Perjalanan Ulama Menuntut Ilmu

Filed under: Sejarah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 2:12 am

(Rihlatuh Ulama Fi Thalabil Ilmi)

Pengarang : Abu Anas Majid al-Bankani

Penterjemah : Abu Thohir al-Padangi

Penerbit : Darul Falah, Jakarta (2009)

Membaca kisah-kisah generasi dahulu (salafus soleh) bekerja keras dan gigih menuntut ilmu dapat memberi motivasi dan terapi kepada umat masa kini.

Imam Syafi’i rahimahullah dalam satu kata-katanya yang terkenal mewasiatkan,

Wahai saudaraku, syarat untuk mendapat ilmu itu ada 6.

  1. Kecerdasan
  2. Azam yang kuat
  3. Bersungguh-sungguh
  4. Menyediakan bekal yang cukup
  5. Bimbingan guru
  6. Waktu yang yang lama

Dan satu lagi tradisi ilmuwan dan sarjana Islam ialah mengembara mencari guru untuk menuntut ilmu. Tidak ada ada ulama yang tidak pernah keluar dari kampung halamannya untuk menuntut ilmu. Sehinggakan ada ulama yang melarang seseorang dari mengambil ilmu dari orang yang tidak pernah mengembara seperti kata Yahya bin Ma’in berkata, “Ada empat golongan yang tidak bisa diambil kebaikan dan manfaat darinya….Seorang yang belajar hanya di negerinya dan tidak keluar untuk mencari hadis.”

Kisah Jabir bin Abdullah

Tradisi mengembara mencari ilmu bermula sejak zaman sahabat lagi. Salah satu kisah yang masyhur ialah perjalanan Jabir bin Abdullah, seorang sahabat muda. Beliau membeli seekor keldai dan berkelana selama sebulan menuju ke Syam semata-mata untuk mendengar sebuah hadis dari Abdullah bin Unais.

Teladan Ulama Salaf

Sikap ini diteladani oleh generasi seterusnya. Sejarah mencatatkan sarjana hadis yang menuliskan kitab hadis yang enam (Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunah Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah dan Sunan An-Nasa’i) menghabiskan masa puluhan tahun mengembara dari satu negara ke satu negara demi menuntut ilmu dan mengumpulkan hadis.

Tentu sahaja mereke memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk tujuan itu. Namun demi ilmu, mereka sanggup berhabis. Dilaporkan Imam Rabiah bin Abddurahman Ar-Ra’yi membelanjakan 30 ribu  dinar (bersamaan  RM 15 juta) untuk menuntut ilmu. Mungkin ramai yang masih belum mengenali siapa Rabiah Ar-Ra’yi. Beliau merupakan guru kepada Imam Malik bin Anas (pendiri mazhab Maliki).

Begitu juga dengan imam-ima yang lain. Imam Malik sebagai contohnya terpaksa menggadaikan kayu atas rumahnya untuk menampung biaya beliau menuntut ilmu.

Kos Menuntut Ilmu

Ada beberapa pengajaran yang dapat diambil dari pengalaman ulama dan sarjana dahulu mencari ilmu.

1. Antutias mereka menuntut ilmu tidak mengira usia, jarak geografi dan belanja. Mereka sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk terus mendapatkan ilmu. Lebih-lebih lagi ketika mendalami ilmu hadis. Kata para ulama, “Jika kamu belajar hadis, kamu akan muflis” kerana besarnya biaya untuk menyelidik seluruh kitab hadis dan perawi-perawinya.

2. Semangat kental yang dimiliki oleh generasi salaf. Berbeza dengan generasi modena, walaupun dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan yang selesa dan kelangkapan yang lebih baik seperti komputer pen dan kertas. Perlu diberi catatan, pada zaman generasi salaf jangankan mesin taip, ballpen dan kertas pun sangat sukar diperoleh. Dilaporkan kerana kemiskinan, Imam Syafi’i mencatat ilmunya pada kepingan-kepingan tulang yang dijumpainga ditempat sampah.

Disember 23, 2010

Biografi Ringkas Nabi Muhammad dan Sahabat-sahabatnya

Filed under: Sejarah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 7:56 am

Short Biography of The Prophet & His Ten Companios

Biografi Ringkas Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) & 10 Sahabatnya yang dijamin Masuk Syurga

Bahasa : Inggeris

Penulis : Al-Hafidz Abdul Ghani Al-Maqdisi (544-600H)

Penerbit : Maktaba Dar-us-Salam, Riyadh (2004)

Selalunya penjelasan tentang latar belakang dan perjalanan hidup Nabi Muhammad panjang-panjang dan tebal-tebal kitabnya. Baik dari karangan ulama’ klasik mahupun kitab-kitab kontemporari seperti Raheeq al-Makhtum (Sofiurrahman Mubarakfuri) dan Sahih Sirah Nabawiyah (Dr Akram Dhiya). Bagi pembaca awal dan orang yang baru berkenalan dengan ajaran Islam dan Nabi Muhammad, tentu bahan ini memenatkan.

Justeru saya amat bersyukur dan gembira apabila menemui naskah karangan ulama’ abad ke-6 ini, Al-Hafidz Abdul Ghani Al-Maqdisi. Beliau mungkin lebih dikenali dengan kitab himpunan hadis hukum, Umdatul Ahkam. Banyak majlis pengajian fikih menggunakan kitab ini sebagai teks selain Bulughul Maram (Ibnu Hajar al-Asqalani).

Naskah ini sangat ringkas, setebal hanya 86 halaman ; 66 halaman catatan biografi ringkas Nabi Muhammad manakala selebihnya berkaitan 10 sahabat nabi yang dijamin masuk syurga.

Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau)

Sebanyak 22 bab memperincikan latar belakang Nabi Muhammad. Antaranya termasuk :

  • Jalur keturunan beliau (nasab)
  • Nama-nama yang diberi kepada beliau
  • Perjalanan ke Syria dan perkahwinan dengan Khadijah (semoga Allah redha kepada beliau)
  • Hijrah
  • Anak-anak
  • Ekspedisi dan Peperangan
  • Surat-surat beliau
  • Isteri-isteri beliau
  • Anak-anak beliau
  • Hamba-hamba yang beliau miliki
  • Mukjizat
  • Dan beberapa lagi

Semuanya disebutkan secara ringkas.

Pada bahagian kedua pula ialah biografi ringkas 10 sahabat nabi yang dijamin masuk syurga. Mereka ialah :

  1. Abu Bakar as-Siddiq
  2. Abu Hafs, Umar bin al-Khattab
  3. Abu Abdullah, Uthman bin Affan
  4. Abu Hasan, Ali bin Abi Talib
  5. Abu Muhammad, Talhah bin Ubaidillah
  6. Abu Abdullah, Zubair bin al-Awwam
  7. Abu Ishaq, Sa’id bin Abu Waqqas
  8. Abu A’war, Said bin Zaid bin Amr
  9. Abu Muhammad, ‘Abdur-Rahman bin Awf bin Abd Awf
  10. Abu Ubaidah, ‘Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah

Semoga Allah redha kepada mereka semua. Kesepuluhan sahabat yang dijamin masuk syurga ini menduduki ‘rangking’ yang sangat mulia dan tinggi di kalangan-kalangan sahabat-sahabat yang lain.

Pengarang buku ini juga menyebutkan secara ringkas nama-nama anak-anak mereka. Saya menemui beberapa kencenderungan para sahabat dalam menamakan anak-anak mereka.

Ramai dari kalangan mereka menamakan anak mereka dengan nama Muhammad seperti Muhammad bin Abu Bakar, Muhammad bin Ali al-Hanafiyah, Muhammad bin Ali, Muhammad As-Sajjad bin Talhah, Muhammad bin Sa’ad bin Abu Waqas dan Muhammad bin Abdurrahman bin Awf. Bahkan mereka menggunakan kuniyah (nama gelaran sempena nama anak) Abu Muhammad.

Kemudian, nama Abdullah dan Abdur-Rahman menjadi pilihan. Ini tentu sahaja berdasarkan kata Nabi bahawa nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdur-Rahman. Berapa kecintaan mereka kepada perintah Allah dan Rasul (walaupun bukan wajib) ada beberapa sahabat menamakan anak mereka dengan nama Abdullah untuk beberapa anak mereka. Bahkan lebih menarik lagi Abdur-Rahman bin Awf menamakan seorang anak lelakinya dengan nama Abdur-Rahman juga. Subhanallah, sungguh benar-benar komited para sahabat mengikuti anjuran Allah dan Rasul.

Selain nama Muhammad, Abdullah dan Abdur-Rahman, para sahabat juga gemar menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama sahabat lain yang soleh. Ali menamakan anak-anaknya dengan nama Abu Bakar, Umar, Uthman dan Jaafar.

Ogos 2, 2010

Mu’awiyah Khalifah Rashid Yang Teraniaya

Filed under: Akidah & Manhaj,Sejarah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 4:09 am

Siri Pemurnian Sejarah Islam Siri 2

Maulana Muhammad Asri Yusoff

Pustaka Bisyarah 2007

74 halaman

Sahabat Muawiyah bin Abu Suffyan (semoga Allag redha kepada beliau) merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak dicerca dan ditohmah. Ditinjau lebih jauh dan mendalam, di dalam kitab-kitab Syiah bukan sahaja Muawiyah yang dicerca, bahkan majoriti sahabat nabi Muhammd (selawat dan salam buat beliau) dihukum munafiq dan kafir. Termasuk dalam senarai itu ialah Abu Bakar, Umar dan Uthman (Allah redha kepada mereka semua), kerana kononnya merampas jawatan khalidah dari Ali (Allah redha kepada beliau).

Namun begitu, kes Muawiyah lebih serius dan kritikal. Bahkan sumber-sumber ahlussunnah sendiri.

“Muawiyah adalah tirai penutup sahabat Rasulullah (selawat dan salam buat beliau). Apabila seseorang sudah menyingkap tirai itu, maka beranilah ia terhadap apa-apa yang berada di belakang nya (yakni sahabat-sahabat yang lain)”. (Bidayah wan Nihayah)

Kenyataan ini menunjukkan bahawa serangan ke atas peribadi sahabat Muawiyah bin Abu Sufyan adalah serangan yang terancang dan strategik. Apabila serangan ini mengena, ini bermakna akan ada serangan-serangan susulan kepada peribadi-peribadi mulia sahabat yang lain. Dan ini bukan pelik, kerana sudah ada cebis-cebis cemuhan dan tohmahan terhadap sahabat yang lain. Bukan salah satu agenda jahat Syiah ialah menghodohkan peribadi majoriti para sahabat nabi radiyallahuanhum ajmain.

Penjelasan Maulana Asri dalam buku ini antara yang terbaik dan tuntas. Selain Awashim min Qawashim tulisan Qadhi Abu Bakar Ibnul A’rabi, saya belum lagi menemui tulisan sebaik dan setuntas naskah ini.

Saya akan meneliti lagi beberapa naskah berkaitan pencemaran kisah-kisah sahabat. Antara yang sudah masuk dalam lis saya ialah :

  1. Buku Hafidz Firdaus
  2. Fikri Che Hussein
  3. Dr Mohd Asri bin Zainal Abidin

Buku ini saya beli di Badan Cemerlang, Plaza Angsana Johor Bahru. Ada beberapa siri yang lain, namun tiada stok di Bada Cemerlang seperti buku tentang Ibnu Ishak dan metod penulisan sejarah beliau.

Julai 29, 2010

Dialog Ulama’ dengan Umarak

Filed under: Dakwah,Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 12:49 pm
Tags: ,

Baru-baru ini media melaporkan 40 ahli akademik dan sarjana Islam (saya gantikan istilah ulama’) menyertai parti pemerintah UMNO. Sejenak beberapa ketika, polemik hubungan pemerintah dan ulama’ kembali bergema. Ada golongan memilih untuk kekal sebagai berkecuali dalam soal kepartian, ramai juga ustaz dan lulusan pengajian Islam berada di kem parti pembangkang. Penyertaan 40 ahli akademik ini ke dalam UMNO memberi dimensi baru hubungan ulama’ dan pemerintah di negara kita.

Tulisan ini tidak membincangan pro atau kontranya tindakan mereka, melainkan doa supaya mereka dapat melalukan sesuatu buat diri mereka berupa amal dan dakwah, dan di sisi parti yang mereka sertai semoga beroleh manfaat di dunia dan akhirat.

Tulisan ini hanya akan membuat rebiu kepada sebuah buku yang saya baca Dialog Ulama’ Dengan Umara’.

Sebelum membuat ulasan berkaitan kandungan buku ini, saya ingin melahirkan rasa tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh penyusun dan penerbit ini. Hadith-hadithnya lansung tidak diberi catatan rujukan. Setakat yang saya cermati, satu pun tidak ada rujukan. Lebih-lebih lagi kisah-kisah dan cerita yang disarikan. Mujur sahaja, sebahagian dari kisah itu masyhur dan selalu disebutkan dalam tulisan dan buku-buku lain. Jika dua perkara ini dapat dibaiki, saya percaya naskah ini punya nilai yang sangat tinggi.

Kandungan

Penyusun membawakan tidak kurang dari 10 kisah berkaitan hubungan ulama salaf dan pemerintah (khalifah dan gabenor). Kisah bagaimana ulama’ salaf menasihati pemerintah dengan beraninya, walau diancam bunuh. Bahkan ada yang akhirnya di bunuh.

Antara kisah yang masyhur ialah kisah seorang ulama besar generasi tabi’in (anak murid sahabat) Said bin Jubair yang dipancung kepalanya oleh Hajjaj Thaqafi kerana menyatakan kebenaran. Selain Said bin Jubair, dibawakan juga kisah Huthait Azzaiya yang disiksa atas perintah Hajjaj. Hajjaj bukanlah khalifah, sebaliknya hanya gabenor.

Itu adalah secebis kisah dari beberapa pemerintah @ penguasa yang zalim. Situasi yang sebenar bukanlah selalunya begitu. Lebih ramai pemerintah Islam yang adil berbanding yang zalim.

Sejarah mencatatkan pemimpin-pemimpin Islam yang sering berjumpa ulama’ untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan. Antara yang dinukilkan dalam buku ini termasuk nasihat Qadhi Abu Yusuf kepada khalifah Harun Rasyid, Imam Auza’i kepada Khalifah Mansur dan Abu Hazim kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Surat nasihat

Selain berjumpa ‘empat mata’, ulama Islam sering mengutus surat kepada pemimpin untuk menasihati mereka. Di dalam naskah ini, penyusun membawakan beberapa contoh surat yang dihantar termasuk :

-         Surat Husin Tahir kepada anaknya Abdullah

-         Surat Hassan Al-Basri kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz

-         Surat Ali bin Abi Talib kepada Gabenor Malik Ashtar di Mesir

Berdasarkan kisah-kisah yang dibawakan kita dapat melihat kaedah yang digunakan oleh sarjana Islam terdahulu dalam menasihati pemimpin. Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh nabi antara amal yang utama ialah menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.

Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah. Risikonya sangat tinggi. Kemungkinan di hukum atau di bunuh itu ada. Pun begitu seperti yang dikatakan oleh nabi, ‘di hadapan penguasa yang zalim’.

Terbalik dari apa yang dikatakan oleh nabi, tidak sedikit penasihat atau pengkritik pemerintah hari ini bermuka-muka. Di hadapan pemimpin semuanya tunduk dan baik sahaja. Sebaliknya di belakang ada yang mencaci, memaki dan mendedahkan aib pemerintah.

Sama situasi dengan pemimpin parti politik bertentangan idelogi. Mereka boleh duduk semeja menjamu makanan dan saling setuju dan memuji satu sama lain. Di waktu yang lain, di atas pentas ceramah, mereke menghamum dan mencerca seolah-olah tidak ada satu titik kebaikan pun yang ada pada lawannya.

Saya cadangkan buku ini dibuat semakan semula, supaya kandungannya dapat diambil manfaat.

Dialog Ulama’ Dengan Umarak

Wan Iqbal Wan Abdul Hamid

Pustaka Ilmi, Batu Caves 2000

129 halaman

Julai 12, 2010

Abdullah bin Zubair bin Al-Awwam

Filed under: Sejarah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 3:47 am
Tags: , , ,

Pada zaman Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) terdapat empat orang pemuda yang terkenal bernama Abdullah. Mereka ialah :

  1. Abdullah bin Abbas
  2. Abdullan bin Umar
  3. Abdullah bin Amru Al-‘As
  4. Abdullah bin Zubair

Mereka berempat ini terkenal kerana bijak dan tajam fikiran mereka. Abdullah bin Umar sebagai contoh, memiliki daya ingatan yang kuat. Beliau antara 5 orang yang paling banyak melaporkan hadith dari nabi selepas Abu Hurairah dan Aisyah binti Abu Bakar (semoga Allah rehda kepada mereka semua).

Namun perlu diberi catatan, dalam teks-teks hadith jika hanya nama Abdullah disebut tanpa menyebutkan ‘bin’ nya, maka ia merujuk kepada Abdullah bin Mas’ud.

Nasab yang mulia

Abdullah bin Abbas memiliki banyak keistimewaan yang saya baru tahu. Pengarang buku ini menyebutkan beliau lahir pada tahun 1 Hirjah. Lahir dari keturunan yang mulia. Ayahnya Zibai Al-Awwam, seorang sahabat  dari 10 yang dijamin masuk syurga oleh nabi. Ibunya ialah Asma’ binti Abu Bakar. Lebih dari itu lagi, sejak dari lahir beliau dibesarkan dalam rumah nabi. Ibu saudaranya ‘Aisyah yang mengasuh dan mendidiknya sejak dari kecil.

Khalifah Hijjaz

Perjalanan hidup Abdullah bin Zubair berlekok-lekok. Ramai yang mungkin tidak tahu (saya juga sebelum ini) beliau diangkat menjadi khalifah buat beberapa ketika di Hijjaz. Walaupun ketika itu Kerajaan Bani Umaiyah sudah bertapak.

Beberapa komentar tentang buku ini

  • Pengarang buku ini menjawab beberapa kritikan yang dilemparkan terhadap Abdullah bin Zubair. Tuduhan dibuat oleh Prof Dr. Ahmad Syalaby menerusi beberapa buku beliau. Antara tuduhan yang paling vokal terhadap Abdullah bin Zubair ialah merebut jawatan khalifah (atau baca : gila kuasa). Dan tuduhan ini ditangkis oleh pengarang dengan baik.
  • Namun begitu, dalam mempertahankan Abdullah bin Zubai, pengarang secara tidak langsung menyebutkan beberapa kelemahan dan kesalahan sahabat yang lain. Tujuan asal beliau hanyalah untuk menunjukkan bahawa para sahabat tidak maksum dan boleh terjadi melakukan kesilapan. Ini benar. Namun yang menjadi isu pada saya ialah, sebahagian tuduhan itu nampak seperti berat terhadaqp sahabat. Antaranya seperti Abdurrahman bin Auf memakai sutera sedangkan sutera adalah haram. Satu lagi contoh ialah kes seorang sahabat ahli badar yang suka memukul isteri.
  • Tuduhan-tuduhan begini harus disemak kesahihannya sebelum diceritakan semula. Bak kata Ustaz Zainal Abidin Syamsuddin, “semua kes layak dikritik, namun tidak semua kritikan layak dilontar”. Ini kerana para sahabat nabi semuanya adil di sisi akidah ahlus sunnah wal jama’ah. Sebagai manusia biasa tentu sahaja mereka punya kesalahan dan kesilapan. Namun kesalahan dan kesilapan itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Adakah kesalahan itu dilakukan secara berterusan? Atau kesalahan itu dilakukan dalam situasi yang darurat dan punya keperluan lain yang mendesak.
  • Buku ini baik dibaca sebagai bahan kajian. Ini kerana, bahan bacaan berkisah peribadi dan kisah sahabat nabi masih agak kurang ditulis atau diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Pun begitu, dari aspek rujukan, buku ini merujuk kepada bahan yang masih terbatas. 11 buku dirujuk, dan semuanya adalah buku-buku sejarah kontemporeror.

Bahan-bahan dalam naskah ini alah menjadi lebih lengkap dan dipercayai jika bahan rujukannya diluaskan.

Siri Empat Abdullah : Abdullah bin Zubair

Tarikuddin Hassan

Jahabersa 2005

76 halaman

Jun 23, 2010

Ulama’ difitnah

Filed under: Dakwah,Sejarah,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 11:00 am
Tags: ,

Pelajaran Sejarah

Manusia sudah wujud di bumi beribu-ribu tahun. Sejak turunnya Adam hingga ke hari ini. Macam-macam perkara berlaku. Sebahagin besar peristiwa-peristiwa itu berlaku secara berulang. Skripnya masih sama, hanya sahaja wataknya dimainkan oleh orang yang berbeza.

Sebagai contoh kisah curang dalam perkahwinan. Ia dirakamkan dalam semua sejarah tamadun, dari Rom, Parsi hingga ke Gunug Ledang. Bahkan Al-Quran sendiri merakamkan kecurangan isteri pembesar dalam Surah Yusuf.

Lantas, disini sejarah memainkan peranan penting dan mendidik masyarakat. Yang baik dicatat supaya dijadikan teladan. Yang buruk direkod supaya jadi pengajaran.

Ujian kepada pendakwah dan ulama

Satu ujian besar ke atas para pendakwah dan ulama ialah difitnah dengan berbagai tuduhan palsu.

Bukan sahaja ulama, bahkan Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) juga diuji ;lebih hebat dari itu. Beliau dituduh gila dan tukang sihir.

Sejarah ini penting untuk ditelusuri buat menguatkan kaki-kaki pendakwah untuk tetap tegar atas kebenaran.

Astaghfirullah, Ulama difitnah

Penulis : Sulaiman bin Shalih Al-Khurasyi

Penerbit : Multazam, Solo

238 mukasurat

Buku ini menghimpunkan beberapa fitnah yang pernah dilemparkan kepada ulama ahlus sunnah pada zamannya. Mereka bukan calang-calang orang. Nama mereka dirakam dengan tinta emas pada hari ini. Namun pada hayatnya, mereka tidak melalui jalan yang mewah dan senang-lenang.

Ulama yang difitnah

Antara ulama besar yang termasuk difitnah ialah:

1. Imam Asy-Syafi’i dituduh sebagai paranormal dan Syiah Rafidhah

2. Bukan beliau sahaja yang dituduh Syiah. Yang lain termasuk Imam Ibnu Jarir Ath-Thobari, As-Suyuthi dan Imam Asy-Syatibi.

3. Ibnu Taimiyyah dituduh sebagai Nashibi

4. Imam Ibnu Qayyim dituduh tidak tegas dalam masalah syirik.

5. Sahabat Muawiyah dituduh meracun Hasan bin Ali (semoga Allah meredhai mereka semua).

6. Al-Hafidz Abdul Ghani al-Maqdisi dituduh sebagai tasybih

Itu sebahagian dari kisah 17 tokoh yang sering menjadi bahan cercaan dan tohmahan.

Kemudian pengarang membawakan jawapan dari ulama’ yang kemudian terhadap tuduhan itu.

Pengajaran sejarah ini sangat penting kerana, peristiwa ini sering berulang padasetiap zaman. Hari ini tidak sedikit dari kalangan ulama ahlussunnah yang ikhlas menyebarkan agama Allah ditohmah dan difitnah sedemikian rupa.

Sudah ada terdengar tuduhan-tuduhan seperti mujassimah dan musyabbihah.

Selamat membaca!

April 2, 2010

Rahasia Tidur Orang-orang Shalih

Filed under: Sejarah,Tips membaca,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 9:03 am

Abu Huzaifah

Penerbit Mumtaza, Solo 2007

Saya memetik beberapa maklumat menarik lagi mengejutkan dari buku ini.

Ibn Jarir Ath-Thobari menulis 385,000 halaman. Kitab tafsir nya sahaja, Tafsir ath-Thobari berjumlah 30 jilid lebih 3000 halaman. Manakala kitab sejarahnya, Tarikh ath-Thobari 11 jilid.

Ibn Aqil (1040 -1119)pula menyusun kitab al-Funun 800 jilid ukuran besar. Sehingga Imam adz-Zahabi menyatakan, “Belum pernah ada buku yang ditulis lebih besar dari al-Funun Ibnu ‘Aqil“.

Ibnu Qayyim pula menyatakan bahawa guru besarnya, Ibnu Taimiyyah (1263/661–1328M/728H) menulis sekurang-kurangnya 300 jilid buku.

Dan banyak lagi gakta menari dikumpulkan berkaitan kesarjanaan ilmuwan Islam terdahulu.

Masa masih 24 jam

Persoalan yang timbul, bagaimana mereka membahagikan masa untuk menulis sebanyak itu. Menulis juga sangat menuntut kepada bacaan yang banyak dan berkualiti.

Lebih-lebih lagi ilmuwan Islam yang bertanggungjawab berdakwah kepada masyarakat dan adakalanya turut terlibat dalam peperangan (Ibnu Taimiyah terlibat dalam peperangan melawan Tartar).

Sedangkan masa masih 24 jam.

Sedangkan zaman itu belum wujud mesin taip apatah lagi komputer.

Sedangkan pada zaman itu belum ada ‘ball pen’, masih menggunakan pen dakwat celup.

Sedangkan kertas pada ketika itu harganya masih mahal untuk dimiliki.

Jauh sekali mereka menulis menggunakan gran atau program tajaan universiti atau pemerintah.

Buku kecil ini membongkar satu dari rahsia ulama silam menghasilkan karya berjumpah ribuan jilid, tanpa mengabaikan tanggungjawab dakwah kepada masyarakat.

Rupa-rupanya mereka mengorbankan masa rehat dan tidur mereka untuk membaca dan menulis. Disebutkan ada imam yang yang tidur hanya satu pertiga malam, beribadah 1/3 malam dan membaca 1/3 malam.

Bahkan kerana asyiknya mereka menulis dan membaca adakala sehingga terlupa untuk makan.

Imam Nawawi

Penulis memetik, Imam Nawawi disuapkan ibu untuk makan kerana terlalu sibuk menulis sehingga hari siang. Ketika siang muncul, Imam Nawawi bertanya kepada ibunya, “Mana makan malamnya wahai ibuku”. Ibunya membaca, “Aku telah menyuapmu, wahai anakku”.

“Demi Allah, aku tidak sedar akan hal itu”.

Kandungan

Selain itu, buku kecil ini memuatkan adab dan aturan agama ketika tidur. Dan yang lebih penting ialah bagaimana menjadikan tidur kita lebih berkualiti.

Selamat membaca.

Mac 24, 2010

Jejak Bisnes Rasul ; Peribadi Bisnes Muhammad bin Abdullah

Filed under: Bisnes & Kewangan,Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 4:49 pm
Tags: , ,

Prof Emiritus Dr Mohamed Sulaiman

Aizuddinur Zakaria

Pts Professional

395 halaman

Beli online di sisni.

Buku bisnes ada banyak jenis.

Yang paling baik (sekurang-kurangnya pada saya) buku bisnes yang ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Atau paling tidak menceritakan pengalaman bisnes orang lain.

Tiada satu formula khusus untuk bisnes yang berjaya. Melainkan ‘bisnes yang berjaya’ itu diberi definisi terlebih dahulu.

Formula kejayaan rangkaian restoran KFC mungkin tidak semuanya persis kejayaan restoran Satay Samuri (Satay Kajang).

Ada buku bisnes ditulis oleh ahli akademik untuk kuliah universiti. Biasanya buku jenis ini menghimpunkan teori dan kajian terhadap bisnes-bisnes yang telah wujud.

Ia menjadi sangat struktural, supaya mudah dikuliahkan dan mudah di’exam’kan.

Bisnes dan Perang

Agak sukar (mungkin di Malaysia) buku yang membicarakan cara bisnes Nabi Muhammad.

Buku ini mengambil analogi dari siri peperangan Nabi Muhammad untuk digunakan dalam teori bisnes. Sebahagian pengkaji melihat bagaiman nabi berperang, begitulah kaedah yang boleh diterapkan dalam bisnes.

Saya melihat dari sudut yang berbeza. Perang ialah situasi menang-kalah. Sama ada kalah atau mengalahkan. Sedangkan bisnes bukan kalah atau menang. Ia bukan urusniaga satu untung – satu rugi. Bisnes ialah aktiviti menukar barang dengan barang @ wang yang memuaskan hati kedua belah pihak. Hal ini tidak berlaku dalam peperangan.

Justeru mengambil analogi perang untuk bisnes kurang tepat.

Perniagaan ‘tijaarah

Saya menggagaskan prinsip bisnes nabi perlu diambil dari kaedah dakwah nabi.

Saya berikan beberapa bukti untuk menguatkan hipotesis ini. Di dalam Al-Quran, Allah sendiri menggunakan perkataan perniagaan (tijarah) dan jual beli (baiy’) untuk dakwah dan bisnes.

Al-Baqarah 2 : 16

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

Al-Faathir 35 :29

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian

Ash-Shaff 61 : 10

Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Jual beli

At-Taubah 9 :111

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Insya Allah, saya akan memanjangkan kajian berkaitan bisnes menggunakan kaedah dakwah.



Februari 18, 2010

Sirah Nabawiyah

Filed under: Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 8:33 am
Tags: , , ,

Belajar dari Perjalanan Hidup Rasul

By Riduan Khairi

  1. Satu ciri orang yang bijak (ulul albab), ialah belajar dari sejarah. Ini ditegaskan oleh Allah dalam Al-Quran, maksudny :

“Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.”

(Surah Taha : 128)

Dan selaku orang beriman dan Muslim, sejarah yang terbaik ialah sejarah Rasul, Muhammad bin Abdullah (selawat dan salam buat beliau).

Alhamdulillah, saya diizinkan Allah untuk mengikuti satu wacana dan kajian sirah Rasul. Ia dikendalikan oleh Pertubuhan An-Nida dan disampaikan oleh Ustaz Anzarudin Ahmad.

Ustaz Anzarudin Ahmad

Beliau mengupas  buku Sirah Nabawiyyah karangan Dr Mustafa as-Sibaie.

Rujukan

Beliau menyatakan, dalam buku ini, pengarang (Dr Mustafa as-Sibaie merujuk beberapa sumber sejarah terdahulu. Antara yang disebutkan “

  1. Sirah Ibnu Hisyam
  2. Tabaqat Ibnu Saad (sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris)
  3. Tarikh at-Thobari atau nama lain Tarikh Al-Umam wal-Muluk (sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris The History of Thabari)
  4. Syamail Muhammadiah Imam Tirmidzi
  5. Zaadul Ma’ad karangan Ibn Qayyim

Penulisan sirah kontemporari

Antara karya-karya mutakhir sirah nabi termasuk

  1. Fiqh Sirah : Dr Said Ramadhan Al-Buti
  2. Sirah Nabawiyyah : Nik Abdul Aziz Nik Mat
  3. Fiqh Sirah : Muhammad Al-Ghazali
  4. Sirah Nabawiyyah : Sayid Abul Hassan Ali An-Nadwi
  5. Sirah Nabawiyah (raheeq al-Makhtum) : Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri

Namun begitu, sebahagian dari buku-buku di atas sudah disemak dan di kritik semula oleh pengkaji yang kemudian.

Membaca karya sejarah juga perlu teliti dan hati-hati.

Bukan sahaja fakta yang tidak tepat, seperti tarikh lahir Nabi Muhammad. Sebilangan ahli sejarah mencatatkan hari lahir beliau ialah pada 12 Rabiul awal.

Sedangkan yang sahih dari nabi, beliau lahir pada hari Isnin. Menurut kiraan kalender, 12 Rabiul awal jatuh pada hari Khamis. Yang tepatnya ialah 9 Rabiul awal. Ini disebutkan oleh Syaikh Mubarakfuri di dalam bukunya.

Lebih dari itu, sebilangan penulis sejarah cenderung memberikan tafsiran yang tidak tepat terhadap peristiwa sejarah. Ia bergantung kepada kecenderungan pemikiran penulis itu.

Oleh yang demikian itu, adalah penting untuk kita membaca buku-buku yang telah di’endos’kan olah ulama’.

Antara buku yang direkomenkan ialah Raheeq al-Makhtum karya Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri. Ia sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu diterbitkan oleh YADIM.

Bacaan tambahan : Sejarah ditulis Orang yang Menang

Kuliah kajian Sirah Nabawiyah boleh diikuti pada setiap hari Sabtu jam 9-12 tengah hari di Masjid Bukit Jelutong. Ia dikendalikan oleh Ustaz Anzarudin Ahmad. Beliau menggunakan buku Raheeq al-Makhtum karya Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri.

Januari 30, 2010

‘Sejarah ditulis oleh Orang yang Menang’

Filed under: Sejarah — Mohd Riduan Khairi @ 8:17 am
Tags: ,

Pada asalnya saya membantu sahabat saya menyiapkan tugasan berkaitan sirah Islam. Sirah Islam meliputi kisah Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau). Kemudian perjalanan hidup Muhammad bin Abdullah (saw), terutama semenjak dilantik menjadi rasul. Selepas itu ia melewati zaman pemerintahan khalifah yang empat, Kepimpinan Bani Umayyah hingga ke Bani Abbasiyah. Ini period-period yang utama.

Tidak banyak buku sirah diterjemahkan ke dalam buku bahasa Melayu sebelum ini. Hanya 10 tahun belakangan ini, buku-buku agama dari Indonesia mula menyebar-masuk ke dalam pasaran tempatan.

Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas mufti Perlis pernah menulis sebuah buku berkaitan topik ini, Pertelingkahan Sahabat : Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah. Saya difahamkan ia merupakan tesis master beliau ketika di universiti. Sebuah lagi buku beliau berkaitan sejarah ialah : Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-tokohnya.

Selain dari itu, saya belum menemukan analisis yang mengupas konflik sejarah dengan tuntas.

Sejarah ditulis oleh orang yang menang

Selalunya, sejarah ditulis oleh orang (pihak) yang menang. Sepertimana yang berlaku pada sebahagian buku-buku sejarah Islam yang ditulis pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah. Justeru, sebahagian fakta cenderung untuk melemahkan khalifah dan memburukkan kerajaan yang sebelumnya (Kerajaan Bani Umayyah).

Rakaman kuliah ‘Terbunuhnya Uthman’

Kemudian saya mendengar satu rakaman kuliah bertajuk ‘Terbunuhnya Uthman’. Ia disampaikan oleh seorang pendakwah dari Indonesia, Ustaz Zainal Abidin Syamsuddin (rakaman kuliah beliau boleh didownlod di laman 4shared).

Peristiwa pembunuhan Uthman Affa (r.a) membawa konflik besar umat Islam ketika itu. Ianya berlanjutan sehingga selepas perlantikan Ali bin Abi Thalib. Inilah fitnah besar pertama yang melanda umat Islam. Kemudian konflik ini membawa kepada Perang Jamal dan Perang Siffin. Ketika itu isteri Nabi, Ummul Mukminin, Aisyah (r.a) bersama Talhah b Ubaidillah dan Zubair Al-Awwam berada di satu pihak. Manakala Ali bin Abi Thalib bersama beberapa sahabat yang lain berada di satu pihak.

Musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan sebahagian sahabat yang lain.Golongan Syiah sebagai contoh mencela Aisyah kerana membantah Ali, kononnya. Begitu juga dengan pihak lain.

Namun, satu catatan yang penting untuk diketahui, konflik antara puak Ali bin Abi Thalib dan Aisyah binti Abu Bakar (semoga Allah meredhai mereka semua) melibatkan sebahagian kecil sahabat sahaja. Ahli sejarah menyebutkan paling ramai 100 sahabat yang terlibat dalam masalah ini. Sebaliknya ratusan-ribuan sahabat-sahabat yang lain mengambil sikap berkecuali.

Untuk meneliti dan mendapatkan kepastian, seorang sahabat meminjamkan saya naskah yang (pada saya) paling tepat dan tuntas, untuk merungkai fakta (tafsiran) sejarah Islam yang kusut.

Benteng-benteng Kehancuran

Judul Asal : Al-‘Awashim min al-Qawashim

Judul Terjemahan Inggeris : Defense Against Disaster (boleh dibaca / muatturun menerusi scribd.com)

Penulis : Al-Qadhi Abu Bakar Ibnu A’rabi (468 – 543 H)

Pentahqiq : Syeikh Muhibuddin al-Khatib (mati 1389 H)

Penterjemah : Abu Mayaza al-Hafiz & Ali Mahfuz

Penerbit : Penerbit Darul Iman, Gombak (2002)

Halaman : 452 mukasurat

Saya memberi perhatian kepada peristiwa pembunuhan Uthman di dalam buku ini.

Pembunuhan Uthman berlaku ketika sebahagian besar sahabat menuju ke Makkah untuk menunaikan haji. Rumah Uthman Affan dikepung oleh orang munafik dan orang Khawarij. Hanya sebahagian sahabat sahaja yang masih tinggal di Madinah. Disebutkan 7 orang sahabat berada di rumah Uthman untuk mempertahankannya. Mereka termasuk Abu Hurairah, Abdullah Ibnu Umar, Hassan bin Ali, Hussain bin Ali, Abdullah b Zubai dan Marwan.

Namun Uthman memerintahkan sahabat yang membentengi beliau untuk bersurai. Yang terakhir sekali beredar ialah Abdullah Ibnu Umar. Beliau tidak mahu lebih banyak ditumpahkan hanya semata untuk mempertahankan dirinya. Bahkan Rasulullah sendiri pernah mengkhabarkan padanya, bahawa beliau dan Umar Al-Faruq akan syahid dibunuh.

Qadhi Ibnu A’rabi merujuk peristiwa ini dalam Tarikh at-Thobari, Beliau mengatakan sanad peristiwa ini hasan.

Itu sebahagian dari perbincangan yang dibawakan oleh pengarang dalam buku ini. Semua peristiwa telah disemak semula kesahihannya oleh pentahkik dan diberi nota kaki.

Antara peristiwa lain yang dibawakan dalah buku ini termasuk :

  1. Peristiwa Tahkim
  2. Perang Jamal
  3. Perang Siffin
  4. Pembunuhan Hasan bin Ali, cucu Rasulullah saw.

Semoga Allah memberi saya kesempatan untuk membaca bahagian-bahagian lain dari buku ini. Insya Allah selepas itu saya sambung ulasan saya.

Laman Berikutnya »

The Rubric Theme Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.