Mari baca

Jun 2, 2010

Tabiat Menayang-nayang Rak Buku

Filed under: Kedai buku,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 5:33 pm

Seorang teman saya mengomel,

“Aku tidak suka letak rak buku di ruang tamu. Nampak macam menunjuk-nunjuk”.

Rak buku-buku motivasi dan buku umum

Saya telah air liur, sebab saya meletakkan rak buku di ruang tamu. Di rumah sendiri dan di rumah orang tua, kedua-duanya meletakkan rak buku di ruang tamu. Bahkan emak saya menempah rak desain khas untuk buku-buku koleksi keluarga kami.

Sewaktu saya kecil buku bukan mainan saya dan adik-adik. Saya berasal dari kelurga buruh. Ayah saya tak dapat sijil SPM manakala emak saya lulusan sekolah darjah dua. Namun saya sangat bangga punya emak dan ayah saya sangat tegas soal pendidikan. Terutama emak saya, walaupun beliau lulusan darjah dua, namun beliau sangat bijak dalam mendidik adab kepada saya dan adik-beradik yang lain, terutama belajar membaca Al-Qur’an.

Asalnya emak pelajar yang bijak, namun beliau berkorban berhenti sekolah masalah kewangan keluarga. Emak anak kedua. Emak dan kakaknya, mak long berhenti sekolah awal untuk membantu atuk mencari rezeki dengan menoreh getah.

Jadi buku bukan mainan kami pada waktu kecil.

‘Main pasir’

Mainan kami ialah pasir sebab tanah di kawasan rumah kami berpasir. Jadi macam-macam kami boleh berkreatif dengan pasir, buat kek (bagi perempuan) dan buat rumah dan istana bagi lelaki. Jadi ada istilah ‘jom main pasir’ dalam kamus istilah kanak-kanak kami.

Bagaimana buku muncul dalam hidup saya?

Abah saya seorang buruh kerajaan. Adik-beradik kami 5. Untuk menambah pendapatan keluarga abah menternak lembu tenusu. Setiap subuh sebelum masuk kerja dan setiap petang selepas pulang kerja buruh, abah akan ke ladang lembunya di pinggir gunung untuk memerah susu lembu.

Selalu abah balik dengan tangan yang bengkak-bengkak kerana memerah banyak tetek lembu. Abah pernah ada lebih 20 ekor lembu susu yang perlu diperah susunya setiap hari. Emak akan urut tangan abah setiap malam untuk melegakan bengkak.

Setiap hari abah keluar rumah sebelum subuh dan pulang selepas maghrib. Setiap hari termasuk hari cuti umum. Lembu tenusu tidak boleh tidak diperah susunya, kerana mereka akan sakit kerana susu yang berlebihan.

Payung yang Pelik

Satu hari, selepas pulang dari memerah susu abah membawa balik sebuah buku cerita. Saya masih ingat lagi, buku karangan Enid Blyton bertajuk ‘The Strange Umbrella’. Abah beri buku bahasa Inggeris bukan sebab abah sekolah orang putih, sebaliknya buku itu abah temui di tempat pembuangan sampah berdekatan ladang lembu abah.

Saya terus capai kamus Oxford dwi-bahasa dan mengulit setiap pertakaan yang saya temui. Gembiranya hati saya bukan kepalang kerana buku itu cantik, kulitnya kuning dan kulit tebal.

Tinggi nilainya bagi budak kampung seperti saya memiliki buku cerita bahasa Inggeris. Walauupun sampai hari saya tak pernah menghabiskan bacaan buku itu, namun ia memberi makna yang besar kepada saya kepada buku. Buku itu masih wujud di rak buku rumah orang tua saya.

Buku kegemaran

Saya mula membaca buku sejak saya tahu membaca lah! Di sekolah menengah, saya suka pergi perpustakaan pada waktu rehat. Asalnya bukan sebab hendak baca buku sangat, cumanya saya tidak punya wang saku yang banyak untuk makan di kantin. Saya suka membeli benda-benda lain (seperti perfume, syampu dll) dari berasak-asak beratur di kantin membeli makanan. Lagipun makanan di dewan makan sudah cukup 4 hari satu hari semalam.

Dan tabiat ini saya bawa sampai dewasa. Saya tidak suka makan di tempat yang terlalu ramai orang dan perlu berasak dan beratur. Saya tahu yang suka hal demikian. Kenapa ya? Tiap-tiap hari pun makan juga. Masuk perut sama saja, jadi najis.

Sehingga kerani perpustakaan kenal dengan saya. Jika saya tidak ada mood membaca buku, saya memilih untuk menyusun buku-buku di perpustakaan. Saya merasa gembira dan tenang berdampingan dengan buku. Saya mencalonkan diri untuk menjadi pengawas perpustakaan. Awalnya diterima, namun akhirnya dilucutkan kerana saya dipilih menjadi perwakilan pelajar.

Buku di universiti

Hanya sampai di universiti baru saya merasa pegang duit banyak. Setiap semester pula ada jualan murah dianjurkan oleh DBP. Ada buku dijual sehingga 70 %. Mana tidak rambang mata. Saya ditakdirkan berkenalan dengan sahabat yang punya antutias yang sama, minat buku.

Setiap semester kami sama-sama membong buku. Tak larat bawak banyak buku sekali beli, esok kami datang lagi. Begitu juga di kedai buku Badan Cemerlang. Kami membeli dengan banyak sekali beratus-ratus ringgit dalam satu masa. Sehingga pelayan kauter bayaran tak percaya apabila kami kata kami beli untuk bacaan peribadi. Dengan sinis dia menegur,

“Adik berdua ini berniaga buku ya?”

Akahirnya rak buku kami di bilik asrama sendat dengan buku-buku bukan subjek fakulti. Sampai kawan-kawan satu fakulti (kami fakulti Sains komputer) kata, “Kamu berdua ini salah pilih kursus”. Kerana buku-buku kami cenderung kepada buku agama dan sains sosial (falsafah, budaya dan sastera).

Ramai juga yang hairan berjumpa kami di fakulti Sains Komputer. Selebihnya menjadi sejarah.

Rak buku di ruang tamu

Saya fikir semua setuju meletak rak buku di ruang tamu lebih baik dari meletak TV, permainan video atau majalah hiburan.

Soal menunjuk-menunjuk atau tujuan riak itu perkara dalam hati. Hanya Allah sahaja yang tahu, dan Allah sangat teliti menilai susur-liku hati dan perasaan manusia. Usahlah kita risau. Kita nilai yang zahir sahaja.

Saya suka meletakkan rak buku di ruang tamu sebagai satu kempen galakan membaca dan memilik buku kepada tetamu-tetamu saya. Saya mungkin secara peribadi tak upaya berkempen di akhbar, majalah atau televisyen. Tetapi sekurang-kurangnya saya boleh kempen kepada tetamu yang hadir di rumah saya. Tak kisahlah walau satu orang yang bertamu setiap bulan. Cukuplah dari tidak melakukan apa-apa.

Rak buku-buku agama

Buku juga memberi pengaruh besar kepada kanak-kanak. Seperti yang terjadi kepada saya pada zaman persekolahan.

Setiap kali cuti sekolah saya akan ke rumah mak long untuk menggeledah buku-buku cerita. Dan buku cerita pertama yang saya baca di sekolah rendah ialah Si Puteh karya Othman Hamzah. Saya masih ingat kulit bukunya dan jalan ceritanya.

Jadi, saya memutuskan untuk meletakkan rak buku di ruangan utama dan akan menyimpang peti televisyen di sudut-sudut yang terpencil.

Hari ini kanak-kanak suka menonton TV kerana ibu bapa mereka pun suka menonton TV. Bapa borek anak pun rintiklah. Takkanlah bapa kucing melahirkan anak harimau, walaupun ada beberapa gen dan hormon yang sama.

Mei 29, 2010

Biografi dan Sirah

Filed under: Kedai buku,Tips membaca,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 7:17 am
Tags: , , , , ,

sambungan catatan dari buku A’idh Abdullah al-Qarni

E. BIOGRAFI PERAWI HADITS

  1. Al-Kamal fi Asma’ al-Rijal : Andul Ghani bin Sa’id al-Maqdisi, telah dikemaskini oleh al-Mizzi dengan judul baru Tahdzib al-Tahdzib dan Taqrib al-Tahdzib
  2. Tazkirat al-Huffaz : Adz-Dzahabi
  3. Siyar A’lam an-Nubala : Adz-Dzhabi (edisi ringkasannya 4 jilid telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesi oleh Pustaka Azzam). Baca lagi tentang Siyar A’lam an-Nubala.

F. BIOGRAFI PARA DHU’AFA DAN PARA TSIQAT

  1. al-Dhu’afa : Ibnu Hibban
  2. Mizan al-I’tidal : Adz-Dzahabi
  3. Lisan al-Mizan : Ibnu Hajar
  4. al-Tsiqat : Ibnu Hibban

G. SEJARAH DAN SIRAH

  1. Bidayah wal-Nihayah : Ibnu Katsir (terjemahan oleh DBP Malaysia)
  2. Dala’il an-Nubuwwah : Al-Baihaqi
  3. Zad al-Ma’ad : Ibnu Qayyim (terjemahan oleh Pustaka Al-Kautsar dan Grilya Ilmu, Indonesia). Baca lagi mengenai kitab ini. Klik.
  4. Raheeq al-Makhtum : Sofiurrahmanal-Mubarakfuri (terjemahan oleh  YADIM, Malaysia). Klik.

Catatan tambahan

  • Buku sirah terbaru,
  • Sahih Sirah Nabawiyah oleh Dr Akram Dhiya’ Al-Umuri. Klik disini untuk maklumat lanjut.

Mei 20, 2010

Ekspo Mini Jualan Buku Islami (Q&S Islamic Media)

Filed under: Bisnes & Kewangan,Kedai buku — Mohd Riduan Khairi @ 11:19 am

Lebih 50 judul buku dipamerkan berkaitan Islam, jihad dan melawan terorisme.

1. Umat Islam dikepung Dari Segala Penjuru
2. Jangan Nodai Tanah Arab
3. Pengeboman, Jihad atau Terorisme
4. Teroris Melawan Teroris

Tarikh : Ahad, 23 Mei 2010

Masa : 5.00 petang – 11.00 malam

Lokasi : Ruang Lobi, Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur

Turut dipamerkan terjemahan kitab-kitab klasik seperti :

1. Tafsir Ibnu Katsir (Ibnu Katsir)
2. Syarah Riyadhus Solihin (Imam Nawawi)
3. Ad-Daa’ wa’ Dawaa’ (Ibnu Qayyim)
4. Fathul Baari (Ibnu Hajar al-Asqalani)

Mini Ekspo ini diadakan bersempena Majlis Makan Malam Amal Tabung Perubatan Mangsa Perang Gaza. Ia dianjurkan oleh Aman Palestin, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (amanpalestin.net)

Tarikh : Ahad, 23 Mei 2010

Masa : 5.00 petang – 11.00 malam

Lokasi : Ruang Lobi, Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur

Mei 12, 2010

Pustaka Seri Plaza, Kota Tinggi

Filed under: Kedai buku,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 1:57 pm

Di mana ada gula di situ ada semut. Di mana ada orang jual buku, di situ ada orang beli buku. Ada orang beli buku, maknanya tentu ada orang baca buku.

Kewujudan kedai buku sangat berkait rapat dengan budaya memiliki buku dan membaca. Satu faktor yang menyumbang kepada budaya membaca ialah kewujudan atau ‘availablelity’ buku.

Saya terserempak dengan sebuah kedai buku di Plaza Kota, Kota Tinggi. Saya tidak menyangka koleksi buku yang dipamerkan agak mengejutkan, jika dibandingkan dengan situasi komplek yang agak suam (kurang pengunjung).

Antara buku yang dipamerkan termasuk dari terbitan Pts Publication, Hidayah Publisher (antara yang paling banyak), Karya Bestari dan juga dari penerbit Indonesia.

Antara buku terbitan Indonesia yang sempat saya belek termasuk dari penerbit Al-Qowam, Mumtaza dan Akbar. Bukan apa, saya sekadar mahu menunjukkan, jika permintaan terhadap buku kurang masakan buku-buku dari penerbit luar berani dipamer.

Sesuatu yang menarik tentang kedai buku indie begini ialah, kita berkemungkinan menemui judul yang jarang ditemui atau judul cetakan lama. Di kedai buku ini saya membeli 2 naskah kecil buku berkaitan Islam Liberal (judulnya Agama dan Kebebasan Berfikir dan Bercakap Atas Nama Tuhan terbitan Konrad Adenauer Foundation). Khusus untuk sahabat saya yang banyak membuat kajian tentang idealogi.

Pustaka Seri Plaza,

GL-42 Tingkat Bawah & L2-14,

Tingkat 2, Plaza Kota Tinggi,

Jalan Mawai, 81900 Kota Tinggi

Mei 3, 2010

Bacaan (i) Tafsir Al-Quran

Filed under: Al-Qur'an & As-Sunnah,Kedai buku,Tips membaca,Tokoh — Mohd Riduan Khairi @ 3:23 am

Buku ini membahaskan dan mencadangkan senarai bacaan buat penuntut dan pencita ilmu Islam. Walaupun ia tidak diedit dengan kemas dan baik (seperti kebanyakan buku-buku pengarang yang lain). Namun saya percaya senarai cadangan ini dapat membantu meluruskan jenis-jenis buku yang patut di baca.

Sebelum ini saya sudah menemui beberapa buah buku yang memberi rekomendasi senarai bacaan yang baik. Iaitu oleh Sa’id Hawwa, tokoh dari pergerakan Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Namun kerana begitu banyak catatan dan komentar terhadap pemikiran kedua tokoh ini, maka saya tidak fikir ia baik untuk dipanjangkan.

Kemudian saya menemui buku ini oleh Dr A’idh Abdullah Al-Qarni.

Saya hampir menyalin semua ayat yang disebutkan oleh pengarang. Selain senarai panjang buku yang perlu dimiliki dan dibaca, beliau juga mengutip komentar sarjana dan intelektual Islam berkaian buku yang dibicarakan.

Oleh kerana senarainya agak panjang, maka saya memutuskan untuk memangkas entri ini kepada beberapa bahagian.

A. TAFSIR

Antara ilmu asas yang perlu dikuasai oleh seorang penuntut ilmu ialah ilmu Al-Quran dan tafsirnya. Al-Qarni membawakan contoh beberapa tafsir yang bermanfaat untuk dibaca. Antara karya tafsir yang dikomentar oleh Al-Qarni termasuklah :

  1. Tafsir Jamiul Bayan : Ibn Jarir At-Tobari (224 – 310H) sudah diterjemahkan Pustaka Azzam, Indonesia
  2. Tafsir Ibn Kathir (701 – 774H) diterjemahkan Pustaka Imam Syafie, Indonesia. Baca lagi di sini.
  3. Mukhtasarat Tafsir Ibn Kathir : Nasib ar-Rifa’i
  4. Tafsir Al-Qurtubi (671H), sudah diterjemahkan Pustaka Azzam, Indonesia
  5. Tafsir Al-Kasysyaf : Zamakhsyari (467 – 538H)
  6. Tafsir Mafatihul Ghaib : Fakhruddin Ar-Razi (545 – 606H)
  7. Fathul Qadir : As-Syaukani( 1173 – 1250 H)
  8. Tafsir Adhwa al Bayan : Muhammad al-Amin al-Syanqhaiti. Baca lagi di sini.

Tidak ada gading yang tidak retak. Saya pinjam kata dari naskah ini, Al-Qarni menyebutkan juga kritikan para ulama’ terhadap karya-karya mereka. Membaca karya-karya ini perlu dengan catatan.

Namun tafsir yang paling direkomen ialah Tafsir Ibnu Katsir. Walaupun terdapat beberapa riwayat hadith yang lemah dan cerita-cerita Israiliyat, sudah ada sarjana yang mentahkiknya. Salah seorang darinya ialah Muhammad Nasiruddin AlAlbani.

Sebahagian dari kitab tafsir ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonedia.

Tafsir Ibnu Katsir terbitan Pustaka Imam Syafi’i adalah edisi susunan Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishak ALu Syaikh.

Manakala edisi Pustaka Ibnu Katsir diteliti oleh Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri.

Proses menyusun semula ini dilakukan dengan menyemak kedudukan hadith yang dibawa oleh Ibnu Katsir di dalam kitabanya. Sebahagian hadith yang dhoif  dan kisah-kisah Israiliyat telah diedit dari naskah asal.

Beberapa tafsir kontemporari dan komentar sarjana Islam

Saya bawakan beberapa tafsir Al-Quran kontemporari dan catatan sarjana Islam terhadapnya. Saya menyebutkan beberapa contoh yang sempat saya semak sahaja.

1. Taisir al-Karim ar-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannan : Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di (1307 – 1376H). Baca lagi di sini. Komentar Syaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin.

“kitab ini sebaik-baik tafsir, kerana keistimewaannya banyak ; di antaranya adalah gaya bahasanya yang sederhana dan jelas. Ia dapat difahami oleh orang yang berilmu mahupun orang awam. Selain itu ia menghindari huraian yang panjang-lebar dan perbincangan tentang perselisihan pendapat, kecuali perselisihan yang mendasar”.

2. Dibawah Naungan Al-Quran : Syed Qutb, kitab ini antara tafsri moden yang paling banyak dibaca dan diambil manfaat oleh aktivis Islam.Di Malaysia ia mula diperkenal oleh Ustaz Yusoff  Zaky Yaacob pada awal tahun 70-an (setakat yang saya maklum, jika ada fakta yang menyatakan lebih awal dari itu, boleh beritahu kepada saya). Ia dimuatkan secara bersiri di dalam beberapa majalah ketika itu. Kemudian lewat tahun 90-an, siri terjemahan itu dikumpulkan semula dan di cetak dengan lebih kemas dari biaya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Berkaitan tafsir ini telah berlaku polemik panjang. Ada yang bermati-matian pertahankan kitab ini, manakala di sisi yang lain ada yang sebaliknya. Saya cuba meloloskan diri dari pertikaian ini. Cuma saya tampilkan beberapa buku, yang melakukanredaksi terhadap tafsir ini.

Saya sisipkan laman yang memuat komentar sarjana Islam kontemporari tentang tafsir ini.

  • Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin,

“As for the tafsir of Sayyid Qutb – may Allaah have mercy upon him – then it contains great calamities, however we hope that Allaah pardons him. It contains great calamities”. Link.

  • Syaikah Abdul Muhsin al-Abbad

“The book “Zilaalul-Qur’aan” or “Fi Zilal il-Qur’aan” of Shaikh Sayyid Qutb – rahimahullaah – is one of modern tafseers based upon the opinion and not narrations and reports; and it is known that the people of opinion (ra’i) and those who speak from their opinions, and speak in their own style – then both error and correctness will be seen from them; they will be correct (sometimes) and mistaken (sometimes).” Link.

Antara Koreksi Tafsri Fi Dzilalil Qur’an oleh Syaikh Abdullah bin Muhammad ad-Duwais (terbitan Darul Qolam, Indonesia). Boleh beli di Galeriniaga.

3. Tafsir Al-Munir : Dr. Wahbah az-Zuhaily, telah diterjemah oleh Persatuan Ulama’ Malaysia. Saya masih belum menemui komentar atau catatan sarjana Islam tentang tafsir ini. Hanya sahaja Ustaz Zainal Abidin Syamsuddin dalam satu kuliahnya pernah menyebutkan bahawa tafsir ada pengaruh Asya’irah yang kuat.

4. Tafsir Muyassar : Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Terjemahan dibuat oleh Qisthi Press, Indonesia. Saya sangat teruja untuk memiliki dan membacanya, namun saya tangguhkah kepuasa saya dahulu untuk menguli Tafsir Ibnu Katsir dan sementara menanti saranan dan komnetra sarjana Ialam yang lain.

Beberapa Tafsir alam Melayu

1. Tafsir Al-Azhar : Prof HAMKA
2. Tafsir Al-Qur’an : Sonhadji
3. Tafsri Al-Furqan : Dr Abdullah Yassin, tafsir ini baru siap sebahagian sahaja. Dan ia dikuliahkan oleh pengarang sendiri di beberapa majlis di sekiar Kuala Lumpur.

Beli kitab tafsir secara online di sini. Galeriniaga.

Bacaan tambahan

  • Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1 (terjemahan), Dr ABdullah bin Muhammad, Pustaka Imam Asy-Syafi’i 2008
  • Tafsir Al-Qur’an Jilid 1 (terjemahan), Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di, Pustaka Sahifa 2007
  • Tazkirah Para Pendakwah (terjemahan), Prof Dr Yusuf A-Qaradhawi, Hidayah Publisher 2000

Februari 28, 2010

Kempen Hadiah Buku

Filed under: Kedai buku,Pendidikan,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 9:49 am
Tags: ,

Budaya membaca dalam negara kita kian berkembang pesat. Ini dapat dilihat dari beberapa hal :

1. Tambahan rak buku bahasa Melayu di kedai-kedai buku semakin bertambah. Ini menunjukkan permintaan untuk buku-buku bahasa Melayu semakin tinggi. Jika dahulu rak buku Bahasa Melayu jauh di sudut hujung dan belakang kedai, kini buku-buku bahasa Melayu sudah mula diletakkan di depan pintu masuk utama.

2. Jumlah pengunjung pesta-pesta buku semakin meningkat. Bahkan beberapa penerbit buku yang menyertai pameran mendedahkan jumlah jualan dari tahun ke tahun meningkat dengan mendadak. Walaupun ketika ekonomi negara dikatakan agak suam-suam kuku, namun jualan buku tetap naik.

3. Sudah mula ada gerakan membaca dilakukan kumpulan-kumpulan bebas. Antaranya Kelab Tidur dengan Buku di facebook, Baca @ LRT dan Baca @ Komputer. Dilaporkan lebih 300 peserta menyertai kempen Baca @ LRT baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Namun khabar gembira ini tidak harus berhenti setakat ini sahaja. Ada banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ‘daya membaca’ masyarakat kita. Salah satunya ialah menghadiahkan buku. Idea ini sedang dikempen oleh Tuan Irfan, editor PTS Professional. Boleh sertai kumpulan beliau untuk makluman lanjut.

Namun saya suka mencatatkan beberapa nota tentang hadiah buku :

1. Baca buku tidak banyak beza dengan makan. Seperti mana kita perlu makan makanan yang berkhasiat, begitu juga buku. Ada buku yang membina minda @ memandaikan bangsa (istilah Sifu Ainon). Sebaliknya tidak sedikit juga buku yang meremehkan minda. Sebahagian besar majalah dan akhbar termasuk dalam kategori bacaan yang tidak ‘berkhasiat’.

2. Justeru hadiahkan buku-buku yang bermanfaat alias berkhasiat sahaja. Hadiahkan buku-buku yang dibeli khusus untuk diberikan kepada orang lain. Jangan jadikan kempen hadiah buku sebagai lambakan buku-buku yang kita ‘singkirkan’ dari rak kita.

Kata Tuhan, “Tidak dikira (satu pemberian itu) satu kebaikan, sehingga kita memberikan apa yang kita suka”.

Mari kita beri buku yang kita suka. Jika mampu, berikan buku yang paling kita suka dan yang paling kita sayang. Saya secara peribadi belum mampu melakukan hal ini.

3. Berikan buku yang betul kepada orang yang betul. Tidak dinafikan, banyak buku yang berisi dan memuat kandungan yang bermanfaat. Namun tidak semua orang dapat mengambil manfaat dari semua buku.

Kenal pasti kumpulan sasaran kita, kemudian kenal pasti buku yang ‘cocok’ (meminjam istilah Indonesia).

Sebuah buku yang kita titipkan ibarat setitis air yang dititiskan burung pipit ke atas api yang membakar Nabi Ibrahim (salam buat beliau).

November 16, 2009

Al-Fayyadh Enterprise, Kluang

Filed under: Kedai buku — Mohd Riduan Khairi @ 3:48 am
Tags: , ,

Kluang. Sebuah banday yang agak terpencil. Namun aktiviti ekonominya nampak rancak.

Jika diukur dari jumlah banyaknya sahaja saya kira jumlahnya mengkagumkan. Maybank sahaja ada 2 cawangan, tidak termasuk Busines Centre dan Auto Finance Centre. Selain bank-bank utama, terdapat juga OSK Inverstment Bank, OCBC dan Alliance Bank. Tentu banyak duit yang bertaburan di Kluang sehingga banyak bank berkerumun di sini.

Saya masih membuat pemerhatian dan kajian.

1Selain Kedai Buku Popular di Kluang Mall (yang sungguh tidak mesra buku Melayu, dihujung sudut kedai. Bahkan majalah Korea dan Jepun diletak di depan pintu.), ada kedai buku City Bookworm dan Al-fayyadh Enterprise.

Al-Fayyadh

Al-Fayyadh menjual banyak buku-buku agama tradisional. Saya sebut tradisional kerana buku-buku dari penerbit moden seperti Pts belum banyak 9atau tidak ada langsung). Juga buku-buku agama dari penerbit Indoesia juga hampir tidak ada. Yang ada beberapa judul dari Penerbit Imam As-Syafie dan tulian Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawwas.

Manakal judul-judul lain mewah. Lihat sFoto 0056ahaja susun aturnya mengalahkan perpustakaan.

Naskah-naskah besar juga banyak terdapat di sini seperti Al-Umm (Imam Syafie), Nailul Authar (As-syaukani) dan kitab-kitab himpunan hadis.

Namun satu kekurangan kedai buku ini ialah kawal-selia yang agak lemah.

Kedai bukunya tidak ber’air corn’. Justeru itu buku-buku yang dipamer berhabuk. Walaupun buku baru, apabila berhabuk maka daya tariknya pudar.

Saya tak beli apa-apa dari kedai ini melainkan sebuah buku oleh Ustaz Hakim Abdat. Namun saya syak buku ini dicetak rompak, kerana nama penerbitnya meragukan. Halaman dalam ditulis Pustaka Imam Syafie, manakala halaman pertamanya tertulis Pustaka An-Noor. Dan kualiti kulitnya berbeza dari buku-buku Pustaka Imam As-Syafie yang lainnya.

 

November 14, 2009

Kedai Buku Thai Kuang, Melaka

Filed under: Kedai buku — Mohd Riduan Khairi @ 3:46 am
Tags: , , , , ,

Foto 0049Berita tentang kedai buku ini mula-mula saya dengar dari Tuan Zamri Mohamad, seorang penulis ‘berstseller’ yang sungguh rajin menulisn buku.

Saya sempat melawat kedai buku ini. Benar, sungguh kedai buku ini memaper begitu banyak buku-buku bahasa Inggeris untuk dilelong. Ada yang dijual serendah harga RM 9.90.

Namun saya melarang diri dari memberli buku-buku lelong ini. Saya khuatir kandungannya itu juga setaraf lelong. Makan makanan yang hampir basi mudharatnya mungkin beberapa hari. Namun memasukkan bahan bacaan yang tidak diketahui mudharatnya panjang.

Buku-buku Pts

Buku-buku bahasa Melayu khususnya buku Pts sangat banyak disini. Saya kira jauh lebih banyak dari kedai buku MPH atau Popular. Menjadi dasar MPH dan Popular (sebilangan besar cawangannya) menjual buku-buku yang ‘boleh laris’. Justeru agak sukar menemui buku-buku akademik.

Saya sempat beli beberapa naskah antaranya Mendorong Kreativiti Kanak-kanak oleh Ainon Mohd dan Abdullah Hassan.

November 4, 2009

Pustaka Muda, Ipoh

Filed under: Kedai buku — Mohd Riduan Khairi @ 4:00 pm
Tags: , ,

pustaka-muda-slice_19Bonda saya minta belikan buku Mastika Hadis. Hasil carian saya di internet, akhirnya saya bertemu dengan Pustaka Muda di Ipoh. Selain kedai buku MPH di Kinta City dan Kedai Buku Popular (Kinta City dan Ipoh Parade), banyak juga kedai-kedai buku indie lain yang ada di bandaraya Ipoh.

Salah satu darinya ialah Pustaka Muda, sebuah kedai buku agama tradisional. Ia mula beroperasi sejak tahun 60-an. Saya mendapat maklumat juga, selain menjual buku Pustaka Muda juga mencetak buku-buku agama sendiri.

Koleksi

Banyak buku-buku agama dipamer di kedai ini. Bayangkan dua pintu lot rumah kedai, dari ruang hadapan hingga ke ruang hujung belakang, semuanya memuat buku-buku untuk dijual.

Hanya sahaja susun-atur kedai buku ini agak mengelirukan. Ada yang disusun mengikut subjek seperti akidah, doa dan fikih. Ada pula yang bercampur-campur. Kebanyakan judul adalah dari penerbit lama seperti Pustaka Nasional. Dan dek kerana senggaraan yang kurang bagus, sebahagian bukunya kusam dan berhabuk.

Buku-buku sufi dan tarikat

Lpulaubesar1ama saya belek dan perhatikan. Kecenderungan pemilik buku ini memamer buku-buku kearah sufi dan tarikat. Tidak sedikit malahan banyak. Antara yang buku tentang Tariqat Naqsyabandy dan Rahsia Pulau Besar. Ini mengejutkan saya kerana tariqat Naqsyabandi sudah diwartakan haram.

Manakala Rahsia Pulau Besar memuat perkara syirik yang sangat ditegah oleh Islam. Pulau Besar memuat kubur yang dikatakan milik wali dan individu yang (konon)nya punya karamah. Bahkan telah diketahui umum, Pulau Besar adalah kubu amalam syirik dan khurafat.

Justeru itu, adalah amat tidak wajar buku ini dijual dalam kedai milik orang Islam.

Saya sempat berbicara sedikt dengan juruwang tentang buku ini. Mudah-mudahan ia akan segera dikeluarkan dari rak.

Lokasi

Hadapan kompleks Mahkamah Syariah Ipoh

No. 16 & 16A Jalan Tun Abdul Razak,

Ipoh 30200, Perak

p: 605-5274079  f: 605-5274079

 

Oktober 28, 2009

Pustaka Asma, Segamat

Filed under: Kedai buku — Mohd Riduan Khairi @ 2:00 am
Tags: , ,

DSCN2534Pustaka Asma terletak berselebah Dataran Segamat, lot kedai bumiputra.

Saiz kedainya kecil dalam 15 kaki persegi sahaja, atau mungkin kurang.

Namun jangan terkejut, seluruh sudut dan dinding kedai ini dipenuhi dengan buku dari lantai ke siling.

Saya percaya kedai ini sudah lama beroperasi kerana sebahagian koleksi buku yang dipamerkan adalah dari terbitan lama.

Antara buku yang dipamerkan termasuk dari penerbit Hidayah, Pustaka Imam As-Syafi’i, Telaga Biru dan Jasmin Enterprise. Selain memamer buku agama berjilid besar seperti Tafsri Jalalain, Tafsir di Bawan Naungan al-Quran, Pustaka Asma juga menjual akhbar, majalah dan n0vel-novel cinta Islami.

Walaupun kecil, kedai buku ini sepertinya sudah dikenali ramai. Ketika saya melawat, terdapat beberapa orang pelanggan sedang membelek-belek dan berunding dengan peniaga. Lagak gayanga seperti ustazah, bertanyakan buku itu dan buku ini. Sehinggakan saya terpaksa menunggu giliran untuk memilih kerana kecilnya ruang pejalan kaki.

Maka bolehlah kita gagaskan satu pepatah baru. Kalau sebelum ini kita katakan ‘dimana ada gula disitu ada semut’. Maka kini, ‘dimana ada kedai buku, maka disitu ada ulat buku’.

Selamat membeli buku.

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »

The Rubric Theme. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.