Mari baca

Mei 8, 2012

Kitab-kitab Tafsir Al-Qur’an Untuk Permulaan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Beberapa contoh kitab-kitab tafsir yang dikenali sebagai Tafsir Bil Ma’thur.Adabeberapa metodologi dalam tafsir Al-Quran. Salah satu darinya ialah tafsir bil ma’thur, yakni tafsir Al-Quran dengan periwayatan iaitu sama ada menafsirkan Al-Quran dengan  Al-Quran, tafsir Al-Quran dengan hadis Nabi atau pun tafsir Al-Quran dengan perkataan sahabat Nabi, tabi’in dan tabi’ut tabi’in.

Adajuga metodologi tafsir yang lebih menjurus kepada tafsir dari sudut penggunaan bahasa. Ianya teliti dengan bahasa-bahasa ma’aninya, kelebihan-kelebihan, pengertian setiap perkataan yang digunakan. Fokusnya lebih kepada keindahan bahasa Al-Quran contohnya kitab-kitab Al-Kassyaf oleh Al- Zamaksyari, Ruhul Ma-ani oleh al-Alusi, Tahanut Tanwin oleh Ibn Asyur dan sebagainya.

Antara kitab-kitab yang terbaik ialah Tafsir Al-Thobari. Akan tetapi Tafsir Al-Thobari ini terlalu panjang kerana beliau memasukkan semua riwayat-riwayat sahih mahupun yang lemah. Ada antara ulama seperti Syeikh Ahmad Syakir berkhidmat melakukan penelitian semula riwayat-riwayat di dalam kitab tersebut dan juga ulama-ulama yang lain.

Kitab Tafsir Ibnu Kathir

Walaubagaimanapun tafsir ringkas yang boleh kita manfaatkan secara langsung ialah Tafsir Ibnu Kathir. Ia merupakan yang terbaik untuk mudah faham dan mudah baca. Kitab ini memberikan kita satu garis panduan atara kaedah. Kaedah tafsirannya;

-         menafsirkan ayat al-Qur’an dengan al-Qur’an yang lain

-         kemudian menafsirkan al-Qur’an dengan hadis Nabi

-         seterusnya perkataan sahabat nabi tabi’in,

-         disusuli tabi’ut tabi’in

-         dan akhir sekali barulah kesimpulan dan pandangannya.

Berbeza dengan sebahagian orang yang salah dan keliru dalam memahami Al-Qur’an.Adadi antara mereka merenung mushaf dan memikirkan sendiri apakah maknanya tanpa merujuk kepada kitab tafsir yang muktabar. Jika kaedah ini digunakan, maka ramailah sudah boleh diiktiraf menjadi ulama’ tafsir.

Begitu juga ada tafsir contohnya Al-Iman Albiqa-I rahimahullah (wafat 885H), Nazhm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar (8 jilid). Tafsir ini memberi fokus kepada membahaskan munasabah-munasabah setiap ayat. Mengapakah ayat ini didatangkan selepas ayat ini. Mengapakah surah ini diletakkan selepas surah ini.

Begitu juga ada tafsir-tafsir yang memberi focus kepada hukum hakam seperti tafsir Al-Imam Al-Qurtubi rahimahullah (wafat 671H). Beliau memberi fokus kepada hokum-hakam dari ayat al-Qur’an. Sebagai contoh beliau membawa satu ayat al-Qur’an dan  mengeluarkan istinbat 25 hukum fikih daripadanya.

Manakala tafsir yang memberi fokus Al-Quran dengan Al-Quran sahaja seperti tafsir  Syeikh Muhammad Al-Amin Al Shanqiti (wafat 1393 H) dengan judul Adwa’al-Bayan Fi Idhah al-Qur`an bi al-Qur`an. 

Aliran Tafsir Bir-ro’yi (tafsiran akal dan rasional)

Adajuga tafsir bir-ro’yi iaitu tafsir yang menggunakan akal semata-mata. Golongan ini disebut sebagai muktazilah.Ada yang  mengarang kitab tafsir untuk mendirikan dan menegakkan akidahnya seperti Al Zamakhsyari dengan tafsir Al-Kassyaf.

Itu sebagai gambaran (overview) tentang kitab-kitab tafsir. Namun begitu sebagai penuntut ilmu cukuplah sebagai permulaan letakkan target untuk menghabiskan baca kitab Tafsir Ibnu Kathir. Bahkan pada hari ini ia telah diringkaskan oleh kelompok ulama yang dikepalai oleh Syeikh Sofiurahman Al-Mubarakfuri iaitu Al-Misbahul Munir Fee Tahdhib, ringkasan Ibnu Kathir. Hadis-hadis telah dinilaikan semula dan disusun sempurna dengan mengambil kesimpulan Al-Imam Ibnu Kathir berasakan Al-Quran, hadis Nabi, perkataan dan pandangan sahabat Nabi.

GreenVillageClub House, Doha,Qatar

09 Mac 2012

Rakaman oleh Abu Aqif Studio: http://www.youtube.com/watch?v=_EkVhse7Oz8

Teks oleh Biro Multimedia & Penerbitan, iLMU 

dari blog Ustaz Fathul Bari.

April 2, 2012

Menulis di Akhbar, Majalah atau Buku?

Filed under: Al-Qur'an,As-Sunnah,Penulisan — Mohd Riduan Khairi @ 8:29 am
Tags: ,

Menulis di akhbar, majalah mahupun buku masing-masing punya kelebihan dan kekurangan.

Akhbar Terkini dan Sensasi

Akhbar paling cepat terbit. Tulis semalam, hari ini sudah boleh dibaca. Selain paling cepat terbit, ia juga paling cepat dibaca. Dalam masa kurang 12 jam maklumat dan mesej akhbar sampai menyelip ke dalam jutaan pembaca. Bahkan lebih awal lagi, ramai juga orang membaca akhbar pada waktu seawal sarapan pagi! Ini berdasarkan imejan drama dan babak televisyen, akhbar dibaca pada waktu sarapan pagi, atau minum jam 10.

Majalah

Majalah agak lambat responsif. Kalau ayam mengeram seminggu baharu menetas, isu di majalah lewat hampir sebulan. Namun dek kerana sedikit perlahan, memungkinkan kandungannya lebih matang dan boleh dipertanggungjawabkan.

Buku

Menulis buku paling lambat berbanding akhbar dan majalah. Ada buku hanya dapat disiapkan setelah dieram dan dikandung bertahun-tahun lamanya. Amat sukar dan langka untuk menemui penulis sehebat al-Allamah Ibnu Qayyim yang sempat menulis sebuah kitab besar hanya ketika berada atas unta dalam perjalanan. Dalam masa beberapa ketika, berpegang kepada ingatan semata-mata beliau menyiapkan adi-karya ‘magnum opus dalam literasi Islam, Za’adul Ma’ad (terjemahnnya 7 jilid). Maha Suci Allah memberikan karomah kepada ilmuwan Islam.

Sirkulasi atau Volume Terbitan

Umumnya terbitan akhbar lumayan lebih banyak berbanding majalah dan buku. Akhbar Harian Metro mencatat jualan harian mencecah setengah juta (480 ribu)! naskah setiap hari. Wah! Banyaknya. Boleh kita jumlah setiap hari hampir atau lebih1 juta naskah akhbar Melayu dijual. Justeru menulis diakhbar mendapat publisiti lumayan.

Manakala sirkulasi majalah khususnya ilmiah dan agama sekitar puluhan ribu sahaja. Majalah agama sebagai contoh rata-rata mencatat jumlah jualan paling tinggi 50 ribu naskah/ bulan.

Lebih dari itu lagi nasib buku-buku agama tidak lebih baik. Tidak dinafikan ada buku agama mencatat jualan lebih 70ribu pada tahun lepas. Namun mfenomena itu bolehlah dikatakan sebagai ‘once i a blue moon‘. Hanya novel cinta sahaja boleh cecah jualan puluhan ribu naskah bahkan hingga ratusan ribu naskah.

Surat Khabar lama

Namun disebalik jualan yang mencecah lebih 1 juta naskah setiap hari (bagi akhbar berbahasa Melayu sahaja). Dek kerana cepat terbit, ia juga cepat ‘basi’. Menjelang hari hari esok nasib kebanyakan kertas akhbar setaraf pembungkus nasi lemak. Bahkan lebih sadis lagi menjelang tergelincir matahari akhbar sudah renyuk dan terperuk lebih rendah dari kain buruk. Kalau kain buruk masih berbakti mengelap meja. Mungkin akhbar pagi, nasibnya di waktu petang tidak ubah kucing kurap.

Memang ada orang yang mengumpul akhbar atau keratan akhbar, namun nisbahnya sangat sedikit. Yang simpan mungkin perpustakaan dan peminat barangan antik. Nisbahnya mungkin 1 dari 10 ribu.

Berbanding dengan akhbar, majalah lebih tahan lama. Dan yang lebih tahan paling lama ialah buku. Tidak ada akhbar yang boleh dijual selama setahun. Namun ada buku yang masih laku dijual walaupun sudah dicetak ribuan kali dan ditulis ribuan tahun yang lalu. Al-Qu’ran dan kitab hadis dikumpulkan lebih 1000 tahun yang lalu. Namun sampai hari ini permintaan dan jualan Al-Qur’an dan kitab hadis masih laku keras.

Kitab Tafsir Ibnu Katsir sudah diulang cetak beratus-ratus kali, diterjemahn berulang-kali dalam satu-satu bahasa dan diterbitkan oleh puluhan penerbit, namun masih laku dijual. Kalaulah contoh-contoh itu sangat jauh untuk digambarkan, lihat sahaja kepada buku Ranjau Sepanjang Jalan oleh SN Shahnon Ahmad, sudah berapa kalikah dicetak dan sudah berapa tahun ia kekal relevan atas pasaran.

Pilihan Penulis

Justeru di manakah letak duduk penulis? Ada penulis memilih akhbar, majalah atau buku. Atau ada penulis yang mahu kekal menulis untuk dibada pro-bono di internet.

Saya memilih untuk menulis di semua medium. Kelompok sasarnya berbeza. Bahkan untuk kekal relevan sebagai penulis dan lanjut hayatnya dalam pasaran, harus menulis dalam semua medium. Minimum beberapa medium.

Surat Khabar Orang Islam

Islam adalah sebuah agama yang syumul dan lengkap. Justeru adakah surat khabar untuk orang Islam; dalam artian membawa berita yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan analisi unjuran perkara yang akan berlaku dalam umat. yang dibaca setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Mustahil tidak ada atas sifatnya sebagai agama yang syumul.

Jawabnya : mustahil tidak ada.

Al-Qur’an dan Kitab hadis adalah ‘akhbar’ atau media yang perlu dibaca oleh umat Islam setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.

Setiap hari ada zikir-zikir yang perlu dibaca oleh umat Islam. Dikutip dari ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi. Boleh lihat himpunan yang hampir lengkap dalam al-Adzkar karangan Imam Nawawi. Kata ulama kepada mereka yang tidak memiliki al-Adzkar, “jual rumahmu dan beli al-Adzkar’. ia telah disarikan dengan ringkas oleh Dr Said bin Ali alWahf al-Qahthani dengan tajuk Hisnul Muslim.

Begitu juga bacaan-bacaan yang bersifat mingguan. Antaranya ialah Surah al-Kahfi :

Dari Abu Said al-Khudri, “Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya di antaranya dan Bait `Atiq.

(riwayat ad-Daarimi, 3407. Sahih menurut Shaikh al-Albaani dalam Saheeh al-Jaami, 6471)

“Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, Mkan Allah akan meneranginya dengan cahaya dari jum`at yang dia baca kepada jum`at yang berikutnya.”

(riwayat oleh al-Haakim, 2/399; al-Bayhaqi, 3/249. Ibn Hajar dalam Takhreej al-Adhkaar mengatakan hadis hasan, katanya, ini merupakan riwayat paling kuat menjelaskan Surah al-Kahf. lihat: Fayd al-Qadeer, 6/198.  Turut dinilai sahih oleh Shaikh al-Albaani dalam Saheeh al-Jaami’, 6470)

Begitulah seterunya riwayat-riwayat yang menyebutkan keperluan, keutamaan dan urgensi membaca al-Qur’an saban hari, saban minggu saban dan seterusnya.

“Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil ungkal dalam kekufurannya.” (Surah Maryan 19, ayat 97)

Mac 1, 2012

Amalam-amalam Pemelihara Iman

Filed under: Al-Qur'an — Mohd Riduan Khairi @ 5:36 am
Tags: ,

Judul Asal : Nida’atu ar-Rahman li Ahli al-Iman

Penulis : Syaikh Abu Bakar Jabir al-Jaza-iry

Penterjemah : Nasharuddin Atha dan Abdurrahman

Penerbit : Qisthi Press, Jakarta (2006)

Syaikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi merupakan salah seorang tenaga pengajar di Masjid Nabi, Madinah. Beliau adalah Ahli Hadits yang juhud, Jabir bin Musa bin Abdul Qadir bin Jabir Abu Bakar Al-Jazairi. Lahir di Al-Jazair tahun 1342 H/ 1921 M.

Beliau mengarang beberapa kitab besar termasuk Minhaj Muslim dan Tafsir Al-Aisar. Keduanya sudah diterjemahn ke dalam bahasa Melayu Malaysia dan versi Indonesia. Baca lagi tentang tafsir Al-Aisar di kitabtafseer.wordpress.com.

Buku yang kami ulas ini (Amalan-amalam Pemelihara Iman) merupakan himpun tafsir dan penjelasan ayat-ayat al-Qur’an yang ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Syaikh hafidzahullah menghimpunkan 90 kesemuanya ayat-ayat yang dimulai dengan lafaz, “Wahai orang-orang yang beriman.”

Justeru tentu sekali buku ini signifikan dan penting untuk ditela’ah dan dibaca oleh sekelian orang yang mengaku beriman dan bertauhid dengan tauhid yang murni.

Bukan itu sahaja, benar sungguh dan adanya bahawa membaca kitab-kitab yang dikarang oleh ulama’ menelurkan mutiara kefahaman yang amat mendalam. Berbinar-binar mata kami menekuni setiap perkataan yang dinukilkan oleh syaikh.

Seringkali kami dimajukan pertanyaan, bagaimanakah memilih buku yang bermanfaat dan sedap dibaca. Maka jawab kami : pilihlah buku yang dikarang oleh ulama’, nescaya anda tidak pernah akan merasa kecewa walau sedetikpun.

Sinopsis

Ketika iman telah diikrarkan, banyak konsekuensi yang harus dilaksanakan. Namun ironis, banyak orang yang mengabaikan, kendati mereka sering membaca dan mendengarkannya dari al-Qur`an.

Penulis buku ini bermaksud menjabarkan amalan-amalan yang harus diperhatikan oleh orang-orang beriman untuk memelihara dan meningkatkan kualitas iman mereka. Tentu saja, penjabaran ini berdasarkan al-Qur`an dan juga sabda-sabda Rasulullah s.a.w. yang kesahihannya tak diragukan.

Lembar demi lembar buku ini penuh terisi dengan pengetahuan, wawasan, dan pencerahan keimanan yang akan membawa kita pada keberuntungan di dunia dan akhirat. Karena itu, melewatkan satu lembar saja dari buku ini akan sangat disayangkan.

Selain menggugah, buku ini juga akan memahamkan kita tentang apa yang harus dikerjakan dan ditinggalkan oleh orang-orang yang beriman. Dan itu, merupakan isyarat untuk menjadi hamba yang benar-benar iman dengan keimanan yang benar. Maka, untuk lebih jelasnya, silakan menyimak penuturan buku ini dari halaman ke halaman.

Ogos 12, 2011

Al-Qur’an di Dalam Hati

Filed under: Al-Qur'an,Ibadah — Mohd Riduan Khairi @ 6:12 am

Abdullah bin Abbas, semoga Allah meredhainya melaporkan dari Nabi, selawat dan salam buat beliau,

“Sesungguhnya seseorang yang dalam hatinya tidak ada Al-Qur’an sama sekali ibarat rumah yang rosak.” (Sunan Tirmidzi, hassan sahih)

Syaikhul Islam Ibn Taimiyah, semoga Allah merahmatinya, “Kebun dan tamanku berada dalam dadaku, kemanapun aku pergi maka ia selalu bersamaku”. Yang dimaksudkan oleh Ibnu Taimiyah ialah Al-Qur’an dan As-Sunnah yang berada di dalam dadanya yang mampu menetapkan dan menambah keyakinan.

 

Sahl bin Abdullah, semoga Allah merahmatinya berkata kepada salah seorang muridnya, “Apakah engkau hafal Al-Qur’an?” Muridnya menjawab, “Tidak.” Maka ia berkata, “Alangkah kasihannya seorang mukmin yang tidak menghafal Al-Qur’an! Denan apakah dia berdendang? Dengan apakah ia akan hidup senang? Dengan apa ia bermunajat kepada Rabb-nya?”

disarikan dari buku  The Mystery Of The Quran Secret Power tulisan  DR. Khalid bin Abdul Karim Al-Laahim

Ogos 8, 2011

Membaca Al-Qur’an di Malam Hari

Filed under: Al-Qur'an,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 10:28 am

“Saya benar-benar mengenal kemerduan suara orang-orang Asy’ari dalam membaca Al-Qur’an ketika mereka masuk rumah di malam hari. Dan saya tahu di mana rumah mereka dari suara bacaan al-Qur’an mereka di malam hari, meskipun saya belum pernah melihat rumah mereka di waktu siang.” (Hadis Bukhari dan Muslim dari sahabat Abu Musa) 

Dari Ibrahim an-Nakha’ie berkata, “Bacalah al-Qur’an di malam hari, meskipu sesingkat memerah kambing.” (At-Tibyan fi Adab Hamalah Al-Qur’an, Imam Nawawi) 

Imam Nawawi berkata dalam kitabnya, “Saya demikian gemarnya solat malam dengan membaca al-Qur’an. Kerana hal itu lebih mengkhusyukkan hati, menjauhkan hal-hal yang menyibukkan dan melalaikan, lebih nikmat mengadukan hajat, menjaga dari riya’ dan bahaya lain yang melingkupi. Di samping itu, syariat juga menjelaskan bahawa sekian banyak projek kebaikan dirancang ketika malam. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang dialami Nabi ketika malam. Turunnya Allah setiap malam ke langit dunia pun terjadi setelah pertengah malam.”

Bacaan-bacaan Khusus Pada Malam Hari

Dalam beberapa hadis Nabi menyebutkan secara khusus beberapa surah yang dibaca sebelum tidur. Antaranya ialah surah al-Kafirun,  Surah As-Sajdah, Surah Al-Mulk, Surah al-Isra’, Surah Az-Zumar, Surah al-Falaq dan Surah An-Nas.

Dari Farwah bin Nufail Al-Asyja’i, dari Rasulullah bahawa beliau berkata kepada seseorang,

“Bacalah surah al-Kafirun ketika hendak tidur! Kerana hal itu akan membebaskan dari kesyirikan.” (HR Baihaqi, Ahmad, Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Sahabat Jabir bin Abdullah menceritakan,

“Rasulullah tidak akan tidur hingga beliau membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk” (HR Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)

Sahabat dan juga isteri Nabi tercinta, Ibunda Aisyah binti Abu Bakar, semoga Allah meredai mereka berdua menjelaskan,

“Rasulullah tidak pernah tidur hingga beliau membaca surah Bani Israil (Al-Isra’) dan Az-Zumar.” (HR Ahmad, Tirmidzi dan Hakim dalam Silsilah Hadis Sahihah dan Sahih al-Jami’) 

Dalam hadis yang lain Nabi pernah berkata kepada sahabatnya Uqbah,

“Hai Uqbah, mahukah saya ajarkan kepadamu dua surah yang paling baik untuk dibaca? Itulah al-Falaq dan An-Nas. Hai Uqbah, bacalah keduanya setiap kali kamu hendak tidur dan ketika bangun! Kerana tidak ada seorang peminta dan orang yang berlindung sebagaimana meminta dan berlindung dengan keduanya.” (HR Ahmad, Nasai dan hakim dalam Silsilah Ahadis Sahihah dan Sahih al-Jami’) 

Solat Malam dengan Membaca Al-Qur’an

Sahabat Tamim Ad-Dari melaporkan dari Rasulullah bahawa beliau berkata,

”Barangsiapa membaca seratus ayat dalam satu malam, ditulis baginya ketaatan sepenuh malam.” (Hadis Ahmad dan Nasai dalam dalam Silsilah Ahadis Sahihah dan Sahih al-Jami’)

Sahabat Abdullah bin Amru bin Ash melaporkan dari Rasulullah,

“Barangsiapa solat malam dengan membaca sepuluh ayat tidak akan ditulis sebagai orang yang lalai. Barangsiapa solat malam dengan membaca seratus ayat, ditulis sebagai orang yang taat. Dan barangsiapa solat malam dengan membaca seribu ayat, ditulis sebagai orang kaya dan bertuntung.” (HR Abu Dawud)

Disarikan dari buku Fadhailul Qur’an wa Hamalatihi fis Sunnah al-Muthahharah (Wasiat Rasul kepada Pembaca dan Penghafal al-Qur’an) oleh Dr Muhammad Musa Nashr. Terjemahan Jabir al-Bassam dan diterbitkan oleh Al-Qowam.

Ogos 6, 2011

Membaca Al-Qur’an Dengan Melihat Teks (Mushaf)

Filed under: Al-Qur'an,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 6:17 am

“Barang siapa ingin mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan lebih mendalam, hendaklah dia membaca al-Qur’an menggunakan mushaf.”

(Hadis Abu Nuaim dan Baihaqi dari sahabat Abdullah bin Mas’ud. Darjat hadis ini hassan menurut Syaikh al-Albani dalam Silsilah Hadis Sahih dan Sahih al-Jami’)

Imam Nawawi dalam kitabnya at-Tibyan di Adab Hamalah al-Qur’an menjelaskan,

“Membaca al-Qur’an dari mushaf lebih utama daripada membacanya dari hafalan. Kerana melihat mushaf adalah ibadah yang dianjurkan,sehingga terintegrasi antara membaca dan melihat. Demikianlah pendapat sahabat kami Qadhi Hussain, Abu Hamid al-Ghazali dan sejumlah salaf. Dikutip dari Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin bahawa majority sahabat membaca al-Qur’an melalui mushaf dan mereka tidak suka jika ada satu hari saja terlewat tanpa melihat mushaf.

Ibnu Abu Dawud melaporkan bahawa membaca dengan mushaf adalah kebiasaan majority salaf dan setahu dia tidak ada perselisihan tentangnya.”

Dr Muhammad Musa Nashr, salah seorang anak murid Syaikh Muhaddis Muhammad Nasiruddin al-Albani menyebutkan dalam tesisnya,

“Membaca al-Qur’an dengan mushaf adalah ibadah, kerana hal itu melibatkan sepasang mata, sepasang bibir, fikiran dan melibatkan banyak organ. Di sampir itu terdapat berkah al-Qur’an, kerana ia adalah Kalamullah.Parasalaf juga melakukan tindakan pengubatan dengan cara melihat mushaf al-Qur’an, iaitu untuk mengubati sakit mata dengan melihatnya. Dan paling penting, membaca melalui mushaf adalah sebab diperolehnya kecintaan yang lebih mendalam kepada Allah, sebagaimana termaktubnya dalam hadis.

Disarikan dari buku Fadhailul Qur’an wa Hamalatihi fis Sunnah al-Muthahharah (Wasiat Rasul kepada Pembaca dan Penghafal al-Qur’an) oleh Dr Muhammad Musa Nashr. Terjemahan Jabir al-Bassam dan diterbitkan oleh Al-Qowam.

Ogos 2, 2011

Wasiat Rasul Kepada Pembaca & Penghafal Al-Qur’an

Filed under: Al-Qur'an — Mohd Riduan Khairi @ 4:01 pm

Fadhailu Qur’an wa Hamalatihi Fis Sunnah Muthahharah

Penulis : Dr. Muhammad Musa Nashr

Terjemahan : Jabir Al-Bassam

Penerbit : Al-Qowam (2010)

Ini sebahagian dari usaha kami untuk memberi fokus kepada Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadhan. Kata Imam Malik bin Anas, Imam Negeri Hijrah yakni Madinah, Ramadan adalah bulan Al-Qur’an.

Beliau menutup kelas dan kuliah hadis dan fikih pada bulan Ramadan dan hanya melayani Al-Qur’an semata.

Naskah ini saya ‘sambar’ di Kedai Buku As-Syafi’i, Guan Musang siang semalam. Asalnya ia merupakan tesis pegarang ketika di Universiti Islam Madinah.

Sekali pandang tajuknya kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun, Maha Suci Allah ‘subhanallah’ selepas menguliti lebih separuh dari kandungannya, baru kami sedar betapa ilmu yang kami miliki ternyata sangat sedikit. Banyak lagi perkara-perkara tentang Al-Qur’an dan adab-adabnya yang masih belum kami tahu.

Antara kandungan naskah ini termasuk :

  • Al-Qur’an bukan makhluk
  • Akhlak Ahli Al-Qur’an
  • Sifat Pengajar Al-Qur’an
  • Keutamaan Surah dan Ayat Al-Qur’an
  • Cara Nabi Membaca Al-Qur’an
  • Jin Mendengar Al-Qur’an
  • Anjuran Membaca Amin
  • Memeriksa Bacaan Al-Qur’an dengan Guru Yang Layak
  • Memakai Al-Qur’an Untuk Meminta-minta
  • Qurra’ Su Paling Dahulu Masuk Neraka
  • Bid’ah Terhadap Al-Qur’an
  • dan banyak bab lain yang menarik

Saya nukilkan beberapa hadis ancaman terhadap pembaca Al-Qur’an yang cuai terhadap kandungan Al-Qur’an.

Dari Sahabat Ibnu Amru berkata bahawa Nabi pernah bersabda,

“Majoriti orang munafik dari umatku adalah para pembaca Al-Qur’an (yang membacanya untuk mencari populariti dan keuntungan duniawi.” (Hadis Imam Ahmad, Thabrani dan Baihaqi, dalam Silsilah Ahadith Sahihah, Syaikh al-Albani)

Dari Abu Dzar berkata bahawa Nabi pernah bersabda,

“Ada sekelompok orang dari umatku yang ciri mereka bercukur. Mereka membaca Al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka. Mereka terlepas dari agama sebagaimana anak panah terlepas dari busurnya. Mereka adalah makhluk yang paling jahat.” (Hadis Imam Muslim dan Imam Ahmad)

 

Ogos 1, 2011

Sebaik-baik Bacaan Ialah Al-Qur’an

Filed under: Al-Qur'an,Senarai Bacaan — Mohd Riduan Khairi @ 3:28 pm
Tags: ,

MEMBACA AL-QUR’AN 

Imam Malik bin Anas berkata bahawa Ramadhan ialah bulan Al-Qur’an. Al-Qur’an kalam Allah diturunkan dari Luh Mahfudz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan.

 

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Nabi Muhammad membaiki bacaan Al-Qur’an pada setiap malam di bulan Ramadhan. Bahkan bacaan beliau disemak oleh duta Allah iaitu malaikat Jibril. Beliau membaca Al-Qur’an pada setiap malam bersama Jibril sehingga tamat Al-Qur’an. Dilaporkan pada tahun terakhir sebelum nabi wafat, beliau menghabiskan bacaan Al-Qur’an bersama Jibril sebanyak dua kali tamat.

Sahabat Abdullah bin Abbas menceritakan perihal Nabi Muhammad ketika berada di dalam bulan Ramadhan. Katanya,

“Nabi Muhammad  adalah manusia yang paling pemurah dalam kebaikan. Beliau juga adalah manusia yang paling pemurah pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi ketika bertemu malaikat Jibril. Malaikat Jibril mengunjungi Nabi Muhammad pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Mereka berdua bertadarus Al-Qur’an bersama-sama. Sifat pemurah Nabi Muhammad ketika bertemu Jibril laksana angin yang berhembus”. (Bukhari & Muslim)

Syaikh Abdul Aziz bin Baz menyebutkan beberapa pengajaran dapat diambil dari hadith ini berkaitan membaca Al-Qur’an.

1. Membaca Al-Qur’an Bersama Orang Yang Pandai Membaca Al-Qur’an

Pertama, belajar membaca Al-Qur’an bersama orang yang lebih bijak. Nabi Muhammad belajar membaca Al-Qur’an bersama malaikat Jibril yang merupakan duta dari Allah. Hanya belajar dari orang yang lebih pandai membaca Al-Qur’an, seseorang itu dapat membaiki kefahaman terhadap Al-Qur’an dan merapikan lafaz-lafaz bacaan.

Menurut nabi, “Orang yang membaca Al Quran dan dia pandai membacanya maka (nanti di akhirat akan dikumpulkan) bersama para malaikat yang mulia, sedangkan orang yang membaca Al Quran dan dia terbata-bata karenanya serta kesusahan  maka baginya dua pahala “ (Bukhari dan Muslim)

Jelas sekali kedudukan orang yang pandai membaca Al-Qur’an sangat mulia. Namun begitu, agama tidak menyia-nyiakan bacaan orang yang belum pandai membaca Al-Qur’an. Mereka tetap diberi pahala selagi mana mereka berusaha membaca dan belajar untuk memperbaiki bacaan mereka.

2. Membaca Al-Qur’an Pada Waktu Malam

Pengajaran kedua pula ialah, membaca Al-Qur’an pada waktu malam di bulan Ramadhan adalah lebih utama berbanding pada waktu siang. Ini berdasarkan Nabi Muhammad dan Jibril membaca Al-Qur’an pada waktu malam sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan, suasana pada waktu malam hari jauh lebih kondusif dan selesa untuk beribadah berbanding siang hari. Pada waktu malam, cuaca lebih dingin dan suasana lebih tenteram tanpa bunyi kenderaan dan hiruk-pikuk manusia.

Persekitaran begini akan mendorong seseorang itu membaca Al-Qur’an lebih tenang tanpa tergopoh-gapah.

3. Semangat dan Antutias Generasi Awal Islam Membaca Al-Qur’an

Menyedari kelebihan dan keutamaan membaca Al-Qur’an pada bulan Ramadhan, maka para sarjana Islam dan orang-orang soleh dari generawi awal Islam berlumba-lumba memborong pahala membaca Al-Qur’an.

Seorang tabi’in besar (anak murid sahabat Nabi Muhammad), Imam Muhammad bin Syihab bin Zuhri meninggalkan majlis kajian hadith apabila memasuki bulan Ramadhan untuk fokus pada Al-Qur’an. Beliau dilaporkan pernah berkata, “Sesungguhnya amal yang dilakukan pada bulan Ramadhan ialah membaca Al-Qur’an dan menjamu orang berbuka puasa”.

Dilaporkan Imam Syafi’i menamatkan bacaan Al-Qur’an sebanyak 60 kali sepanjang bulan Ramadhan. Ini bermakna secara purata setiap hari beliau akan menghabiskan bacaan Al-Qur’an dua kali.

Begitu juga dengan gurunya di kota Madinah Imam Malik bin Anas. Beliau sanggup menutup kelas-kelas pengajian hadith dan fikah Islam semata-mata untuk memberi lebih masa dan tumpuan membaca Al-Qur’an. Bahkan beliau juga berhenti dari menjawab soalan-soalan berkaitan agama, kata beliau, “ini adalah bulan Al-Qur’an”.

Banyak lagi kisah-kisah kesungguhan sarjana Islam dan orang-orang soleh dari generasi awal. Ramadhan adalah bazar akhirat.

Oktober 26, 2010

Baca Kitab Tafsir Yang Baik

Filed under: Al-Qur'an,Senarai Bacaan — Mohd Riduan Khairi @ 1:35 pm

Kitab tafsir yang paling baik

Tafsir yang paling baik dicadangkan oleh para masyaikh rahimahullah ialah Tafsir Ibnu Kathir. Kebanyakan dari mereka mencadangkan begitu, kerana mudah, ringkas (dalam pentafsiran). Namun begitu Tafsir Ibnu Kathir ini panjang dan banyak (jilidnya).

Syaikh Muhammad bin Khali hafizahullah mencadangkan juga ringkasan tsir Ibnu Kathir, Umdah at-Tafasir karangan Syeikh Ahmad Syakir. Itu kitab tafsir yang baik.

Dan juga tafsir-tafsir ahli sunnah seperti

  1. Tafsir Al-Baghawi,
  2. Tafsir Ibnu Jarir At-Tobari,
  3. Tafsir Adhwaul Bayan fi Tafsirir Qur’an bin Qur’an (karangan) Asy-Syanqiti dan
  4. Tafsir As-Sa’di.

Ini tafsir-tafsir yang baik dibaca dan mengikut manhaj ahlus sunnah wal jama’ah.

Adapun tafsir-tafsir selain itu kita katakan boleh diambil istifadah (manfaat) seperti Tafsir Al-Qurtubi dan beberapa tafsir lagi, boleh diambil manfaat cuma ada beberapa kesalahan dalam bab akidah seperti mentakwilkan beberapa sifat Allah. Maka itu kita jauhi.

Adapun tafsir-tafsir mutakhir yang tidak bermanfaat, maka tidak perlu ambil (baca) langsung. Seperti tafsir-tafsir bil rakyi (menggunakan logik akal) semata-mata yang tidak ada dasar Al-Qur’an dan hadith. Terutama Tafsir Fi Zilalil Qur’an. Saya tidak setuju kerana, apabila anak-anak muda membaca Fi Zilalil Qur’an, Syed Qutb kata “masyarakat hari ini jahiliun musyrik“. Dia kata semura orang kafir, kecuali orang yang baca Fi Zilalil Qur’an. Ini (akan mendatangkan) masalah, lebih dijauhi supaya tidak terjebak di dalam bid’ah.

Syed Qutb mudah-mudahan Allah ampunkan beliau, beliau salah (dalam bab ini). Tapi kita pula yang hidup dan belajar, janganlah buat salah juga.

disalin dari rakaman Seminar Iman Orang Asing. Baca lagi di http://kitabtafseer.wordpress.com/

Oktober 21, 2010

Bacaan Tafsir Al-Qur’an oleh Syaikh Soleh Munajid

Filed under: Al-Qur'an,Senarai Bacaan,Tips membaca — Mohd Riduan Khairi @ 12:51 am
Tags: , ,

Syaikh Muhammad Soleh Al-Munajid merupakan sarjana Islam kontemporeri yang disegani. Beliau merupakan anak murid kepada beberapa tokoh ilmuwan yang dihormati seperti bekas Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullan bin Baz, Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Jibrin dan beberapa nama tokoh yang lain.

Dalam sebuah buku, beliau mencadangkan beberapa kitab tafsir sebagai buku wajib dan asas yang perlu ada di perpustakaan setiap rumah orang Islam. Senarai seperti berikut :

  1. Tafsir Ibnu Kathir terjemahan oleh Pustaka Imam as-Syafi’i, Jakarta
  2. Taysir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan oleh Syaikh Abdurrahman bin Nasr As-Sa’di atau dikenali sebagai Tafsir As-Sa’di. Terjemahan oleh Pustaka Sahifa, Jakarta
  3. Zubdat at-Tafsir : al-Asyqar
  4. Badai’i at-Tafsir : Ibn Qayyim
  5. Usul Tafsir : Ibn Uthaymeen. Terjemahan oleh Jahabersa, Johor Bahru
  6. Lamahat fi Ulum al-Qur’an : Muhammad Sabbagh
Laman Berikutnya »

Theme: Rubric. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.