Mari baca

Jun 28, 2010

Hutang

Filed under: Al-Qur'an,As-Sunnah,Kewangan — Mohd Riduan Khairi @ 1:00 am
Tags: , ,

Harimau mati meninggalkan belang

manusia mati meninggalkan hutang

Zaman hari ini ialah zaman hutang. Dari sebesar rumah dan kereta sehinggalah ke kain batik, kain ela dan kain samarenda, kalau boleh semuanya mahu hutang.

Ada orang beli ikan dan sayur pun berhutang di kedai runcit.

Hutang bertujuan meringankan bukan bertujuan kegiatan mencari keuntungan. Hari ini orang @ pihak memberi hutang dengan tujuan mencari keuntungan.

Makalah kecil ini mengupas persoalan hutang.

Hutang menurut Islam

Syaikh Muhammad Soleh bin Uthaimin merincikan jenis-jenis hutang yang dibenarkan dan hutang-hutang yang dilarang dalam agama. Antara yang diharamkan dengan tegas ialah mengenakan bayaran lebih dari jumpah yang dipinjam. Dinamakan juga sebagai riba’.

Peri pentingan bab hutang, sehingga ayat Al-Quran yang paling panjang bercerita tentang hutang.

Manakala bahagian kedua menjelaskan tips-tips menghindar hutang.

Selamat menikmati!

Judul : Jangan Gampang Berhutang

Penulis : Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin

Penerbit : Aqwam, Solo (2008)

Halaman : 98 mukasurat

Mac 23, 2010

Bisnes dan Cari Rezeki

Filed under: Al-Qur'an,As-Sunnah,Bisnes,Kewangan,Sedekah — Mohd Riduan Khairi @ 5:18 am
Tags: , ,

Saya sedang membuat sedikit bacaan tentang bisnes secara Islami. Kerana tidak sedikit dari sahabat dan kenalan saya berbisnes. Ada yang melakukan bisnes secara online, ada yang terlibat dalam ‘pembuatan’ (manufacturing), ada  pula yang membuka kafeteria dan berbagai lagi. Sebahagian yang lain pula masih bekerja ‘makan gaji’, namun sudah mula berjinak-jinak dalam dunia bisnes.

Tidak syak lagi, bisnes sudah mula menjadi kerjaya pilihan.

Dalam tradisi Islam, tidak sedikit figure agama melibatkan diri dalam bisnes. Semua maklum Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) sebelum dilantik menjadi rasul adalah seorang bisnesman. Isteri beliau, Khadijah juga seorang peniaga yang masyhur dan kaya.

Juga peribadi-peribadi selepas beliau, termasuk yang paling dikenali kerana kayanya ialah Abdurrahman bin Auf.

Mula Bisnes

Pada yang tidak bisnes, awal bisnes pada mereka ialah ‘modal’. Ini adalah jawapan orang yang langsung tidak pernah menjual, hanya tahu membeli.

Rasulullah (selawat dan salam kepada beliau) bermodalkan dirinya sahaja untuk memulakan perniagaan. Yang mengeluarkan modal ‘material’ ialah Khadijah bin Khuwailid (ketika itu belum menjadi isteri nabi). Modal Nabi Muhammad ialah ‘kejujuran’ atau istilah modennya ‘integriti’.

Rezeki

Satu perkara yang tidak kalah penting, perlu berjalan seiring dengan kejujuran ialah memahami konsep rezeki menurut agama.

Beberapa soalan ini perlu difahami dengan benar :

  1. Maksud rezeki. Adakah ia sebatas wang dan ringgit sahaja. Atau setakat harta, tanah, rumah, barang kemas dan kereta.
  2. Pemberi rezeki. Siapakah yang memberi rezeki yang sebenar. Adakah ia majikan tempat bekerja? Adakah pelanggan yang memberikan rezeki kepada peniaga? Atau adakah pemerintah yang memberikan rezeki kepada penjawat awam?
  3. Mengurus rezeki : Kemana rezeki wajib disalurkan? Kemana rezeki haram dibelanjakan?

Ini beberapa soalan yang perlu dibenahi dengan cermat. Mencari rezeki bukan sekadar menambahkan wang dan harta. Perhatian saya dalam membaca tersangkut pada persoalan ini.

Saya menemui beberapa buah buku yang bermanfaat menyangkut isu rezeki.

  1. Bagaimana Salaf Mencari Rezeki oleh ‘Abdul Malik Al-Qosim (Al-Qowam, Solo 2006)
  2. Cara Mudah Mencari Rezeki oleh Fuad Shalih (Pustaka Tazkia, Jakarta 2009)
  3. Kunci Rezeki oleh Dr Abdullah Yassin (Al-Furqan, KL 2004)
  4. Pembuka 10 Kunci Mudah Kaya oleh Dr Fadhl Ilaahi (Al-Hidayah, KL 2008)
  5. Panduan Mencari Rezeki Halal oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni (Al-Shafa, KL 2009)

Dr Abdullah Yassin menyebutkan sebab datangnya rezeki secara umumnya ada dua jenis. Pertama sebab tabi’i dan sebab syar’ie.

Sebab tabi’ie

Sebab tabi’ie ialah berusaha dan bermacam-macam ikhtiar. Ia banyak dikaji oleh ahli jurujual, ahli pemasaran dan ahli perniagaan lain. Ia berasaskan pemerhatian dan pengalaman.

Ini dijelaskan dalam Surah Maryam 19 : 25

“Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak.”

Manakala dalam Surah Jumuah 62 : 10

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).”

Dua ayat ini sudah cukup untuk menjadi dalil, bahawa berusaha mencari rezeki itu sebahagian dati suruhan agama.

Sebab Syar’ie

Sebahagian orang mencari sebab sebatas sebab tabi’ie sahaja.

Sebahagian yang lain bekerja-berusaha ditambah dengan ikhtiar yang disangka syar’ie padahal tidak. Sedangkan orang bukan Islam pun tetap berdoa pada setiap pagi sebelum memulakan bisnes. Lihat sahaja kedai dan kilang milik orang Budha, pasti ada sudut untuk ibadah dan ‘memberi makan’ tuhan mereka. Dengan harapan rezeki mereka (baca : ong) akan dimurahkan pada hari itu.

Namun bagi sebahagian orang Islam yang tidak mengetahui pula, mereka berdoa dan meminta hajat di tempat keramat untuk melariskan perniagaan. Kubur-kubur orang saleh sering dijadikan lokasi untuk memohon hajat dan berdoa. Padahal perbuatan mereka itu termasuk perbuatan syirik, yakni bertawasul kepada Allah dengan perkara yang dilarang. Orang yang berbuat syirik sangat sempit rezeki mereka.

Allah melalui kitab dan Rasulnya menyatakan beberapa perkara yang akan memudahkan rezeki hambanya. Sekurang-kurangnya ada 10 amalan yang apabila dilakukan ikhlas kerana Allah, makan rezeki bertambah. Antaranya :

  1. Beriman dan bertaqwa kepada Allah
  2. Istighfar dan taubat
  3. Tawakkal kepada Allah
  4. Tekun beribadat
  5. Menunaikan haji dan umrah secara berturut-turut
  6. Membaiki silaturrahim
  7. Hijrah kepada kebaikan
  8. Sedekah
  9. Membantu orang miskin
  10. Infaq kepada penuntut ilmu

Semua amalan ini disebutkan dalam buku-buku yang saya baca. Semuanya disertakan dalil dari ayat Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.

Kisah Imam Al-Bukhari

Di dalam buku kecil ‘Bagaimana Salaf Mencari Rezeki’, penulis membawakan kisah Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari.

Beliau mewarisi harta yang banyak dari ayahnya (Ismail). Kerana cintanya kepada menuntu ilmu, Imam Bukhari menjalankan siste mudhorobah, iaitu memberikan modal kepada pengusaha lain untuk menguruskan bisnesnya. Dan beliau mengambil persen keuntungan sebagai pemodal. Dengan itu, beliau punya masa yang banyak untuk menuntut ilmu.

Dilaporkan pada setiap bulan beliau akan membelanjakan 500 dirham untuk fakir miskin, penuntut ilmu dan ahli hadith. Beginilah sikap seorang ahli perniagaan yang diredhai Allah.

Kisah Ali bin Abu Thalib

Dalam ‘Cara Mudah Mencari Rezeki’ pula saya menemukan satu kisah yang mengharukan. Kisah ini membuktikan, rezeki seseorang itu tetap miliknya. Hanya sahaja jalan yang ditempuh itu halal atau haram adalah pilihan individu.

Satu hari Ali bin Abu Thalib masuk masjid. Beliau meminta seorang lelaki yang berada di pintu masjid, “peganglah keldai ini”.

Tidak lama selepas itu Ali keluar membawa 2 dirham untuk diberi kepada lelaku tadi sebagai upah. Ternyata lelaki tadi telah hilang. Yang tinggal hanya keldai beliau dan tali pemegang keldai itu telah hilang bersama lelaki tadi.

Ali pun berlalu menunggang keldainya. Kemudian Ali memberi hambanya 2 dirham dan menyuruh, “belikan aku tali pemegang keldai di pasar”.

Hambanya kembali dari pasar membawa tali pemegang keldai, dan tali itu dicam oleh Ali menyerupai tali pemegang yang telah dicuri tadi. Tahulah Ali bahawa tali itu telah dijual oleh pencuri tadi di pasat dengan harga 2 dirham.

Ali berkata, “Dia telah menghalangi dirinya dari harta yang halal kerana tidak bersabar. Harta haram yang didapatkannya tidak akan melebihi apa yang telah ditentukan Allah baginya”.

Disember 21, 2009

Bisnes Online

Filed under: Bisnes,Kewangan — Mohd Riduan Khairi @ 8:26 am

Saya bercadang menjalankan bisnes buku secara online. Bukan e-book, sebaliknya menjual buku-buku fizikal secara online.

1. Tujuan utama bisnes tentu menjana keuntungan. Jika tidak ia dinamakan bukan bisnes, mungkin program amal atau yang lainnya.

2. Menyebar-luaskan bahan-bahan ilmiah. Tidak dinafikan kedai buku sudah banyak dan kedai buku online pun sudah banyak beroperasi. Akan tetapi bak kata pepatah Inggeris “the more the merrier“. Tidak ada satu buah kedai buku yang menjual semua jenis buku dan memenuhi semua permintaan pelanggan. Kehadiran kedai buku online saya, untuk memenuhi ruang-ruang kosong itu.

3. Saya akan menumpukan buku-buku agama bermanhaj salaf, sebahagiaannya nanti adalah dari penerbit Indonesia.

Untuk tujuan itu saya sedang membaca beberapa buah buku tentang bisnes secara online. Antaranya :

Panduan menggunakan Zencart

Pemasaran di internet

Dua buah buku ini membantu saya sedikit sebanyak untuk memulakan kedai online saya.

Pun begitu, dek kerana saya ini dijangkiti penyakit ‘perfectionist’, saya akan menambah bacaan lagi tentang bisnes online melalui beberapa buah buku lain lagi.

Sehingga saya jelas selok-belok urusniaga secara online, barulah saya akan memulakannya.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan punya cadangan dan komentar, boleh majukan kepada saya.

Jasa baik amat sayat hargai.

Disember 12, 2009

Kunci-Kunci Rezeki Menurut Al-Quran & As-Sunnah

Filed under: Al-Qur'an,As-Sunnah,Kewangan — Mohd Riduan Khairi @ 3:30 am
Tags: , , ,

Penulis : Dr. Fadhl Ilahi

Penterjamah : Muhammad Huzaifah

Penerbit : Pustaka Shafa (2002)

Halaman : 128 mukasurat

Penulis mengeluarkan 10 perkara apabila dilakukan, menyebabkan turunnya rezeki.

Konsep rezeki dan harta dalam agama

Hari ini ‘mencari rezeki’ sering diertikan sebagai ‘sesuap nasi’ atau makan-pakai. Dek kerana banyak perkara memerlukan wang, maka wang menjadi makna kepada rezeki.

Dalam agama rezeki konsepnya sangat luas.Wang, makanan, pakaian dan harta yang lainnya itu juga rezeki. Kesihatan juga rezeki. Kebahagiaan juga rezeki. Tidak sedikit dari kalangan manusia yang kaya-raya, dari sudut harta dan wangnya, namun banyak juga makanan yang tidak boleh dijamahnya.

Prof Hamka menceritakan, seorang pemimpin besar Indonesia menaiki kereta melawat kawasang perkampungan. Dalam perjalanan beliau melihat petani sedang menjamah makan tengahhari di tepi sawah. Lalu beliau berkata, “Alangkah berseleranya petani itu makan, walau dengan lauk yang biasa”.

Tambah pemimpin itu lagi, “Seumur hidup aku, belum pernah aku makan dengan penuh selera seperti petani itu”.

Allah Maha Adil. Dia meletakkan selera itu pada tekak, bukan pada makanan. Dia juga meletakkan bahagia itu pada hati, bukan pada material yang mengelilingi.

Kunci-kunci rezeki

Penulis membawakan 10 kunci rezeki.

Saya kongsikan satu daripadanya. Dari Surah Nuh ayat 10 hingga 12.

“Sehingga aku berkata : Pohonkanlah ampun (istighfar) kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kamu harta yang banyak dan anak-anak, dan mengadakan kamu kebun-kebun tanaman serta sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

Tips yang pertama ialah istighfar. Ia nampak ringkas dan mudah. Namun Allah menjanjikan balasan yang lumayan kepada sesiapa yang sanggup melakukannya.

Para ulama mengeluarkan beberapa manfaat dari istighfar :

  1. Diampunkan dosa-dosa.
  2. Diturunkan hujat yang lebat. Umar al-Khattab hanya bersitighfar ketika memohon hujan. Sehingga orang ramai bertanya, “Kami tidak mendengar engkau berdoa meminta hujan”. Lantas Umar membaca ayat dari Surah Nuh ini.
  3. Allah akan menambahkan harta dan anak-pinak
  4. Allah akan menjadikannya kebun-kebun
  5. Allah akan menjadikannya sungai-sungai

Manakala Al-hafidz Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya mengulas ;

“Maknanya, jikakamu bertaubat kepada Allah, meminta ampun kepadanya dan sentiasa mentaatinya, nescaya Allah akan membanyakkan rezeki kamu dan menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan reseki dari bumi, menumbuhkan tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air susu ternakan untuk kamu, memperbanyakkan harta dan anak-anak, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat bermacam buah-buahan serta mengalirkan sungai-sungai di atara kebun-kebun”.

Demikian khasiat dan fadhilat istighfar, lafaz yang semua orang Islam tahu dan sangat mudah untuk dilafazkan.

Ada 9 lagi tips yang ditampilkan oleh penulis. Bacalah dan ambil manfaat darinya. Semoga kalian beroleh rezki yang mudah.

Dua lagi buku tentang rezeki dan tips-tips murah rezeki.

1. Abdullah Al-Qari Salleh

2. Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni

Oktober 5, 2009

Ajaibnya Sedekah

Filed under: Ibadah,Kewangan,Sedekah — Mohd Riduan Khairi @ 4:53 am
Tags: ,

Judul : Ajaibnya Sedekah ; Semakin Bersedekah Semakin Kaya
Penulis : Muhamad Muhyidin
Penterjemah : Irma Idayu Othman
Penerbit : Pts Millenia (2009)
Halaman : 171 mukasurat
Harga : RM 11.90

Sedekah bukan suatu perkara yang asing dalam masyarakat Islam hari ini. Ada majlis-majlis memberi makan kepada kepadas jiran, kenalan dan ahli keluarga. Ia dinamakan kenduri. Ada wang yang diberikan kepada anak-anaka kecil pada musim perayaan. Namanya duit raya. Itu semua apabila dilaksanakan dengan iman dan ikhlas hanya kerana Allah,ia termasuk dalam kategori sedekah.

Istiqomah

Namun yang paling berat pada diri seorang yang beriman ialah untuk konsisten atau istiqomah dalam melakukan sedekah.

Kata nabi, “Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan”.

Pada setiap hari sekurang-kurang nya seorang Islam akan berdoa kepada Allah untuk istiqamah. Ia termasuk dalam surah Al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat solat. Dalam ayar ke-6 kita membaca ayat yang bermaksud, “Tunjukkan kami jalan yang lurus (sirot al-mustaqim)”. Mustaqim bermaksud orang-orang yang istiqomah.

Dalam bab sedekah ada tambahan ganjaran. Nabi dalam satu hadis sahih lain memberi jaminan bahawa akan ada 2 malaikat turun pada setiapa pagi mencari orang yang bersedekah. Malaikat yang pertama akan mendoakan yang bersedekah,”Ya Allah, gantikan apa yang disedekahkan”. Manakala malaikat yang satu lagi akan mendoakan orang yang kikir, “Egkau musnahkah hartanya”.

Buku Ajaibnya Sedekah memberikan beberapa tips dan kaedah sedekah. Dengan istiqomah.

Juga memuatkan beberapa kesalahan dalam melakukan sedekah. Antaranya merungut-rungut selepas melakukan sedekah. Begitu juga dengan mengungkit-ungkit sedekah yang akan menyakiti hati penerima sedekah. Termasuk dalam perkara yang memadamkan pahala sedekah ialah menunjuk-nunjuk (riya’) ketika sedekah. Bahkan riya’ termasuk dalam satu cabang syirik kecil

Kesimpulan yang paling besar saya dapat selepas memahami ibadah sedekah :

Benar kata Nabi, sedekah tidak akan meluakkan harta sama sekali (Hadis Muslim). Namun, benar sedekah akan meluakkan beberapa ringgit wang. Sebaliknya Allah dan Rasul menjanjikan ganjaranyang sangat banyak bukan sahaja di akhirat, bahkan juga di dunia.

Tidak sama peribadi orang yang bersedekah dan orang yang kedekut.

September 4, 2009

Aidh Al-Qarni : Panduan Mencari Rezeki Halal

Filed under: Kewangan,Sedekah — Mohd Riduan Khairi @ 11:10 am
Tags: , , ,

qarni - panduanrezeki halalPenulis : Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni

Penerbit : Pustaka As-Shafa (2009)

Penterjemah : Mujahidin Muryadi

Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni merupakan sarjana Islam yang beraliran salafussoleh. Beliau giat menulis buku-buku motivasi berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Karya beliau yang paling dikenali ialah “Jangan Bersedih”.

Satu kelebihan karya beliau ialah bahasa dan pendekatan kontemporari yang beliau gunakan. Bab-bab dalam buku beliau pendek. Gaya tulisan beliau ringkas memuat dalil Quran dan Sunnah beserta contoh perbuatan sahabat tabi’in dan generasi awal.

Antara perbincangan buku ini termasuk

1. Kasih sayang, cinta dan rahmat Allah yang maha luas. Rezeki yang Allah kurniakan kepada makhluk ciptaannya meliputi tumbuhan, haiwan dan ciptaan di langit dan bumi. Semuanya memberi manfaat kepada manusia.

2. Perkara-perkara yang memudahkan urusan mendapatkan rezeki. Dan juga perkara yang menyebabkan rezeki berkurangan. penulis memetik ayat Al-Quran yang memberitahu ‘maksiat akan mengurangi hasil tumbuhan’.

3. Naskah ini juga membetulkan konsep rezeki yang dipahami oleh kebanyakan manusia hari ini. Rezeki melewati takrif wang dan makanan semata. Rezeki meliputi rasa tenang, zuriat, kesihatan dan kebahagiaan.

4. Islam menyuruh umatnya menjadi kaya dan berharta. Islam sama sekali tidak melarang berbelanja dengan harta yang dimiliki. Namun Islam membetulkan semula sikap manusia terhadap harta dunia dan wang. Sikap yang paling baik ialah manusiayang punya banyak wang, dan tidak pernah berasa gusar untuk menginfakkan harta itu pada jalan Allah.

Pada bahagian akhir, penulis menitipkan peri pentingnya sikap zuhud dan fakir.

Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan kupasa buku ini. Sesuai dibaca oleh :

1. Orang kaya

2. Orang yang mahu kaya

3. Orang yang sedang berusaha untuk menjadi kaya.

September 2, 2009

Hidup Tenang walaupun Berhutang

Filed under: Kewangan — Mohd Riduan Khairi @ 11:25 am
Tags: , , , , ,

phpthumb_generated_thumbnailjpgPenulis : Shamsuddin Abdul Kadir

Penerbit : Pts Professional (2007)

Penulis merupakan pakar dalam bidang pengurusan kewangan dan hutang piutang. Beliau berpengalaman luas dalam bidang yang diperkatakan.

Kemudahan hutang

Hutang secara asasnya bukan sesuatu yang buruk. Ia dibenarkan oleh agama dan merupakan kemudahan untuk menangguhkan bayaran pada satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua pembeli dan penjual.

Sejarah hutang berkembang-pesat seiring dengan penubuhan bank. Bank (konvensional mahupun Islam) hidup dengan memberi hutang. Selain pelaburan, pendapatan besar bank ialah dari pembayaran balik pinjaman beserta faedah @ buka a.k.a riba.

Hutang dan riba

Hutang menjadi masalah apabila bercampur dengan riba. Riba ialah penambahan bayaran dari jumlah pokok yang dipinjam. Walau apa definisi atau istilah yang digunakan, selagi mana ia menjadi penambahan berkadaran dengan jumlah hutang, maka ia dianggap riba.

Riba, walaupun sedikit diancam keras dan tegas oleh Allah dalam kitabnya. Riba diharamkan bukan sahaja dalam Islam, bahkan dalam 2 agama samawi yang lain yakni Yahudi dan Kristian.

Hidup tanpa hutang

Perubahan gaya hidup menyebabkan manusia sukar bebas dari hutang. Hampir semua benda boleh dibeli dengan gaya hutang bermula dari rumah hinggalah ke kain batik. Ini dijelaskan oleh penulis dalam satu sesi bicara buku sempena Pesta Buku Read Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, hutang boleh dikategorikan kepada 2. Pertama hutang yang baik dan kedua hutang yang tidak baik. Hutang yang baik ialah hutang yang menambah nilai aset peminjam. Contoh klasik hutang jenis ini ialah hutang membeli rumah. Secara umumnya pinjaman perumahan baik.

Ulasan

Buku ini memberi fokus kepada 2 jenis hutang yang paling kritikal dan merbahaya jika tidak dijaga.

1. Kad kredit. Dengan kadar faedah 18%, kad kredit telah menyebabkan tidak sedikit manusia jatuh muflis. Sehinggakan kadar faedahnya boleh melebihi nilai asal pinjaman. Betapa besarnya bahana riba. Ia bawah sedikit dari along dan ceti haram. Bahkan apa bezanya?

2. Bayaran mudah ansuran. Kaedah ini berjaya memperdaya manusia untuk memiliki sesuatu yang tidak patut mereka miliki. Dengan tanpa sedar, ramai pelanggan terpaksa membayar lebih untuk suatu produk dengan kaedah bayaran ansuran.

Asalnya hutang itu merupakan satu kemudahan dalam urusniaga. Namun dek kerana sikap rakus satu pihak, maka ia telah dieksploitasi untuk membuat untung semaksima mungkin.

Lihat senarai Pengarah syarikat korporat yang mendapat bayaran tertinggi, kebanyakanya dari syarikat kewangan dan bank. Apa yang mereka niagakan? Hanya mengalih-alihkan wang pendeposit dan mengaut untung dengan cara yang haram.

Baca buku ini, dan mula meminimakan hutang. Kata penulis beli rumah dengan tempoh bayar balik seawal 10 tahun dan beli kereta dengan tempoh bayar balik seawal 4 tahun. Itu maksima. Azizi Ali pula kata hanya 2 tahun!

Bacaan tambahan riba oleh Ustaz Zaharuddin b Abdul Rahman

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.